Jumaat, September 13, 2013
SEMUA JAWATAN UTAMA DI KEMAMAN DICABAR
Umno Bahagian Kemaman dijangka menyaksikan tiga jawatan utamanya dicabar Oktober ini.
Menurut sumber, seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian.
Tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar.
Sumber itu menambah, jika tokoh veteran itu jadi menentang Ahmad Said, ini bermakna Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu gagal mengawal ahlinya supaya menjadikan Umno Kemaman sebagai contoh kepada tujuh bahagian lain di Terengganu.
Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dijangka menerima cabaran daripada seorang ahli perniagaan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
Cabaran dari ahli perniagaan itu dikatakan direstui Ahmad Said kerana Ahmad Shabery dijangka mencabar Ahmad Said pada tahun 2016 jika benar Ahmad Said dikekalkan Menteri Besar untuk satu tahun sahaja.
Sumber itu menambah, maka politik Ahmad Shabery perlu dimatikan pada 19 Oktober jika Ahmad Said mahu kekal sebagai Ketua Bahagian pada tahun 2016.
Manakala bagi jawatan naib ketua pula, ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar (gambar) dikatakan akan mencabar Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid.
Sumber itu memberitahu FMT bahawa Wan Hakim dikatakan mendapat sokongan daripada Ahmad Shabery yang mahu melihat karier politik Setiausaha Politik Menteri Besar itu berakhir.
Manakala Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim,29, dijangka menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Hisham Zubir.
Hisham dikatakan merestui Fikri Ibrahim atau nama glamournya, Bulat, 37, untuk jawatan tersebut yang akan menyaksikan pertandingan dua penjuru. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)