Memaparkan catatan dengan label kena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kena. Papar semua catatan

Ahad, Mei 29, 2016

PENGAMAL MEDIA KENA SAMPAIKAN MAKLUMAT TEPAT

KOTA KINABALU, 28 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan para pengamal media tempatan supaya sentiasa menyampaikan maklumat tepat dan tidak mengelirukan rakyat.

Ini kerana, ada pihak media menyiarkan berita yang belum lagi diketahui kesahihannya sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, katanya.

Sebagai contoh, Salleh berkata isu pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Salleh berkata rang undang-undang itu bukanlah hukum hudud seperti disiarkan akhbar.

"Maklumat itu tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku ialah pindaan ke atas undang-undang syariah, selain ia juga satu usul persendirian dan dalam sistem demokrasi yang kita amalkan memang dibolehkan mengemukakan usul persendirian dan terserah pada kesesuaian sama ada konkrit atau tidak," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap melancarkan secara rasmi siaran Bernama Radio di Kota Kinabalu Sabah menerusi frekuensi FM107.9.

Dalam pada itu, Salleh berkata walaupun media mempunyai persaingan untuk menyampaikan maklumat dengan pantas, namun, kesahihan berita perlu diberi keutamaan agar rakyat mendapat maklumat yang betul dan tidak menimbulkan salah faham.

Mengenai isu tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah, Salleh berkata perkara itu tidak perlu dibahaskan lagi kerana sudah jelas bahawa rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia.

"Kita tidak pernah mengiktiraf tuntutan (Filipina) ke atas Sabah kerana rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia," katanya.

Pada Rabu, bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte dilaporkan berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

-- BERNAMA

Khamis, Ogos 27, 2015

ANNUAR MUSA KENA SERIUS PERTAHANKAN NAJIB

Salah satu faktor BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU 2008 adalah kerana serangan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Pak Lah. Selepas Pak Lah berundur dari jawatan PM pada tahun 2009, Dr Mahathir kembali menyertai Umno namun BN tetap gagal mendapat majoriti dua pertiga pada PRU2013.

Sebab itulah Pengerusi BBCBN, Shahrir Samad menganggap bahawa Dr Mahathir sudah tidak relevan lagi. Dr Mahathir tak serang Najib, tetapi Najib gagal mendapat kemenangan majoriti dua pertiga.Najib mencatat sejarah sebagai PM yang pertama tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU sulungnya.

Kini Dr Mahathir menyerang Najib, apakah BN akan gagal lagi mendapat majoriti dua pertiga pada PRU2018? Atau BN tumbang terus seperti dibimbangi timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yasin bahawa jika BN gagal mendapat sokongan dua peratus pengundi, maka BN akan kalah.

Umno seolah-olah mahu lemas dengan asakan Dr Mahathir tentang isu 1MDB, isu derma RM2.6 billion, isu GST dan isu kejatuhan Ringgit Malaysia (RM). Menyedari hakikat ini maka ahli majlis tertinggi Umno, Annuar Musa rasa terpanggil untuk membela Najib demi menyelamatkan institusi Presiden Umno.

Selepas enam tahun Najib menjadi PM, Annuar yang juga bekas menteri di zaman Dr Mahathir tidak pernah menjejak kaki di pejabat Najib. Tetapi bila Najib terus diserang pembangkang dan ahli Umno sendiri, beliau tampil membantu Najib.

Annuar diberi peluang menjelaskan isu-isu semasa di majlis Umno Bahagian Seputeh. Ahli-ahli Umno bahagian tersebut kagum cara Annuar menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli akar umbi, maka sekali lagi Annuar dijemput berceramah di majlis anjuran pemuda, wanita dan puteri Umno  Wilayah Persekutuan dua malam lepas di PWTC.

Dalam majlis tertutup itu, Annuar secara berseloroh berkata majlis malam ini majlis tertutup tetapi dua hari lagi keluarlah video ucapan saya yang menunjukkan bahawa sekarang semua majlis tertutup sudah jadi terbuka dengan adanya handphone yang boleh merakam suara pemimpin dan mengambil video.

Bukanlah niat saya mahu menyebarkan apa yang tertutup dalam majlis itu, tetapi demi kepentingan rakyat yang ingin tahu tentang 1MDB, GST, derma RM2.6 billion maka saya kira wajar mendedahkan fakta supaya rakyat dapat memahami isu ini dengan lebih jelas.

