Jumaat, Oktober 15, 2010
DUA PEKERJA DIPENJARA TUJUH TAHUN
Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini atas empat tuduhan berasingan melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.
Mereka ialah U Suresh, 26, dan K Sarawanan, 19, kedua-duanya pekerja ladang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.
Kelmarin, seorang peguam, N. Pathmanabhan didakwa di mahkamah sama dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Semua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38.
Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.