Khamis, Januari 25, 2018

MHONLINE TERIMA PENGHARGAAN DARIPADA IKIAM



AMPANG: MH Online satu satunya berita portal yang sedang meningkat naik turut mendapat penghargaan daripada Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dalam majlis malam media IKIAM di sini malam tadi.

Editor kanan MH Online, Zabidi Saidi menerima sijil penghargaan tersebut daripada Pengerusi IKIAM, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Turut menerima penghargaan ialah Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, Harian Metro, RTM, TV3, TV Al Hijrah, Astro Awani dan Agro Malaysia.

IKIAM juga  turut melancarkan Tabung Kebajikan Bekas Wartawan untuk membantu bekas wartawan yang uzur.

Zahidi  berkata IKIAM mengambil inisiatif ini untuk membantu bekas wartawan yang uzur dan sebagainya.

"Memandangkan bekas wartawan bukannya ada pencen maka IKIAM terpanggil untuk melancarkan tabung ini. Saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi sumbangan ikhlas kepada tabung tersebut," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sekalung Budi Bersama Media, di sini, malam tadi.

Buat permulaan beliau mengumumkan sumbangan IKIAM sebanyak RM2,000 untuk tabung tersebut.

IKIAM juga buat pertama kalinya akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Zahidi berkata persidangan dengan objektif memperkasakan sektor ekonomi umat Islam itu akan berlangsung pada Mac ini.

Beliau berkata, untuk merealisasi hasrat itu, IKIAM akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

"Antara agenda besar yang akan kita bincangkan dalam persidangan ini adalah pengenalan logo Produk Ummah yang berfungsi membezakan produk halal milik usahawan Islam dengan bukan Islam.

"Logo Produk Ummah sama fungsinya seperti logo halal JAKIM. Terapi, bezanya...Logo ini menandakan produk berkenaan halal, selamat dan bersih digunakan umat Islam sekali gus dapat membantu usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka.

"Tidak seperti logo halal yang dikeluarkan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), ia terbuka untuk dipohon oleh usahawan Islam dan bukan Islam. Usahawan kecil juga menghadapi kesukaran memohon kerana perlu mempunyai kilang sebagai syarat," katanya.

Mengulas lanjut syarat memohon logo Produk Ummah, Zahidi berkata, usahawan hanya perlu membayar fi memproses dan peguam kira-kira RM200 serta diwajib membayar zakat.

Katanya, IKIAM dan RISDA memperkenalkan logo Produk Ummah susulan kurang syarikat Islam memperoleh halal dari JAKIM.

"Dianggarkan, 73 peratus syarikat bukan Islam mendapat status halal.

"Kita harap usaha yang kita lakukan ini dapat membantu memperkasa dan merancakkan ekonomi umat Islam di rantau Asia Tenggara serta negara anggota OIC," katanya.

Selain itu, sektor pelancongan dan kewangan berasaskan Islam turut diketengah sebagai agenda untuk diperbincang dalam persidangan itu.