Annuar memulakan mukadimah dengan mengatakan Melayu tidak pernah ada dalam sejarah berjaya menundukkan penjajah. Portugis datang dengan dua kapal, kerajaan Melaka tumbang. Belanda datang, melayu tumbang. Inggeris datang, melayu kecundang. beliau bertanya bila Melayu dapat menundukkan penjajah? Ia berlaku pada tahun 1946 apabila Onn jaafar berjaya menyatukan Melayu untuk menentang Malaya Union. Soladariti orang Melayu inilah yang melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Annuar yang kini ahli parlimen Ketereh mendakwa dalam suasana sekarang Presiden Umno diserang, 3 juta ahli Umno perlu bersatu bangkit mempertahankan najib. Maka majlis tertutup seperti ini lebih banyak perlu diadakan, katanya.

masalah yang berlaku sekarang ialah serangan bukannya datang dari pembangkang sebaliknya dari bekas Presiden Umno dan bekas PM sendiri yang  masih berpengaruh di kalangan rakyat jelata. Ini yang mengelirukan rakyat dan menyebabkan rakyat semakin tidak yakin dengan kepimpinan Najib yang dianggap sebagai PM terburuk dalam sejarah Malaysia.

Sambil menceritakan pengalamannya dalam membangunkan Umno kelantan selepas Tengku Razaleigh hamzah menyertai Semangat 46, Annuar berkata beliau dihina kerana majoriti rakyat kelantan yang kecewa dengan Ku Li yang tidak dapat jadi Presiden Umno telah memboikot beliau dan meninggalkan Umno.

Bukannya mudah untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat Kelantan terhadap Umno. Bukan sahaja beliau berdepan dengan Semangat 46, beliau pula diboikot oleh pihak istana. Tetapi demi menyelamatkan Umno, beliau tidak pernah patah semangat dan akhirnya Ku Li kembali ke dalam Umno pada tahun 1995 selepas berperang dalam dua PRU 1990 dan 1995.

Katanya, jika beliau mahu popular, beliau ;patut ikut Ku Li kerana Ku Li yang bawa dia balik bekerja di SEDC Kelantan dari DBKL sebagai pegawai perancang bandar. Beliau sepatutnya terhutang budi kepada Ku Li yang membawanya masuk Umno dan menjadi ADUN dalam usia yang muda, 33 tahun. Tetapi demi Umno, beliau terpaksa menyebelahi Dr Mahathir kerana katanya, " it is not that i love Ceaser less, but i love Rome more".

Dalam ucapannya Annuar mengaku beliau terhutang budi kepada Dr Mahathir yang melantiknya sebagai menteri. Secara berseloroh beliau berkata kalah pilihanraya 1990, beliau dapat jadi menteri tetapi menang pilihanraya 2013, beliau tak dapat jadi menteri.

menjelaskan isu derma RM2.6 billion, Annuar menjelaskan oleh kerana itu kehendak penderma , maka duit itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dan bukan ke dalam akaun Umno. Soalnya jika najib mati, adakah Najib sudah tinggalkan wasiat kepada Rosmah supaya memulangkan semula duit itu kepada Presiden Umno yang baharu atau duit itu akan menjadi milik Rosmah?

Apabila Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan isu ini, maka Annuar memanggil beberapa orang ahli majlis tertinggi Umno  untuk menemui Najib. najib pun menerangkan hal sebenar duit itu datangnya dari mana, maka mereka berpuas hati dengan penjelasan Najib. tambahan pula ia mendapat pengesahan SPRM bahawa duit itu bukan duit 1MDB tetapi duit derma.

Semalam Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa beliau tidak percaya duit RM2.6 billion itu duit derma. Maka Annuar kena serius mempertahankan Najib dan menyerang bekas bossnya, Dr mahathir secara terbuka. Sudah sampai masanya Annuar membelasah Dr mahathir kerana punca kekeliruan ini timbul dari Dr mahathir sendiri yang menghasut rakyat mendesak najib meletakkan jawatan. Kalau pada tahun 1989, Annuar sanggup menentang Ku Li mentor politiknya secara terbuka maka sudah sampainya masanya bagi Annuar mengkritik Dr Mahathir secara terbuka.

