KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Mengimbau pertemuan rasmi di sebuah restoran makan Jepun di ibu kota 15 tahun dahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz masih lagi berasa teruja apabila berbicara mengenai detik perkenalannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tidak dapat dilupakan pada saat itu, debaran Tengku Zafrul ketika berusaha menyembunyikan perasaan gementar kerana perlu berurusan dengan kerabat diraja dan lebih-lebih lagi pada waktu itu Sultan Abdullah merupakan Tengku Mahkota Pahang yang amat disegani rakyat.
Perasaan gementar itu bagaimanapun hilang dengan keramahan Sultan Abdullah, sekali gus mewujudkan suasana mesra dan ceria.
Sikap peramah dan suka berjenaka yang dipamerkan Sultan Abdullah membuatkan Tengku Zafrul, yang ketika itu merupakan pengarah di sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, serta mereka yang berada dalam mesyuarat makan tengah hari itu berasa tenang, hanya dalam masa yang singkat.
“Sejak pertemuan itu, kami terus berhubung dan mula berkawan. Mungkin disebabkan berkongsi hobi dan minat yang sama terutama dalam arena sukan, kami menjadi akrab sehingga ke hari ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB kepada Bernama dalam temu bual bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Tengku Zafrul, 46, merupakan antara kenalan rapat dan rakan karib Sultan Abdullah, yang sering meluangkan masa bersama dalam pelbagai aktiviti khususnya bersukan selain aktiviti rasmi dan tidak rasmi seperti melakukan program tanggungjawab sosial korporat.
Katanya Sultan Abdullah amat menitikberatkan masa berkualiti untuk diluangkan bersama rakan-rakan. Antara aktiviti yang menjadi keutamaan adalah beraksi bersama di padang bola sepak mahupun polo, atau terkini Seri Paduka gemar mengeluarkan peluh di gelanggang skuasy.
Demi minat yang mendalam dalam bidang sukan, Tengku Zafrul berkata mereka pernah mengembara bersama untuk menyaksikan pelbagai perlawanan sukan terutamanya bola sepak, di luar negara.
“Tahun lepas kami bersama-sama menyaksikan pertarungan akhir Piala Dunia FIFA antara Perancis dan Croatia di Stadium Luzhniki Moscow,” katanya.
Berbicara tentang sukan bola sepak dan pasukan pilihan masing-masing, Tengku Zafrul secara berjenaka menggambarkan hubungannya dengan Seri Paduka bagaikan ‘musuh’ kerana dalam sukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Sultan Abdullah merupakan peminat setia pasukan Arsenal manakala beliau meminati pasukan Liverpool.
Menyentuh mengenai kesibukan menggalas tanggungjawab Sultan Abdullah sebagai ketua negara, Tengku Zafrul berkata Seri Paduka tidak sama sekali membataskan hubungan persahabatan di antara mereka dan bersama rakan-rakan yang lain.
Biarpun sibuk dengan acara rasmi negara, Seri Paduka tetap akan mencuri masa untuk diluangkan bersama rakan seperti dahulu, dengan mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya tiga kali dalam sebulan.
“Kami fikir pelantikan (sebagai Yang di-Pertuan Agong) ini akan membataskan aktiviti kami yang kerap berjumpa, namun setelah ditabalkan walaupun baginda sibuk dengan tugas rasmi negara, tetapi masih mencuri masa untuk bersama-sama dengan kami.
“Sebenarnya dari segi berjumpa rakan-rakan, baginda masih sama seperti sebelum jadi Agong, ini menampakkan personaliti Tuanku yang tidak lupa rakan-rakan,” katanya.
Menyentuh sikap prihatin yang cukup sinonim dengan Sultan Abdullah, Tengku Zafrul berkata setiap kali berjumpa rakan, Seri Paduka pasti akan bertanyakan khabar dan perkembangan ahli keluarga rakannya, biarpun ada ketika tidak pernah bersua muka dengan mereka.
“Tuanku juga tidak pernah lokek dengan nasihat dan sering mengutarakan idea yang bernas, ketika berbicara bersama rakan selain sering bertanyakan mengenai isu semasa yang dihadapi rakyat.
“Sikap terbuka baginda membuatkan rakan-rakan bebas bercerita mengenai segala hal dan meminta pandangan baginda sebelum membuat keputusan,” kata Tengku Zafrul mengakhiri perbualan.
-- BERNAMA