Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan kerusi parlimen Sibu yang akan diumumkan keputusannya malam ini.
Proses pengundian bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu berakhir apabila kesemua 45 pusat pengundian tutup pada pukul 5 petang Ahad.
Proses pengiraan sedang berlangsung dengan penjumlahan undi dilakukan di Dewan Suarah Sibu di sini.
Sepuluh pusat mengundi ditutup pada pukul 1 tengah hari, lima pada pukul 2 petang, enam pada pukul 3 petang, dua pada pukul 4 petang manakala 22 lagi pada pukul 5 petang.
Setakat 4 petang, kira-kira 31,119 atau 56.9 peratus pengundi telah keluar mengundi.
Pada pilihan raya umum 2008, peratusan mengundi ialah 67 peratus.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau kurang berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya kecil kali ini.
Keputusan pilihan raya dijangka akan diumumkan seawal-awalnya pada pukul 9 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail berkata proses pengundian berjalan dengan lancar.
"Tiada sebarang laporan mengenai perlanggaran peraturan pilihan raya. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku cuma ejek-mengejek antara penyokong parti bertanding," katanya ketika dihubungi.