Nampaknya pemuda, wanita, puteri Umno Wilayah Persekutuan berpuas hati dengan penjelasan Annuar Musa mengenai isu-isu semasa. Beliau berjaya menawan hati golongan muda kerana pidatonya menggunakan bahasa yang mudah dengan cara penyampaiannya diselang-seli dengan lawak jenaka.

 Pada tahun 80an, kalau wakil dari kelantan, Annuar Musa berucap dalam perhimpunan agung Umno, perwakilan yang berkeliaran di luar Dewan Merdeka cepat-cepat masuk ke dalam dewan untuk mendengar Annuar berucap. Itulah kelebihan pidato Annuar yang mana dahulu Umno ada dua Anuar, satu Anwar Ibrahim dan satu lagi Annuar Musa. Secara berseloroh beliau berkata beliau tidak mahu "landing" seperti Anwar Ibrahim.

pemuda dari Cheras mencadangkan najib melantik Annuar Musa sebagai ketua penerangan Umno yang baharu. Menjawab cadangan itu, Annuar berkata biarlah jawatan itu diberi kepada orang muda kerana tanpa jawatan pun beliau  akan terus berceramah mempertahankan institusi Umno.

Ahli Umno hendaklah menganggap Dr mahathir sebagai musuh utama Umno. Ini adalah kerana beliau yang menentang presiden Umno secara terbuka. Serangan Dr Mahathir terhadap Najib menyebabkan ahli Umno ragu-ragu dengan najib. 27 bahagian Umno tidak dapat menerima kepimpinan Najib dan ada ahli Umno yang sanggup menuduh Najib kaki kencing. kalau ahli Umno sendiri tidak menghormati Najib, siapa lagi yang mahu menghormatinya?

Maka majlis tertinggi Umno hendaklah memecat Dr mahathir dari Umno kerana beliau adalah duri dalam daging. najib kena tegas kalau beliau mahu melihat Umno terus kekal dalam krisis ini. Dr mahathir demi menyelamatkan Umno yang baru sahaja disahkan haram,tidak menerima Ku Li dan Musa masuk Umno baru pada tahun 1989. Justru itu najib kena tegas dalam soal ini. Jika tidak Umno akan hancur pada PRU2018.

Takdirnya Dr Mahathir mati di luar Umno, ia adalah tradisi Umno kerana tiga presidennya meninggal dunia di luar Umno iaitu Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Jika Dr mahathir mati di luar Umno, maka tradisi ini akan menjadi budaya Umno.






Jumaat, Jun 21, 2013

NAJIB KENA BERANI MACAM KHAIRY

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tidak akan menjadi masalah sekiranya berlaku pertandingan untuk merebut jawatan tertinggi sayap parti itu. Khairy berkata, pertandingan merebut jawatan secara tidak langsung dapat memperlihatkan semangat demokrasi mengikut pindaan perlembagaan parti yang memudahkan sesiapa sahaja untuk bertanding. Biarpun begitu, katanya, keputusan sama ada beliau mempertahankan jawatan tertinggi dalam pergerakan tersebut belum diputuskan lagi dan akan diumumkan kemudian. "Kalau saya buat keputusan hendak mempertahankan kedudukan jawatan Ketua Pemuda maka boleh lawan tiada masalah. Saya alu-alukan sesiapa yang hendak bertanding. "Kalau saya buat keputusan untuk tinggalkan atau serahkan jawatan mestilah ada pertandingan dan akhirnya kita buka kepada sesiapa," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Tajaan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di sini hari ini. Yang hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jamil Salleh. Menurut Khairy, ahli-ahli pergerakan sayap UMNO itu perlu juga melihat kepada prinsip perpaduan yang diamalkan selama ini selain menjulang semangat demokrasi dalam parti. "Apa yang penting adalah semangat demokrasi mesti kita hormati tetapi pada masa sama prinsip perpaduan itu juga kena jaga," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, mengadakan perbincangan sesama ahli merupakan jalan penyelesaian untuk isu tersebut. Ulasan saya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kena berani macam Khairy yang sanggup menerima cabaran dari sesiapa sahaja untuk pertandingan jawatan tersebut hujung tahun ini. Beliau kena gentleman kerana biar perwakilan yang menentukan siapa yang layak menjadi Presiden UMNO. Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dijangka menentang Najib bagi jawatan tersebut.

