Jumaat, Mei 14, 2010
AL FATIHAH BUAT ABU YA
Bekas pemimpin Darul Arqam, Ustaz Ashaari Muhammad meninggal dunia di Hospital Pakar, Ipoh semalam. Beliau yang dikenali sebagai Abu Ya pernah ditahan di bawah ISA kerana ajarannya dikatakan membahayakan masyarakat.
Darul Arqam begitu berpengaruh pada akhir 70an. Ramai profesional yang menyertai Arqam kerana mendapati pertubuhan itu bukan sahaja mendedaktkan mereka kepada agama Islam tetapi ia terlibat dalam aktiviti ekonomi seperti mengeluarkan kicap.
Pada akhir tahun 1977, saya pernah mengikuti kursus kefahaman Islam anjuran Arqam. Adik saya, Ustaz Mahir mengajak saya pergi. Mahir berjinak dengan Arqam sejak dia dalam tingkatan empat lagi ketika belajar di sebuah sekolah menengah di Kuantan. Kursus selama seminggu itu dihadiri oleh orang ramai dari seluruh negara. Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM turut dijemput berceramah. Dalam ceramahnya beliau memuji Arqam cuma dia tak setuju dengan ahli Arqam yang buang tv ke dalam sungai. Baginya tv itu penting untuk tengok perkembangan yang berlaku di seluruh dunia.
Selepas kursus itu adik saya kekal dengan Arqam yang kekal berjubah hijau sejak menjadi ahli Arqam. Saya tidak sertai Arqam kerana saya dapati ia tidak sesuai dengan jiwa saya. Kawan kawan selalu bergurau dengan saya, adik masuk arqam, abang suka terkam.
Adik saya, Mahir akhirnya menjadi orang kuat Ustaz Shaari. Ayah saya marahi Mahir kerana dia selalu ikut Ustaz Shaari ke luar negara seperti Jordan, Mesir, Iran tetapi tak pernah singgah buat umrah di Mekah.
Apabila Ustaz Shaari ditahan di bawah ISA, adik saya sempat lari ke London selama dua bulan. Lepas itu dia kembali ke Malaysia. Oleh kerana emak angkatnya baik dengan Datuk Megat Junid, Timbalan Menteri Dalam Negeri, akhirnya namanya dipadam dari senarai ahli-ahli Arqam yang ditahan di bawah ISA.
Saya kadangkala disalah anggap sebagai Ustaz Zabidi Mohamad, penasihat undang undang Darul Arqam yang menulis sebuah buku mengenai Arqam selepas ditahan di bawah ISA. Adik saya selepas Arqam diharamkan, terus meninggalkan Arqam tetapi bekas ahli Arqam ramai yang taksub dengan Abu Ya.Abu Ya marahi adik saya dalam sebuah sajak kepada semua bekas ahli Arqam dalam sebuah bukunya.
Mereka menyertai Rufaqa yang dikatakan jelmaan semula Arqam. Abu Ya kekal dengan pegangan Aurad Muhamadiyah. Mahir menceraikan dua isterinya kerana mereka kembali menyertai Arqam. Ternyata Arqam cuma memerah wang ahli-ahlinya. Mereka sanggup berkorban menghulur wang kepada Arqam setiap bulan tetapi apa yang Arqam buat kepada mereka?
Apabila janda Mahir, Maimun kemalangan dan koma di hospital selama 46 hari, tiada seorang pun ahli Arqam datang melawat bertanya khabar. Masa Maimun meninggal dunia, tiada seorang pun ahli Arqam datang menziarahi Maimun di kubur.
Abu Ya sudah tiada. Janganlah pulak ada ahli Arqam yang fanatik berkata Abu Ya tidak mati. Nabi Muhammad wafat takkanlah manusia biasa seperti Abu Ya tidak mati. Abu Ya berjaya mendidik ahli-ahlinya setia dengan Arqam. Walaupun sudah bertukar nama kepada Rufaqa tetapi semua orang tahu itu adalah rebranding nama Arqam. Al Fatihah buat Abu Ya.