Memaparkan catatan dengan label sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sarawak. Papar semua catatan

Selasa, Jun 18, 2019

HAZIQ DILANTIK KERANA WAKILI SARAWAK

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pelantikan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau dibuat setelah mengambil kira keperluan kementerian itu untuk wakil Sarawak dan Sabah.

Menurut Shamsul Iskandar, Haziq Abdullah memohon untuk bekerja di kementerian tersebut setelah SUSK pertama beliau meletakkan jawatan.

"Saya juga ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan.

"Setelah ditemuduga dan mengambil kira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan keperluan Kementerian Industri Utama untuk wakil daripada Sarawak dan Sabah, Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini bagi menjelaskan isu pelantikan Haziq.

Haziq yang berasal dari Sarawak juga merupakan Ketua AMK Santubong.

Shamsul Iskandar pada Khamis lepas (13 Jun) memaklumkan Haziq, individu yang mengaku terlibat dalam video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, digantung tugas sebagai SUSK beliau.

Menurut Shamsul Iskandar, sebelum berkhidmat di Kementerian Industri Utama, Haziq juga pernah berkhidmat dengan beberapa pimpinan PKR antaranya menjadi pelatih di firma guaman Baru Bian, yang kini Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (Sivarasa Rasiah dan N.Surendran), pelatih INVOKE (Rafizi Ramli), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co.

Haziq juga pernah membantunya dalam hal-hal yang berkaitan penyelidikan Parlimen, katanya.

-- BERNAMA

Ahad, Mac 24, 2019

SARAWAK NEGERI PERTAMA PERKENALKAN BAS HIDROGEN

KUCHING, 23 Mac (Bernama) -- Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang akan memperkenalkan bas hidrogen sekali gus menjadi tarikan baharu bagi pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak akan mempunyai tiga bas yang menggunakan kuasa hidrogen sebagai penggerak selewat-lewatnya pada bulan Mei ini.

“Kami sedia maklum, dua bulan lepas, kami telah mempunyai sebuah bas yang menggunakan kuasa elektrik sebagai tenaga, kalau tidak ada halangan tiga bas kuasa hidrogen pula bakal dinikmati oleh warga Sarawak,” katanya kepada media pada majlis Muda Hashim Garage Sale 4.0 anjuran pemuda N8 Satok di sini malam ini.

Isnin, Jun 18, 2018

UMNO MASUK KE SABAH SELEPAS PBS KELUAR DARI BN, ADAKAH UMNO MASUK SARAWAK SELEPAS PBB KELUAR BN?

KUCHING, 18 Jun (Bernama) -- UMNO boleh sahaja mengembangkan sayapnya ke Sarawak tetapi belum pasti parti dari Semenanjung itu akan diterima oleh rakyat Sarawak, kata seorang penganalisis politik.

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, Pensyarah Kanan, Universiti Malaya berkata kewujudan UMNO di Sarawak ditolak ketika zaman pemerintahan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Tan Sri Adenan Satem dan kini Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Malah, katanya sudah ada 'gentleman agreement' antara era Taib dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan UMNO bertapak di Sarawak.

Katanya, ketika itu ramai pengundi luar bandar tidak dapat memisahkan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana yang disokong mereka bukan parti tetapi lebih kepada logo BN.

Bagaimanapun, katanya landskap politik sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila Dr Mahathir sudah berada di pihak Pakatan Harapan, manakala Taib tidak lagi aktif dalam bidang politik.

Khamis, Januari 12, 2017

RAKYAT SARAWAK MAKI SAYA KERANA ADENAN SATEM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Lapan bulan menerajui Sarawak selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 pada Mei tahun lalu, seorang pemimpin yang berjaya menambat hati rakyat melalui pendekatan 'politik kesejahteraan', Tan Sri Adenan Satem, menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam.

Allahyarham Adenan meninggal dunia pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching.

Bakal menjangkau usia 73 tahun pada 27 haribulan ini, Allahyarham merupakan Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih tugas daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Feb 2014.

Pada PRN yang lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, menewaskan Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.

Adenan, 72, meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Anu serta lima anak, empat perempuan dan seorang lelaki.

Dilahirkan pada 1944 di Kuching, Sarawak, Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph, Sarawak sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.

Memulakan kariernya sebagai Majistret di Kuching pada 1970, Adenan pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987 dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.

Perjalanan karier Allahyarham sebagai Ketua Menteri bermula pada 2010 apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri sebelum menyandang jawatan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak yang kebanyakannya mengendalikan isu berkaitan tanah.

Sebagai tokoh politik yang banyak menabur jasa dan khidmat khususnya dalam pembangunan negeri Sarawak, Allahyarham dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran 'Tan Sri', selain Pingat Perkhidmatan Bakti Negeri Sarawak dan Johan Bintang Sarawak pada 1986.

