Khamis, April 04, 2013

MB TETAP PERTAHAN DUN KIJAL

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada pilihan raya umum ke-13 ini. Kenyataan beliau itu sekaligus melenyapkan khabar angin bahawa namanya tidak tersenarai untuk bertanding kali ini. Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya DUN Sura di Dungun, lewat malam tadi, beliau berkata kerusi DUN Bandar akan dipertahankan MCA menerusi penyandangnya Datuk Toh Chin Yaw. Pada masa yang sama Ahmad menggesa mereka yang tidak tersenarai agar memberi sokongan padu kepada semua calon Barisan Nasional (BN) Terengganu. "Jika hari ini kita tolong orang lain, satu hari nanti orang lain pula akan sokong kita. Tidak bertanding bukanlah bermaksud karier politik seseorang itu tamat," katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai senarai calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kali ini. Ditanya mengenai komposisi calon dan penyertaan calon wanita, Ahmad hanya menjawab ringkas: "Tunggu sehingga pengisytiharan calon diadakan."