Memaparkan catatan dengan label yahya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label yahya. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 25, 2010

YAHYA DAN KHAZAN SELAMAT


Nampaknya dua Exco selamat dalam rombakan Exco yang dibuat oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam. Yahya Khatib Mohamad yang engkari arahan Ahmad Said supaya tidak menentang Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar dua tahun lepas dalam pertandingan Ketua UMNO bahagian dikekalkan Exco.

Sebaliknya beliau ditukar dari Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam kepada Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita. Nampaknya Ketua UMNO Bahagian Marang hanya sesuai menjaga kebajikan rakyat sahaja.

Begitu juga Exco Penerangan dan Hal Ehwal Agama, Khazan yang banyak mengkritik Ahmad Said dalam pertemuan semua ADUN dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dikekalkan Exco bagi jawatan yang sama.

Seramai lima orang Exco terlibat dalam pertukaran porfotlio. Ahmad Said tidak kejam memecat dua orang penentangnya, Yahya dan Khazan. Jadi mereka patut berterima kasih kepada Ahmad Said walaupun mereka menentang arahan Ahmad Said, mereka masih dikekalkan jawatan Exco.

Yahya kehilangan jawatan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam kepada Datuk Zaabar Datuk Mohd. Adib. Jawatan Datuk Zaabar, Exco pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan warisan diambil oleh Datuk Rahin Mohd. said yang kehilangan Exco Belia dan Sukan kepada Rozi Mamat. Jawatan Rozi sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas tani diambilalih oleh Ashaari idris yang melepaskan jawatan Exco Kebajikan kepada Yahya.

bagi saya, pertukaran jawatan adalah perkara biasa untuk memantapkan lagi Exco yang ada. Ini bermakna KPI semua Exco memuaskan hati Ahmad Said. Jika beliau tidak puas hati, sudah tentu ada Exco yang digugurkan dari jawatan mereka. Nampaknya ramai ADUN biasa yang berangan menjadi Exco terpaksa menggigit jari apabila tiada Exco yang digugurkan dalam rombakan kecil Ahmad Said itu.

Isnin, Mac 23, 2009

YAHYA UGUT KJ?



Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, semalam membuat laporan polis terhadap penulis sebuah buku yang dikatakan mengugut dan memfitnah beliau (Yahya Ismail).


Khairy hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 10.15 pagi bersama empat rakannya termasuk anggota perwakilan Umno bahagian Kota Melaka, Saiful Ridhuan.


Beliau yang ditemui pemberita di perkarangan ibu pejabat polis itu selepas membuat laporan berkata beliau meminta polis menjalankan siasatan terhadap buku tulisan seorang penulis politik tanahair.


"Tujuan utama saya buat report (polis) ini adalah disebabkan kandungan buku ...yang ternyata memfitnah saya. Buku ini adalah sebenarnya satu usaha secara sengaja menjatuhkan imej dan karier politik saya," katanya selepas hampir dua jam membuat laporan itu. Khairy berkata beliau juga tidak pernah berjumpa penulis buku itu sebelum ini dan pertama kali mereka bertemu adalah di pejabatnya 17 Februari lepas.


"Beliau (penulis) datang ke pejabat saya di sini (Kuala Lumpur) 17 Februari lepas, berjumpa dengan saya dan mengugut saya agar membayar RM100,000 atau buku itu diterbitkan.


"Bagaimanapun saya enggan kerana saya tidak perlu bayar untuk buku tersebut dan saya tidak mampu untuk bayar," dakwa Khairy.


Menurut Khairy lagi, penulis terbabit turut mendakwa bahawa penerbitan buku itu ditaja musuh-musuh politik beliau dalam Umno.


"Selain itu, saya juga mendapat tahu buku ini juga telah diedarkan kepada beberapa anggota perwakilan Umno sejak minggu lepas," katanya.

Ahad, Oktober 26, 2008

MB PERLU PECAT YAHYA DARI EXCO




Keputusan pertandingan empat ketua UMNO bahagian di Terengganu semalam telah diketahui lewat malam tadi. Daripada empat orang penyandang, hanya Rahman Bakar seorang yang tewas di Marang.

