KUALA LUMPUR: BN Terengganu perlu akur dengan calon menteri besar pilihan Datuk Seri Najib Razak jika berjaya mengekalkan kemenangan di negeri itu pada PRU akan datang, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau yang merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, Najib selaku pengerusi BN pastinya mempunyai pertimbangan sendiri dalam memilih orang yang sesuai mentadbir negeri itu.
"Saya percaya pucuk pimpinan ada pertimbangannya dan pertimbangan itu yang harus kita patuhi," katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengatakan setiausaha politik Najib, Datuk Jailani Ngah bakal dipilih menjadi menteri besar Terengganu.
Jailani dikatakan akan bertanding di DUN Batu Rakit, manakala Ahmad Razif berpindah ke kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dipegang PAS.
Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman bagaimanapun berkata pentadbiran negeri tidak berdepan banyak masalah bawah pimpinan Ahmad Razif.
"Saya lihat tiada banyak masalah sekarang. Sudah tentu setiap orang yang diberi tanggungjawab memerlukan masa untuk membuktikan kemampuannya," katanya lagi.
Malah beliau mengatakan kedudukan Umno dan BN di sana kini lebih kukuh dan yakin mampu menambah beberapa kerusi DUN dan Parlimen pada PRU ke-14.
"Saya percaya beberapa kerusi akan dapat diambil balik...(Namun) ia memerlukan kerja kuat dan (pasukan yang) bersatu," katanya lagi.
Ahmad Said dikatakan kecewa dengan perkara itu dan mengumumkan keluar Umno dan menjadi ADUN bebas, disusuli Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukti Besi, Roslee Daud.
Susulan itu, BN hanya memiliki 14 kerusi DUN manakala PAS dan PKR 15 kerusi.
Bagaimanapun ketiga-tiga mereka menarik balik keputusan untuk keluar Umno selepas campur tangan Najib.
Jailani sudah dua penggal berkhidmat dengan Najib. Selain itu beliau juga menjadi pengerusi program khas Haji 1MDB.
Sumber mendakwa Jailani dipilih berdasarkan latar belakang akademik dan agama yang kuat, iaitu lepasan jurusan undang-undang syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).