Selasa, Mei 18, 2010

KALAULAH UMNO ADA DI SARAWAK


Kalaulah UMNO ada di Sarawak, UMNO yang bertungkus-lumus berkempen untuk calon SUPP pada pilihanraya kecil parlimen Sibu Ahad lalu. UMNO yang bermati-matian mempertahankan maruah BN seperti mana yang dilakukan UMNO pada pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor bulan lepas.

Nampaknya parti komponen BN di Sarawak seperti SUPP, PBB, PBDS tidak begitu serius berkempen mempertahankan maruah BN di Sibu. Sebab itu BN kalah tipis di tangan DAP.

BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi dan Hui Yew memperoleh 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Imej Pakatan Rakyat yang tercalar di Hulu Selangor tertebus kembali di Sibu. Ia amat mengejutkan kerana BN tidak pernah kalah di Sibu. Nampaknya para pengundi Cina masih bersama Pakatan Rakyat. Mereka tidak mudah digula-gulakan oleh BN dengan pancingan pelbagai projek.

Yang lucunya mereka terpaksa membuang undi dalam susana mengharung air kerana longkang tersumbat gara-gara kegagalan Majlis Perbandaran Sibu berfungsi dengan baik. Ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada penduduk bandar Sibu.

Ketua menteri, Tan Sri Taib Mahmud berkata beliau tidak bimbang dengan kemenangan DAP itu kerana ia bukan petanda pembangkang akan menguasai Sarawak pada pilihanraya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sudah sampainya masa Taib Mahmud berundur kerana pengundi Sibu telah memberi isyarat mereka mahu ketua menteri Sarawak yang baeu. Mereka tidak mengundi si rambut putih lagi.

Oleh kerana MCA dan Gerakan tidak ada di Sarawak, maka SUPP yang berhadapan dengan para pengundi Cina. Maka SUPP juga kena kenalpasti kenapa orang Cina Sibu menolak mereka. masih belum terlambat untuk membuat perubahan dalam SUPP sebelum menjelangnya pilihanraya negeri pada tahun hadapan.