Bersorak puak Idris Jusoh terutamanya bekas Setiauasaha Politiknya, Dr. Ramzi Zubir mendengar berita kekalahan Rahman Bakar itu di tangan Exco Kerajaan Negeri, Yahya Khatib Mohamad. Dr. Ramzi adalah bekas calon parlimen yang menggantikan Rahman bertanding menentang Haji Hadi pada pilihan raya umum lalu.

Dr. Ramzi kalah teruk di tangan Haji Hadi. Puak beliau kata Rahman Bakar sabotaj Dr. Ramzi dalam pilihan raya itu dan apabila Rahman dilantik Senator, kain rentang tertulis “Orang yang sabotaj pilihan raya dilantik jadi Senator” digantung di persimpangan empat Bandar Marang berhampiran Masjid Marang.

Yang menariknya, bagaimana pula nasib Yahya dalam barisan exco? Menteri Besar, Ahmad Said meminta semua ketua bahagian tidak dicabar tetapi Yahya yang ada dalam exco tidak mendengar arahan Ahmad Said. Oleh itu Ahmad Said kena pecat Yahya dari jawatan Exco sebagai satu pengajaran kepada beliau yang mengengkari arahan Menteri Besar. Kalau tak pecat, orang akan kata Ahmad Said cakap tidak serupa bikin. Lantiklah ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah sebagai Exco yang mewakili parlimen Marang. Alias pernah jadi timbalan exco Ahmad said sewaktu beliau jadi Exco Kerajaan Tempatan dalam pemerintahan Idris Jusoh.

Tidak semestinya jadi ketua bahagian kena lantik Exco. Pada tahun 2004, Nasir Ibrahim Fikri mengalahkan Exco, Rahin Mohd. Said bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus tetapi Idris Jusoh tidak lantik Nasir sebagai Exco sedangkan pada tahun 1993, Nasir adalah orang Dr.Yusof Noor yang mempertahankan Idris Jusoh sebagai ketua pemuda negeri manakala Rahin adalah orang Wan Mokhtar.

Di Dungun, Pok Li berjaya mengalahkan Din Adam.Seorang pengunjung blog ini, “ Tanpa Nama” menulis dalam ulasannya bahawa saya ada hantar e mel kepada Din Adam suruh Din Adam lawan Pok Li. Takkanlah Din Adam dengar cakap saya walaupun kami pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu pada tahun 1977-1978. Din Adam menentang Pok Li bukan kerana saya yang suruh tetapi ada alasan lain kerana Din adalah proksi Idris Jusoh manakala Pok Li adalah proksi Ahmad Said.

Pok Li beritahu saya e mel yang saya hantar kepada Din Adam itu ada padanya. Yang saya hairan bagaimana Din Adam boleh cuai sehingga e mail peribadi kepadanya boleh jatuh ke tangan musuhnya. Nampaknya orang tengah di antara Din Adam dan Pok Li makan dua belah. Din Adam hulur, Pok Li hulur. Jadi surat rahsia Din Adam terlepas ke tangan Pok Li.

Pok Li panggil saya kerana dia suruh saya menyokong kepimpinan Ahmad Said selaku Menteri Besar. Memang saya sokong Ahmad Said. Oleh itu bila Din Adam menyebelahi Idris, walaupun kami kawan, saya kena sokong Pok Li kerana dia adalah proksi Ahmad Said. Oleh itu wang RM500 yang diungkit oleh “tanpa nama” bukannya wang peribadi Pok Li tetapi duit hari raya Menteri Besar kepada semua wartawan di Terengganu yang mana hampir 100 orang yang dapat duit raya.
Inilah kali pertama Menteri Besar beri duit raya kepada semua wartawan Terengganu sedangkan di zaman Idris Jusoh, dia pilih orang tertentu saja untuk beri duit raya. Masa saya jadi wartawan Terengganu Bestari milik UMNO Terengganu pada tahun 2006 saya tak terima pun duit raya dari Idris. Malah gaji saya bulan tu lambat dibayar selepas hari raya.
Bila saya mengadu kepada orang kuat UMNO Terengganu supaya cepatkan bayar gaji saya sebelum hari raya, masalah kecil seperti itu pun tak boleh selesai. Nasib baik Ahmad Said yang perihatin beri satu projek di Kemaman yang mana dapat saya belanja untuk hari raya.

