Sabtu, Oktober 25, 2008

BAGAIMANA NASIB TENGKU PUTERA HARI INI?


Hari ini akan menentukan nasib Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Tengku Putera Tengku Awang sama ada dapat mengekalkan kerusi Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu atau tidak. Beliau dicabar oleh ahli parlimen Hulu Terengganu, Cikgu Mohd. Nor.

Dari segi grassroot, Tengku Putera memanglah kuat. Beliau menang Ketua Pemuda Hulu Terengganu pada tahun 1993. Pada tahun 1995 beliau dipilih sebagai calon BN bagi DUN Telemong dan terus dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada tahun yang sama beliau mencabar ketua bahagian, Datuk Ahmad Sidi Ismail dan berjaya menyingkirkan beliau yang begitu lama bertapak di Hulu Terengganu. Pada pilihan raya umum 1999, di saat BN Terengganu tumbang, beliau tetap menang di DUN Telemong.

Pada pilihan raya umum 2004, beliau dipindahkan bertanding di parlimen dan menang. Sejurus itu beliau dilantik Timbalan Menteri Kewangan dan menang ahli majlis tertinggi UMNO. Tetapi hanya dua tahun beliau kekal di kementerian itu dan akhirnya digugurkan dari kabinet kerana dikatakan tidak ngam dengan Menteri Besar, Idris Jusoh.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau digugurkan sebagai calon BN dan dilantik Speaker oleh Ahmad Said kerana beliau adalah penyokong kuat Ahmad Said ketika krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu berlaku.

Timbalannya, Rosol Wahid yang merupakan orang kuat Idris tidak bernai melawan Tengku Putera. Beliau menaja ahli parlimen baru, Cikgu Mohd. Nor yang baru masuk politik tiba-tiba dapat sokongan yang kuat untuk menentang Tengku Putera. Dapatkah Cikgu Mohd. Nor menumbangkan Tengku Putera? Jawapannya akan diketahui petang ini.