Jumaat, Oktober 24, 2008

KHAIRY MULA KENAL SIAPA KAWAN SEJATI


Bukannya mudah mahu jumpa Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,Khairy Jamaluddin. Walaupun beliau bukan menteri atau timbalan menteri, jadual hariannya amat padat. Saya berpeluang menemuinya di pejabatnya di Plaza Damansara, Bukit Damansara,Kuala Lumpur petang ini untuk mengadakan wawancara ekslusif dengannya untuk akhbar WATAN.

Sepanjang satu jam wawancara dengan beliau, saya dapati Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ adalah seorang yang petah bercakap. Tidak sia-sialah kalau perwakilan pemuda memilihnya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada bulan Mac depan.

Minggu ini beliau dijangka dapat lesen yang penuh untuk bertanding Ketua Permuda untuk menentang Mukriz Mahathir yang sudah dapat pencalonan yang agak tinggi, 66 pencalonan manakala seorang lagi calon adalah Dr.Khir Toyo yang sudah mendapat 20 pencalonan lebih.

Pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Walaupun di atas kertas Mukriz sudah jauh meninggalkan Khairy, tetapi p[ada hari pengundian keputusan mungkin berlaku di sebaliknya. Oleh itu beliau cuba menambat hati para perwakilan agar terpikat dengan visinya jika beliau menangi dalam pertandingan ini.

Beliau mahu supaya pemuda UMNO dihormati oleh semua.Oleh itu tugas KJ amat mencabar jika beliau menang kerana dalam mempertahankan kedudukannya sebagai pemimpin muda Melayu beliau juga mahu menjadi pemimpin muda Malaysia. Katanya, kita terima hakikat bahawa kita perlu berjuang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Dalam pada itu hak orang Melayu tetap dipertahankan.

KJ yang juga ahli parlimen Rembau sentiasa dilihat sebagai tokoh muda yang kontroversi. Apatah lagi penonjolannya amat ketara di zaman bapa mertuanya,Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Hishamuiddin tidak aktif dalam politik sewaktu bapanya, Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Mukriz tidak aktif dalam politik ketika bapanya, Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri.Oleh itu penonjolan Khairy di zaman Pak Lah amat dicemburui oleh semua pihak.

Menghayati visinya selama satu jam, saya dapati lulusan Oxford ini amat bijak orangnya. Cara beliau menjawab soalan amat tenang dan bersahaja sekalipun diprovokasi oleh kami. Beliau menyanjung falsafah politik bapa mertuanya walaupun dipecat dari jawatan menteri pada tahun 1987, Pak Lah tetap setia dengan UMNO. Walaupun Pak Lah kalah Naib Presiden UMNO pada tahun1993, beliau tetap setia dengan UMNO.

Katanya,”Saya menawarkan diri pemuda. Terpulanglah kepada pemuda.Jika saya menang, saya akan pastikan pemuda akan dibawa secara orang muda kerana saya adalah di bawah umur 40 an sedangkan dua calon lagi adalah berusia lebih 40an.Orang muda yang lebih memahami kehendak orang muda. Jika saya kalah saya tetap setia dengan UMNO”.

Katanya, beliau bersedia bekerja di bawah Najib Razak selaku Perdana Menteri yang baru kelak dan pemuda tidak perlu jadi pendesak sebaliknya perlu seiring sejalan dengan kepimpinan induk UMNO.

“Yang penting kita kena pastikan golongan muda terus menyokong BN pada pilihan raya umum datang,” katanya lagi.

Beliau tidak bersetuju perhimpunan agung UMNO dipercepatkan jika ia bertujuan untuk menghapuskan politik wang. “Cepat atau lambat politik wang tetap berlaku.Jadi kitakena kuatkan azam kita untuk hapuskan politik wang,” tegasnya.

Ditanya adakah pencalonan yang kurang ini adalah kerana Pak Lah umumkan berundur dari politik, KJ tidak menolak kemungkinan ini berlaku sambil menegaskan bahawa bila keadaan berubah, beliau kena terima hakikat sokongan akan berubah. Justru itu beliau mula sedar siapa kawan sejatinya kini yang sanggup bersenang dan bersusah dengannya.