Peningkatan taraf hidup masyarakat di Sarawak merupakan agenda politiknya yang utama dan pangkat bukanlah kayu ukur yang diguna pakai untuk membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin yang nyata begitu disegani.

Mengimbas kembali bait-bait ucapannya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PRN-11 PBB Zon Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, April tahun lalu: "Sebagai seorang yang pernah memegang banyak jawatan penting dalam kerajaan sebelum dilantik menjadi Ketua Menteri, saya tidak 'gilakan pangkat'.

"Apa yang saya mahu ialah melihat taraf hidup masyarakat terus dipertingkatkan, lihatlah apa yang telah dilakukan sepanjang dua tahun saya dilantik sebagai Ketua Menteri."katanya.

Ulasan saya, pemergian Adenan merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat Sarawak. Ketika beliau menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di zaman Pak Lah menjadi Perdana Menteri, saya tidak pernah berurusan dengan beliau. Selepas PRU 2008, beliau meninggalkan karier politik di peringkat pusat dan senyap seketika. Enam tahun kemudian beliau dilantik Ketua Menteri Sarawak walaupun beliau bukan orang nombor dua dalam PBB.

Tetapi itulah kelebihan beliau yang berjaya menambat hati Tun Taib Mahmud untuk melantik bekas adik iparnya sebagai pengganti beliau. Saya pernah dimaki oleh rakyat Sarawak kerana mengkritik Adenan dalam blog ini.

Pada 6 November 2015 saya menulis dalam blog ini dengan tajuk "Nak tarik undi orang Cina pun, jangan kata KL bodoh". Beliau marah kerana KL tidak iktiraf peperiksaan UEC dan saya kritik beliau dalam posting itu yang menyebabkan ia menjadi viral dalam Facebook rakyat Sarawak.

Rakyat Sarawak maki saya dan kata saya macam macam. Ini menyebabkan rating posting tersebut dalam blog ini mencecah 4,204 hits.Saya terkejut rating naik kerana rakyat Sarawak bersatu membela Adenan Satem dan mereka menuduh saya orang Malaya jangan campur urusan politik Sarawak.

Pada bulan Oktober lepas ketika saya mendarat di lapangan terbang Miri, saya berdebar debar ketika berurusan dengan imigeresen kerana bimbang Adenan Satem menyekat saya masuk ke Sarawak kerana imigeresen Sarawak berhak melarang orang Malaya masuk Sarawak tetapi rupannya Adenan bersikap terbuka tidak menyekat saya masuk ke Miri walaupun saya mengkritik beliau dalam blog ini.

Isnin, Mei 09, 2016

KEMENANGAN BESAR SARAWAK DORONG PRU 14 TAHUN HADAPAN?

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengucapkan tahniah kepada pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Adenan Satem atas kemenangan besar dalam pilihan raya Sarawak semalam dan menganggap kekalahan DAP disebabkan populariti Adenan.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kegagalan DAP mengekalkan lima kerusi daripada 12 kerusi sebelumnya ialah disebabkan populariti Tan Sri Adenan atas sifat peribadi.

Beliau berkata Adenan dapat mewujudkan penampilan semula dalam dirinya dan mencorakkan hala tuju atau model politik yang baharu untuk mengembalikan populariti dan sokongan kepada BN sejak pilihan raya umum 2008.

"Populariti peribadi Adnan mengatasi apa-apa ketidaktengangan berhubung dengan larangan ke atas para pemimpin pembangkang dari Semenanjung daripada memasuki Sarawak," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari Ahad.

Beliau berharap Adenan dapat memenuhi janjinya untuk Sarawak menikmati kemakmuran dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum dan agama, mengembalikan hak ekonomi dan penurunan kuasa politik yang menghormati hak, maruah dan martabat rakyat Sarawak.

Lim berkata parti itu akan menjalankan "post-mortem" dan menunggu laporan penuh daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen mengenai kekalahannya termasuk kegagalan meraih kejayaan apabila bertanding di kawasan suku kaum Dayak di luar bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata ada petunjuk-petunjuk positif di beberapa kawasan kaum Dayak apabila calon DAP meraih sebahagian undi.

"Oleh kerana politik ialah perjuangan jangka panjang, pemimpin kita harus meneruskan usaha di kawasan-kawasan tersebut di bawah program Impian Sarawak serta memenangi semula kerusi yang hilang.

"DAP akan terus bekerjasama dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah. Kami perlu menebus kekecewaaan di kalangan penyokong kami, bukan hanya sebagai parti politik tetapi juga sebagai Pakatan Harapan," kata beliau.

Beliau berkata jentera dalaman Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan supaya persetujuan yang dicapai harus dihormati dan dikekalkan.

DAP hanya memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandingnya pada pilihan raya negeri Sarawak semalam sementara BN memenangi 72 kerusi dan PKR mengekalkan ketiga-tiga kerusinya.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Sarawak ke-11 adalah jauh di luar jangkaannya.