Khamis, April 18, 2013

BN KENA AMBIL TINDAKAN TERHADAP ANAK SAMY VELLU

Barisan Nasional (BN) akan kalah di Selangor pada 5 Mei ini jika gabungan tersebut bertegas untuk meletakkan Datuk Zulkifli Noordin di Shah Alam, kata S Vell Paari dari MIC hari ini dalam kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel. Menurut pemimpin MIC itu, dengan meletakkan Zulkifli, BN berisiko untuk kehilangan undi India, yang beliau katakan akan menjadi faktor penentu di negeri seperti Selangor - kini diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR). Menurut SMS yang dihantar ke The Malaysian Insider dari sumber dalaman parti itu malam ini, Vell (gambar) mendesak Palanivel untuk menyampaikan kebimbangannya kepada Datuk Seri Najib Razak dan meminta tindakan dari pengerusi BN itu, memberi amaran "keadaan buruk" jika tiada tindakan diambil. "Kepada Datuk Seri G Palanival, Zulkifli Noordin sebagai calon di Shah Alam adalah penghinaan kepada orang Hindu di Malaysia. Di mana-mana orang emosi mengenai perkara ini," katanya dalam SMS tersebut yang turut dihantar kepada ahli jawatankuasa pusat MIC. Anak kepada bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu memberitahu terdapat 15,000 pengundi India di Shah Alam, 31,000 di Kota Raja, 21,000 di Kapar dan 17,000 di Subang, kebanyakkannya menurut beliau marah dengan pemilihan Zulkifli oleh Najib. "Kira boleh kehilangan hampir 50 peratus hingga 70 peratus undi India yang akan menyebabkan kekalahan calon MIC terutamanya di Selangor dan dengan pengundi India menjadi faktor penentu, ia boleh menyebabkan BN gagal untuk merampas Selangor," katanya dan memberi amaran sentimen tersebut turut merebak ke negeri lain. "Dato Seri kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan semua orang terlepas dengan memohon kemaafan selepas menghina agama dan komuniti. "Pemimpin kita di bawah terutamanya di Shah Alam telah didera secara lisan," katanya. Vell mengakhiri SMSnya dengan mengatakan beliau hanya memerhatikan secara tertib dengan memohon tindakan tentang pencalonan Zulkifli melalui rayuan kepada presiden parti. "Ini nasihat strategik saya sebagai seorang pengarah strategi," katanya. Vell kemudiannya mengesahkan kepada The Malaysian Insider beliau telah menghantar SMS tersebut. Apabila ditanya apakah beliau menerima cabaran DAP untuk meletakkan jawatan parti jika Zulkifli tidak digugurkan sebagai calon BN, pemimpin tersebut tidak memberikan jawapan "ya". "Saya juga boleh tanya soalan sama kepada DAP. Hari ini PSM mempunyai masalah dengan PR berhubung isu kerusi dan logo. PSM menyatakan ‘PKR menggunakan faktor kaum untuk menafikan kerusi kami'. "Jadi apakah DAP akan keluar PR kerana penggunaan faktor kaum untuk menafikan kerusi kepada PSM oleh PR? katanya dalam satu SMS. Najib mengesahkan pencalonan Zulkifli di Shah Alam semasa mengumumkan senarai calon BN Selangor semalam, membenarkan penyandang kerusi Kulim Bandar Baharu untuk bertanding secara langsung di bawah tiket BN. Keputusan tersebut menyebabkan perdana menteri kerajaan sementara itu dikritik hebat, sebahagian besarnya disebabkan reputasi Zulkifli sebagai seorang Muslim berhaluan kanan, jawatannya sebagai naib presiden Perkasa dan kontroversi terbarunya mengenai penghinaan terhadap penganut Hindu. Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan "Keling", yang masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut Hindu. Zulkifli pernah menjadi salah seorang panel peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempersoalkan kesuciaan Sungai Ganges yang turut dikenali sebagai Ganga di India, dianggap suci oleh penganut Hindu. Zulkifli menjadi ahli parlimen bebas mesra BN selepas dipecat daripada PKR pada 6 Mac, 2010 disebabkan laporan polis yang dibuatnya kepada penyandang kerusi parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad. Calon Umno, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin kalah kepada Khalid pada 2008 dengan majoriti 9,314 undi. Pada 2004, beliau mengalahkan Khalid dengan majoriti 13,410 undi. Ulasan saya, apa tindakan BN kepada anak Samy Vellu terhadap kenyataannya yang tidak menyokong calon BN. Oleh itu BN kena tegas memecat Vell Peri dari BN jika BN gagal menumbangkan Pakatan Rakyat pada pilihanmraya umum.

