Jumaat, Oktober 24, 2008

ALI TAK PERLU LETAK JAWATAN ADUN JIKA TANDING PARLIMEN


Memanglah kita nak pilih Timbalan Perdana Menteri (TPM) tetapi tidak semestinya perwakilan mesti calonkan Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Jawatan tersebut secara automatik menaikkan pangkat calon yang menang sebagai TPM. Kebetulan Muhyiddin adalah ahli parlimen manakala dua calon lagi bukan ahli parlimen iaitu Muhammad Muhd. Taib seorang senator dan Ali Rustam seorang ADUN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz berkata menyusahkan rakyat jika Ali atau Muhammad menang kerana perlu diadakan pilihan raya kecil untuk melantik salah seorang dari mereka sebagai TPM. Jika Muhyiddin menang, terus Muhyiddin boleh dilantik TPM tanpa perlu membuang masa dan wang mengadakan pilihan raya kecil.

Nazri minta supaya bahagian jangan mencalonkan calon berkenaan berasaskan sentiment kenegerian. Maknanya bahagian di Selangor jangan calonkan Muhammad dan bahagian di Melaka jangan calonkan Ali untuk jawatan tersebut kerana kata Nazri, ia menyulitkan keadaan.

Sepatutnya isu ini tidak perlu ditimbulkan kerana Muhammad selaku bekas naib presiden (1993-2004) berhak bertanding. Begitu juga Ali Rustam yang baru menang naib presiden pada tahun 2004 juga berhak bertanding. Kenapa Nazri perlu sekat hak mereka untuk bertanding?

Soal pilihan raya kecil terpaksa diadakan tidak perlu dijadikan isu. Jika Ali menang, Ali tidak perlu kosongkan kerusi DUN. Beliau boleh tanding kerusi parlimen tanpa mengosongkan kerusi DUN. Begitu juga kes Abu Hassan Omar. Dr. Mahathir pilih beliau sebagai MB Selangor pada tahun 1997 sedangkan beliau boleh pilih mana-mana ADUN untuk dilantik sebagai MB. Abu Hassan kekal sebagai ADUN walaupun beliau dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Selangor.

Oleh itu kata Nazri bahawa penyandang yang mengosongkan kerusi itu juga akan diharamkan bertanding selama lima tahun tidak timbul kerana Ali tak perlu letak jawatan sebagai ADUN. Soal Ali jadi ADUN dan ahli parlimen sekali gus pun tidak perlu dijadikan isu kerana Dr. Awang Adek Hussein dan Mustapha Mohamad pernah bertanding di Kelantan bagi kedua-dua kerusi DUN dan parlimen.

Nazri kata sebagai menteri yang senior beliau hanya layak tanding jawatan timbalan presiden tetapi kalau sudah ada orang yang lebih layak, eloklah beliau menyokong mereka. Sebab itu beliau tidak bertanding jawatan ahli majlis tertinggi atau naib presiden pada tahun ini.

Sebagai bekas naib ketua pemuda, beliau patut tanding ketua pemuda pada tahun 1996 tetapi memberi laluan kepada Dr. Ahmad Zahid Hamidi menentang Isa Samad, Rahim Thamby Chik dan Annuar Musa. Pada tahun 2004 beliau tidak tanding ahli majlis tertinggi tetapi Pak Lah melantiknya menyertai majlis tertinggi. Dapatkah beliau dilantik lagi sebagai ahli majlis tertinggi oleh Najib? Hanya Najib yang tahu jawapannya.