Di Hulu Terengganu, Tengku Putera kekal sebagai ketua bahagian buat penggal ketiga. Beliau berjaya mengalahkan calon proksi Idris, Mohd. Nor Othman. Baru masuk politik sudah agah mahu lawan Tengku Putera sedangkan Tengku Putera aktif dalam politik sejak tahun 1993 lagi.

Di Setiu walaupun tiga ADUN bersatu untuk menjatuhkan Jidin Shafie tapi beliau buktikan bahawa beliau adalah kuat. Ada orang tanya kenapa saya tak sokong Jidin sedangkan Jidin adalah proksi Ahmad Said. Saya jawab pasal dia pernah malukan saya depan orang ramai, jadi saya tak perlu sokong dia.
Saya tak hipokrit macam setengah orang. Di zaman Idris ada seorang stringer siang malam maki Ahmad said, bila Ahmad Said jadi Menteri Besar, dia pula pi tunjuk muka kepada Ahmad Said. Nasib baik Ahmad Said bukan jenis pendendam. Macam pada tahun 1998, stringer ini sokong Dr. Ramli Taib sedangkan saya sokong Ahmad Shabey Cheek dalam pertandingan ketua pemuda UMNO bahagian Kemaman. Tetapi pada hari ini stringer itu jadi orang kuat Ahmad Shabery Cheek pula.

Walaupun semua ketua bahagian sudah menang janganlah amalkan balas dendam. Tengku Putera jangan balas dendam kepada Mohd. Nor Othman. Jidin jangan balas dendam kepada Cikgu Ramlan. Pok Li jangan balas dendam kepada Din Adam. Yahya jangan balas dendam kepada Rahman Bakar.
Contohilah Ahmad Said. Walaupun Bakar Ali kalah bertanding ketua UMNO Bahagian Kemaman pada tahun 2000, Ahmad Said tetap mencadangkan nama Bakar Ali sebagai calon BN bagi DUN Kemasik pada tahun 2004. Oleh itu semua pemenang jawatan Ketua Bahagian di Marang, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu perlu berjiwa besar seperti Ahmad Said.

Jumaat, Oktober 24, 2008

SIAPA MENANG DI MARANG ESOK?


ADUN Alur Limbat, Alias Abdullah menarik diri dari bertanding jawatan ketua UMNO bahagian Marang esok. Siapa yang menang di antara penyandang, Rahman Bakar dengan ADUN Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad amat menarik untuk diketahui esok.

Nampaknya Yahya sanggup mencabar Rahman walaupun Rahman melantiknya sebagai setiausaha bahagian sejak tahun 2004. Yahya selaku Exco Kerajaan Negeri tidak mematuhi arahan Menteri Besar, Ahmad Said supaya tidak mencabar ketua bahagian. Tetapi yang peliknya kenapa Yahya tidak dipecat sebagai Exco kerana tidak mematuhi arahan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu.

Yahya sanggup menyanggah arahan Ahmad Said. Oleh itu jika Yahya menang atau kalah dalam pertandingan ini esok, Ahmad perlu gugurkannya dari jawatan Exco sebagai satu pengajaran kepada beliau yang tidak mematuhi arahan Pengerusi Perhubungan.

Dapatkah Rahman mengekalkan jawatannya kali ini? Pada tahun 2004, beliau mengalahkan bekas ADUN Bukit Payong, Dr. Latif Awang. Beliau menang dalam pilihan raya pada tahun tersebut dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia tetapi beliau digugurkan oleh Idris Jusoh sebagai calon pada pilihan raya umum Mac lalu.

Tetapi beliau dilantik sebagai Senator baru-baru ini dan ia memberi nyawa baru kepada Rahman untuk kekal sebagai ketua bahagian Marang. Beliau juga dikatakan telah dilantik sebagai Pengerusi baru Golden Pharaos Berhad, GLC milik kerajaan negeri Terengganu. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukan nasib Rahman Bakar esok.