Sabtu, Oktober 15, 2011

MELAYU KENA SENTIASA BERSATU


Umat Islam dan Melayu wajib bersatu sekiranya mahu semua masalah terutama isu murtad yang melanda masyarakat hari ini diselesaikan sepenuhnya tanpa dibangkitkan kembali oleh mana-mana pihak.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata, semua masalah tersebut timbul disebabkan umat Islam berpecah sehingga menjadi lemah dan membuka ruang kepada orang lain mengambil kesempatan.

Beliau berkata, para mufti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bergerak sepenuhnya agar perpaduan dapat dibentuk semula dan menjadikan Melayu kembali kuat.

"Pada masa sekarang saya melihat setiap masalah yang timbul diselesaikan satu persatu, sebagai contoh isu murtad, cara penyelesaian dengan memperkenalkan Akta Murtad tetapi selepas itu muncul pula isu ekonomi dan jalan penyelesaian dicari.

"Cara ini baik tetapi tidak selesai secara keseluruhan. Hakikat sebenar semua masalah ini dapat diselesaikan dengan satu cara sahaja iaitu Melayu kembali bersatu dan pasti tidak ada siapa lagi yang berani menekan kita dengan tuntutan yang merepek," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perkasa Kelantan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tokoh-tokoh agama di seluruh negara menyokong cadangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya Akta Murtad diwujudkan bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Perkasa akan terus berjuang dan menyeru semua umat Islam dan Melayu bersatu demi menghadapi cabaran dunia globalisasi hari ini.

Beliau bersyukur kerana suara pertubuhan tersebut kini mula disedari semua pihak biarpun pada mulanya dipandang serong oleh banyak pihak

"Sebelum ini hampir setahun lalu bila Perkasa dedah isu berkaitan Islam, ekonomi dan pendidikan, Perkasa dikecam dituduh bukan saja di kalangan bukan Islam tetapi orang Melayu sendiri.

"Tetapi sekarang satu persatu isu tersebut benar-benar berlaku, bila keadaan terdedah baru semua pihak gelabah, kita berharap selepas ini semua menyedari hakikat sebenar dan bersatu supaya tidak ditekan oleh mana-mana pihak," katanya.

Ulasan saya, orang Melayu kena bersatu sentiasa jika tak mahu kuasa politik mereka hilang. Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan 10 tahun lagi Melayu akan hilang kuasa kalau asyik berpecah kepada tiga parti sekarang- UMNO, PAS dan PKR.

Orang Melayu akan jadi macam orang Melayu Singapura bila Pakatan Rakyat menang nanti. Ketika itu baru orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat menyesal kerana DAP akan jadi parti dominan Pakatan Rakyat. Tak usah mimpilah PAS nak buat hukum hudud jika Pakatan Rakyat menazng kerana seperti kata Karpal Singh, PAS kena langkah mayatnya terlebih dahulu.

Oleh itu untuk kekalkan keamanan di negara ini, kita orang Melayu kena bersatu. Kembalilah kepada UMNO bagi orang Melayu yang masih bersama PAS dan PKR. Hanya UMNO yang mampu membela nasib orang Melayu.

Isnin, Oktober 11, 2010

PILIHAN KU LI KENA DISOKONG


Semua pihak hendaklah memberi sokongan kepada calon yang dikemukakan Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya itu.

Yang Dipertua Majlis Veteran Umno Kelantan, Datuk Rozali Isohak berkata dengan sokongan padu semua pihak, tidak mustahil kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan BN Kelantan kembali dikuasai Umno selepas ini.

"Secara tradisinya DUN Galas milik Umno, disebabkan wakil rakyat sebelum ini tidak mengambil tahu masalah rakyat, Umno kalah kepada PAS pada pilihan raya umum lalu," katanya ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata DUN Galas merupakan jantung dan hati kepada Umno Kelantan kerana tidak pernah kalah termasuk pada pilihan raya umum 1990 di mana kerusi Umno dan BN tinggal dua sahaja.

