Jumaat, Jun 21, 2013
NAJIB KENA BERANI MACAM KHAIRY
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tidak akan menjadi masalah sekiranya berlaku pertandingan untuk merebut jawatan tertinggi sayap parti itu.
Khairy berkata, pertandingan merebut jawatan secara tidak langsung dapat memperlihatkan semangat demokrasi mengikut pindaan perlembagaan parti yang memudahkan sesiapa sahaja untuk bertanding.
Biarpun begitu, katanya, keputusan sama ada beliau mempertahankan jawatan tertinggi dalam pergerakan tersebut belum diputuskan lagi dan akan diumumkan kemudian.
"Kalau saya buat keputusan hendak mempertahankan kedudukan jawatan Ketua Pemuda maka boleh lawan tiada masalah. Saya alu-alukan sesiapa yang hendak bertanding.
"Kalau saya buat keputusan untuk tinggalkan atau serahkan jawatan mestilah ada pertandingan dan akhirnya kita buka kepada sesiapa," katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Tajaan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jamil Salleh.
Menurut Khairy, ahli-ahli pergerakan sayap UMNO itu perlu juga melihat kepada prinsip perpaduan yang diamalkan selama ini selain menjulang semangat demokrasi dalam parti.
"Apa yang penting adalah semangat demokrasi mesti kita hormati tetapi pada masa sama prinsip perpaduan itu juga kena jaga," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, mengadakan perbincangan sesama ahli merupakan jalan penyelesaian untuk isu tersebut.
Ulasan saya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kena berani macam Khairy yang sanggup menerima cabaran dari sesiapa sahaja untuk pertandingan jawatan tersebut hujung tahun ini. Beliau kena gentleman kerana biar perwakilan yang menentukan siapa yang layak menjadi Presiden UMNO. Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dijangka menentang Najib bagi jawatan tersebut.