Ahad, Oktober 14, 2018

PENGUNDI PORT DICKSON SUDAH PILIH ANWAR, MAKA ANWAR KENA BALIK PD DUA MINGGU SEKALI

PORT DICKSON:  Bakal Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan.

Ketua Umum PKR itu berkata, kemenangan diperoleh membuktikan majoriti pengundi memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya terharu kerana kemenangan di luar jangkaan ini, dukungan rakyat begitu kuat dan padu daripada pengundi Port Dickson.

“Saya ingin beritahu kepada semua terutama pengundi Port Dickson dan rakan di seluruh negara, saya tidak akan mengkhianati amanah itu,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulungnya di hadapan penyokong dan jentera selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

Yang turut hadir, isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar berkata, undi popular sebanyak 70 peratus diperolehnya membuktikan penerimaan semua kaum terhadapnya.

“Majoriti orang Melayu di Port Dickson memilih Pakatan Harapan (PH), kaum Cina sekali lagi membuktikan dukungan mereka kepada PH serta kaum India tanpa ragu memilih PH.

“Tentera yang dahulunya tidak memihak kepada kita, undi mereka melonjak 122 peratus. Ini trend yang sangat menyenangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokongnya sepanjang tempoh berkempen.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua penyokong dan jentera parti yang bekerja keras memastikan kemenangannya.

“Ditakdirkan menjadi Ahli Parlimen, dan Insya-Allah menjadi Perdana Menteri, saya bercita-cita menjadikan negara bebas rasuah, membawa negara ini ke arah yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini selangkah bakal Perdana Menteri kelapan selepas menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini.

Anwar memperoleh 31,016 undi, menewaskan calon PAS. Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon bebas; bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82 undi), bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230 undi), Lau Seck Yan (214 undi), personaliti media sosial Stevie Chan (337 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

Sejarah menyaksikan pada dua puluh tahun lepas, figura penting politik ini dipecat daripada kerajaan, dipenjara atas tuduhan liwat sebelum bermulalah laungan reformasi yang akhirnya membentuk penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas dibebaskan dari penjara pada 2004 dan disekat daripada terlibat politik selama lima tahun, Anwar kembali ke pentas politik dengan menjadi calon PRK Permatang Pauh pada 2008.

Beliau yang memenangi PRK itu kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun terpaksa kembali ke penjara semula pada 2015 atas tuduhan liwat sebelum mendapat pengampunan diraja pada 16 Mei lepas.

Anwar dikenali sebagai penggerak utama agenda reformasi yang akhirnya membawa satu perubahan dalam landskap politik negara melalui perjuangan yang penuh liku.

Dilahirkan pada 10 Okt, 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tok Kun dan Sekolah Stowell.

Beliau menyambung ke pengajian menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari 1960 hingga 1966 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera) di Universiti Malaya dari 1967 hingga 1971.

Anwar, yang menerajui Yayasan Anda dan pertubuhan bukan kerajaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mula terlibat dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1982 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum keenam pada tahun yang sama.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan menang dan seterusnya mempertahankan kerusi itu dalam beberapa lagi pilihan raya umum.

Bintang Anwar cerah dan langkahnya pantas dalam politik apabila dilantik ke pelbagai jawatan dalam kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.

Beliau bermula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1982, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986) dan Menteri Kewangan (1991).

Beliau yang dianggap sebagai 'anak didik' Mahathir kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sebelum dipecat pada 1998.

Kini, selaku wakil rakyat kawasan Port Dickson yang terkenal sebagai destinasi pelancongan dan percutian popular, Anwar meneruskan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan seperti yang dipersetujui Pakatan Harapan sebelum ini.

Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Port Dickson pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.