Beliau memberitahu persidangan media  bahawa ini kerana sebelum hari pengundian, beliau menjangkakan BN akan menang 65 atau 66 kerusi, tetapi menyaksikan BN kembali berkuasa dengan kemenangan yang begitu meyakinkan 72 kerusi daripada 80 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Ulasan saya, kemenangan cemerlang BN di Sarawak akan mendorong  PRU ke 14 akan diadakan pada tahun hadapan. Seperti kata PM, Najib Razak kemenangan ini menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menerima GST. Malah isu derma 2.6 billion dan 1MDB langsung tidak berkesan di Sarawak.

PRU ke 14 dijangka diadakan pada tahun 2018 tetapi dengan kemenangan besar ini maka PRU kemungkinan akan diadakan pada tahun hadapan. Najib Razak tidak perlu menunggu 2018 untuk mendapatkan mandat baharu dari rakyat Malaysia kerana Sarawak dan Sabah
masih lagi penentu kejayaan BN di Semenanjung.

Rabu, April 06, 2016

SARAWAK KEKAL TANPA UMNO



Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abang Johari Openg semalam menafikan khabar angin bahawa parti komponen BN itu akan cuba menubuhkan Umno di Sarawak.

"Saya ingin nyatakan dengan jelas, bahawa kita tidak akan membawa Umno ke Sarawak, sama ada oleh pemimpin semasa atau masa hadapan," kata Abang Johari kepada pemberita selepas taklimat pilihan raya parti.





Umno tidak wujud secara rasmi di Sarawak. Pemimpinnya tidak pernah dihalang daripada memasuki negeri ini.

Abang Johari juga menafikan pembabitan Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof dalam melobi untuk membawa Umno.

"Fadillah dikatakan sebagai pemimpin yang cuba membawa masuk Umno.

“Dulu mereka gunakan nama saya tetapi sekarang bahawa saya telah tua, mereka kata Fadillah pula akan membawa masuk Umno," katanya.

PBB menguasai 35 daripada 71 kerusi negeri dan dijangka meletakkan calon untuk bertanding di 11 kerusi baru yang diwujudkan November lalu.

Ditanya mengenai jaminan bahawa Umno tidak akan menjejak ke Sarawak, Abang Johari berkata kedua-dua komponen itu mempunyai "persefahaman bersama" bahawa PBB adalah tulang belakang BN negeri.

"Terdapat perbezaan yang besar antara Umno dan Sarawak, kerana di Sarawak kita mempunyai bumiputera dengan latar belakang yang berbeza-beza.

“Dalam Umno, mereka tidak mempunyai demografi seumpama itu. Terdapat perbezaan. Senario ini berbeza,” katanya.

Selasa, Mei 18, 2010

KALAULAH UMNO ADA DI SARAWAK


Kalaulah UMNO ada di Sarawak, UMNO yang bertungkus-lumus berkempen untuk calon SUPP pada pilihanraya kecil parlimen Sibu Ahad lalu. UMNO yang bermati-matian mempertahankan maruah BN seperti mana yang dilakukan UMNO pada pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor bulan lepas.

Nampaknya parti komponen BN di Sarawak seperti SUPP, PBB, PBDS tidak begitu serius berkempen mempertahankan maruah BN di Sibu. Sebab itu BN kalah tipis di tangan DAP.

BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi dan Hui Yew memperoleh 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Imej Pakatan Rakyat yang tercalar di Hulu Selangor tertebus kembali di Sibu. Ia amat mengejutkan kerana BN tidak pernah kalah di Sibu. Nampaknya para pengundi Cina masih bersama Pakatan Rakyat. Mereka tidak mudah digula-gulakan oleh BN dengan pancingan pelbagai projek.

Yang lucunya mereka terpaksa membuang undi dalam susana mengharung air kerana longkang tersumbat gara-gara kegagalan Majlis Perbandaran Sibu berfungsi dengan baik. Ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penduduk bandar Sibu.

Ketua menteri, Tan Sri Taib Mahmud berkata beliau tidak bimbang dengan kemenangan DAP itu kerana ia bukan petanda pembangkang akan menguasai Sarawak pada pilihanraya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sudah sampainya masa Taib Mahmud berundur kerana pengundi Sibu telah memberi isyarat mereka mahu ketua menteri Sarawak yang baeu. Mereka tidak mengundi si rambut putih lagi.

Oleh kerana MCA dan Gerakan tidak ada di Sarawak, maka SUPP yang berhadapan dengan para pengundi Cina. Maka SUPP juga kena kenalpasti kenapa orang Cina Sibu menolak mereka. masih belum terlambat untuk membuat perubahan dalam SUPP sebelum menjelangnya pilihanraya negeri pada tahun hadapan.