Selasa, September 03, 2013

WAJARKAH MUKHRIZ TANDING NAIB PRESIDEN UMNO?

Sehingga ini empat orang calon sudah mengesahkan akan merebut kerusi tiga orang Naib Presiden Umno pada 19 Oktober depan. Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Afdal dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad. Dua orang calon yang disebut-sebut akan menawarkan diri tetapi belum membuat pengumuman ialah Pengerusi PUNB, Datuk Seri Ali Rustam dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Malah nama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut dicadangkan bertanding jawatan tersebut. Ditekankan Wajarkah Mukhriz bertanding jawatan tersebut? Ini yang mahu ditekankan dalam tulisan ini buruk baiknya beliau bertanding. Mukhriz yang kali pertama bertanding di parlimen Jerlun pada pilihanraya umum 2008 telah dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Pada tahun 2009 beliau dicalonkan bertanding kerusi Ketua Pemuda Umno menggantikan Hishamuddin yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Mukhriz kalah di tangan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo. Baru-baru ini ayah Mukhriz yang juga bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno patut beri laluan kepada generasi muda untuk memimpin parti itu. Adakah ia ditujukan kepada perwakilan supaya memilih Mukhriz sebagai Naib Presiden Umno? Sebagai Menteri Besar Kedah, saya kira beliau patut bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno sahaja kerana beliau belum pernah berada dalam majlis tersebut kecuali selepas dilantik menteri besar. Tak payahlah beliau bertanding kerusi naib presiden Umno kecuali beliau sudah menang sebagai ahli majlis tertinggi sebelum ini. Menumbangkan Saya percaya jika beliau bertanding kerusi majlis tertinggi, beliau akan menang dalam senarai “top five.” Ini adalah kerana kejayaan beliau menumbangkan kerajaan PAS pada pilihanraya umum lalu walaupun beliau adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah. Pada tahun 2016 bolehlah beliau bertanding kerusi naib presiden. Namun demikian jika beliau mahu menguji popularitinya beliau boleh mencuba bertanding jawatan tersebut walaupun sebagai orang baru mustahil menang. Saya yakin beliau akan kalah jika terus bertanding kerusi Naib Presiden Umno kerana karismanya sebagai pemimpin pusat belum terserlah. Mungkin beliau mahu mengikuti jejak ayahnya, Dr Mahathir yang pernah kalah bertanding kerusi naib presiden pada tahun 1972 tetapi Dr Mahathir menang dalam percubaan kedua pada tahun 1975 setelah dilantik Menteri Pelajaran. Ditarik Mukhriz boleh bertanding buat kali pertama pada tahun ini dan bila kalah, beliau boleh mencubanya buat kali kedua pada tahun 2016. Pada tahun 2016 beliau sudah ditarik bertanding di parlimen dan menjadi menteri pusat pula. Pada tahun yang sama, Khairy Jamaluddin juga akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno setelah menyandang jawatan Ketua Pemuda selama dua penggal. Mungkin pada tahun 2016, kerusi naib presiden Umno menjadi milik anak Hussein Onn, anak Dr Mahathir dan menantu Pak Lah kerana itulah tradisi Umno yang mewariskan kepimpinan Umno dari ayah kepada anaknya pula. Kemungkinan mereka bertiga menang pada tahun 2016 tidak mustahil kerana dalam Umno boleh buat apa sahaja yang possible. Menurut sumber, Hishamuddin sudah kalah pada tahun 2009 tetapi oleh kerana Najib mahu Hishamuddin-Zahid-Shafie menang, maka Khaled Nordin yang menang terpaksa dikorbankan. Hasil dari pengorbanan Khaled, maka jawatan Menteri Besar Johor diserahkan kepadanya sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bekas setiausaha politiknya, Datuk Dr Shaharuddin menjadi Menteri Besar Johor. Dengan terlantiknya Khaled sebagai Menteri Besar Johor, Khaled telah memberi sokongan kepada Hishamuddin sebagai calon tunggal dari Johor yang bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Hishamuddin tersenyum lega kerana beliau mahu jadi Naib Presiden nombor satu mengambil tempat Zahid Hamidi. Rumusannya, pemilihan 19 Oktober 2013 masih terlalu awal bagi Mukhriz bertanding jawatan naib presiden. Tetapi perwakilan 2016 mungkin sudah bersedia menerima Mukhriz sebagai Naib Presiden Umno di samping Khairy Jamaluddin.