"Tidak mustahil Umno dan BN Boleh menang sekiranya calon yang dikemukakan oleh Ku Li mendapat sokongan semua pihak," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau meminta mana-mana calon yang dipilih dan menang pada pilihan raya itu bekerja kuat demi masa depan Umno dan BN di Kelantan.

"Jangan ada lagi wakil rakyat yang mengabaikan tanggungjawab mereka tetapi wakil rakyat yang cakna rakyat," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Chek Hashim Sulaima, 46 kerana barah usus pada 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, hari mengundi ialah pada 4 Nov.

Khamis, Januari 21, 2010

DATUK MAZLAN KENA TEGAS

Tahniah kepada Datuk Mazlan Ngah yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu yang baru menggantikan Datuk Mokhtar Nong yang bersara awal. Soal Mazlan mengambilalih jawatan Mokhtar tidak perlu dipersoal kerana di zaman Datuk Seri Idris Jusoh pun Datuk Muhatar diarah bersara awal untuk memberi laluan kepada Mokhtar Nong.

Oleh itu apa yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad said bukan perkara baru. Di zaman PAS pun, Datuk Che Mat Jusoh diarah bersara awal untuk memberi laluan kepada Datuk Mazlan Hashim sebagai SUK yang baru apabila PAS berkuasa di Terengganu pada tahun 1999.

Mazlan sebagai SUK yang baru kena tegas dengan pegawai bawahannya. Jangan jadi penakut kepada pegawai bawahannya. Pada Rabu 13 Januari lalu dalam sebuah mesyuarat jawatankuasa tender sebuah agensi kerajaan negeri, Mazlan yang masih Pegawai Kewangan Negeri mempengerusikan mesyuarat tersebut. Beliau dikatakan terpaksa tunduk kepada kehendak Pengarah UPEN, Datuk Azlan Dagang yang mahu sebuah syarikat yang telah kena denda lambat siap Pasar Kedai Buluh memperolehi kontrak bina rumah di Paka.

Azlan berkeras mahu kroninya itu dapat tender itu sedangkan ia telah dikenakan LAD. Yang anehnya kontraktor itu dapat projek membina pasar itu di zaman Azlan jadi Yang Dipertua MPKT. Sampai sekarang kontraktor itu gagal menyiapkan pasar tersebut walaupun sudah dua kali disambung tempohnya. Ini membuktikan betapa lemahnya Mazlan yang terpaksa tunduk kepada kehendak Azlan. Oleh itu bila sudah jadi SUK yang baru mulai 15 Januari lalu, Mazlan kena berani, jangan jadi lembik. Kalau tidak lebih baik beri laluan kepada Azlan jadi SUK yang baru.

Sepatutnya Menteri Besar ambil tindakan kepada mana-mana pegawai kerajaan yang enggan menurut perintahnya seperti Azlan. Lebih baik tukar Azlan jadi pegawai tambah sentara daripada jadi Datuk Bandar Kuala Terengganu yang baru. Masa Azlan jadi YDP MPKT dahulu, banyak kali Azlan mengengkari kehendak Ahmad Said sewaktu jadi Exco Kerajaan Tempatan dahulu. Pegawai seperti Azlan yang suka menyusahkan Menteri Besar perlu dipetisejukkan.

Seramai 48 Pegawai Tadbir Negeri akan bertukar jawatan di pelbagai pejabat kerajaan seluruh negeri berkuatkuasa 1 Febuari ini akibat persaraan Datuk Mukthar Nong dari jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Setiasaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah telah menandatangani surat Arahan Pertukaran berkenaan.

Sebelum daripada itu kelihatan Mazlan dilapangan terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu bersama Datuk Ahmad Said pulang dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan Fire Flyz.

Menurut sumber, mereka pulang daripada mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyembah senarai pertukaran Pegawai Tadbir bagi mendapat perkenan. Pada lewat petang, senarai pertukaran siap ditangatangani oleh Mazlan dan telah diedarkan.

Katanya, gaji pegawai-pegawai terbabit akan dibayar daripada peruntukan pejabat yang menerima pertukaran itu mulai tarikh tersebut. Beliau menyatakan demikian dalam surat Pemberitahuan Pertukaran Pegawai Tadbir Negeri Terengganu yang diedarkan kepada ketua-ketua pejabat berkenaan hari ini. Antara pegawai utama yang terlibat segaimana dibawah.

Datuk Mat Razali Kasim, Datuk Bandar Bandaraya Kuala Terengganu bertukar jawatan dengan Datuk Azlan Dagang, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN.

Tuan Haji Osman Muda, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri telah mendapat kepercayaan pentadbiran negeri menduduki jawatan ketiga tertinggi sebagai Pengarah Tanah dan Galian.

Osman yang sebelumnya Setiausaha Sulit Kanan Kepada Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Tempat beliau di Pejabat Kewangan Negeri diganti oleh Haji Mustaffa Khalid.

Tuan Mamat Tuan Ngah dari jawatan kumpulan sejak pentadbiran yang lalu telah di lantik sebagai Pegawai Daerah Besut, mengambil tempat Haji Wan Muhamad Ibrahim yang ditukarkan sebagai Pegawai Daerah Hulu Terengganu.

Pegawai Daerah Setiu Haji Wan Nawawi Ismail dilantik sebagai Pegawai Daerah Kuala Terengganu bagi menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Datuk Mohd Alim Muda yang dipinjamkan ke TESDEC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Pegawai Daerah Setiu diganti oleh Haji Mat Akil Che Mat.

Haji Aziz Mamat telah dipinjam ke Yayasan Terengganu sebagai Pengarah Yayasan Terengganu mengantikan Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail yang dipinjamkan ke Yayasan Islam Terengganu sebagai Pengarah.

Haji Zulkifli Mohamad ditempatkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ECER Terengganu yang dikosongkan semenjak Dato’ Wan Mokthar Mat Nor mengosongkan jawatan tersebut dua tahun lalu.

Haji Wan Ahamad Wan Muda Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar ditukarkan ke pentadbiran Negeri sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) mengambil jawatan yang dikosongkan oleh Haji Hussein Embong yang dipinjamkan ke Syarikat Air Terengganu (SATU) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Mustofa Abdul Rahman telah ditukarkan dari SATU ke jawatan Pegawai Daerah Dungun.

Isnin, Oktober 19, 2009

AHLI UMNO KENA BERUBAH JUGA


Pindaan Perlembagaan Umno, khususnya berkaitan menentukan pucuk pimpinan tidak akan memberi sebarang makna sekiranya ahli Umno itu sendiri tidak mahu berubah dan berusaha memartabatkan parti lebih dari kepentingan diri sendiri.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata semua pihak perlu berubah dari peringkat atas hinggalah ke bawah dalam usaha mengembalikan keyakinan penuh rakyat kepada parti yang banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara itu.

"Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah jangan memfitnah sesama sendiri, mengadu-domba, sikap terburu-buru mendapatkan jawatan, mudah merajuk apabila tidak dapat hajat dan cita-cita dan sikap dengki serta iri-hati.

"Jika sikap demikian masih berada di hati dan sanubari ahli Umno, maka perubahan perlembagaan yang dibuat pada Perhimpunan Agung yang berakhir semalam tidak memberi makna.

"Ahli Umno perlu berani dan mengutamakan kepentingan parti jika mahukan Umno terus unggul dan perkasa sepertimana yang ditegaskan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan pelancaran Kopi Jenama Tongkat Ali "Perwira" Persatuan Bekas Tentera Daerah Temerloh di Temerloh.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan anggota Parlimen Temerloh berkata setiap ahli Umno seharusnya berani berkorban kepentingan diri jika mahukan Umno terus berdaya saing dan menjuarai rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Presiden parti berharap perubahan yang dilakukan itu akan dapat menyakinkan rakyat bahawa hanya parti Umno yang mampu membela nasib mereka dan sekaligus apabila ianya tersemat di hati rakyat maka tidak ada sebab mereka tidak memberikan sokongan padu kepada Umno," katanya.

Sehubungan itu beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh mahukan pemimpin di peringkat cawangan bersedia menjalankan kempen menambah ahli dan mendaftar sebagai pemilih mulai sekarang.

"Ini sangat penting kerana tidak lama lagi kita akan menghadapi pilihan raya ke-13 dan kita tidak boleh menunggu kerana masa berlalu terlalu pantas," katanya.