Khamis, Ogos 27, 2015

ANNUAR MUSA KENA SERIUS PERTAHANKAN NAJIB

Salah satu faktor BN gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU 2008 adalah kerana serangan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Pak Lah. Selepas Pak Lah berundur dari jawatan PM pada tahun 2009, Dr Mahathir kembali menyertai Umno namun BN tetap gagal mendapat majoriti dua pertiga pada PRU2013.

Sebab itulah Pengerusi BBCBN, Shahrir Samad menganggap bahawa Dr Mahathir sudah tidak relevan lagi. Dr Mahathir tak serang Najib, tetapi Najib gagal mendapat kemenangan majoriti dua pertiga.Najib mencatat sejarah sebagai PM yang pertama tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU sulungnya.

Kini Dr Mahathir menyerang Najib, apakah BN akan gagal lagi mendapat majoriti dua pertiga pada PRU2018? Atau BN tumbang terus seperti dibimbangi timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yasin bahawa jika BN gagal mendapat sokongan dua peratus pengundi, maka BN akan kalah.

Umno seolah-olah mahu lemas dengan asakan Dr Mahathir tentang isu 1MDB, isu derma RM2.6 billion, isu GST dan isu kejatuhan Ringgit Malaysia (RM). Menyedari hakikat ini maka ahli majlis tertinggi Umno, Annuar Musa rasa terpanggil untuk membela Najib demi menyelamatkan institusi Presiden Umno.

Selepas enam tahun Najib menjadi PM, Annuar yang juga bekas menteri di zaman Dr Mahathir tidak pernah menjejak kaki di pejabat Najib. Tetapi bila Najib terus diserang pembangkang dan ahli Umno sendiri, beliau tampil membantu Najib.

Annuar diberi peluang menjelaskan isu-isu semasa di majlis Umno Bahagian Seputeh. Ahli-ahli Umno bahagian tersebut kagum cara Annuar menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli akar umbi, maka sekali lagi Annuar dijemput berceramah di majlis anjuran pemuda, wanita dan puteri Umno  Wilayah Persekutuan dua malam lepas di PWTC.

Dalam majlis tertutup itu, Annuar secara berseloroh berkata majlis malam ini majlis tertutup tetapi dua hari lagi keluarlah video ucapan saya yang menunjukkan bahawa sekarang semua majlis tertutup sudah jadi terbuka dengan adanya handphone yang boleh merakam suara pemimpin dan mengambil video.

Bukanlah niat saya mahu menyebarkan apa yang tertutup dalam majlis itu, tetapi demi kepentingan rakyat yang ingin tahu tentang 1MDB, GST, derma RM2.6 billion maka saya kira wajar mendedahkan fakta supaya rakyat dapat memahami isu ini dengan lebih jelas.

Annuar memulakan mukadimah dengan mengatakan Melayu tidak pernah ada dalam sejarah berjaya menundukkan penjajah. Portugis datang dengan dua kapal, kerajaan Melaka tumbang. Belanda datang, melayu tumbang. Inggeris datang, melayu kecundang. beliau bertanya bila Melayu dapat menundukkan penjajah? Ia berlaku pada tahun 1946 apabila Onn jaafar berjaya menyatukan Melayu untuk menentang Malaya Union. Soladariti orang Melayu inilah yang melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Annuar yang kini ahli parlimen Ketereh mendakwa dalam suasana sekarang Presiden Umno diserang, 3 juta ahli Umno perlu bersatu bangkit mempertahankan najib. Maka majlis tertutup seperti ini lebih banyak perlu diadakan, katanya.

masalah yang berlaku sekarang ialah serangan bukannya datang dari pembangkang sebaliknya dari bekas Presiden Umno dan bekas PM sendiri yang  masih berpengaruh di kalangan rakyat jelata. Ini yang mengelirukan rakyat dan menyebabkan rakyat semakin tidak yakin dengan kepimpinan Najib yang dianggap sebagai PM terburuk dalam sejarah Malaysia.

Sambil menceritakan pengalamannya dalam membangunkan Umno kelantan selepas Tengku Razaleigh hamzah menyertai Semangat 46, Annuar berkata beliau dihina kerana majoriti rakyat kelantan yang kecewa dengan Ku Li yang tidak dapat jadi Presiden Umno telah memboikot beliau dan meninggalkan Umno.

Bukannya mudah untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat Kelantan terhadap Umno. Bukan sahaja beliau berdepan dengan Semangat 46, beliau pula diboikot oleh pihak istana. Tetapi demi menyelamatkan Umno, beliau tidak pernah patah semangat dan akhirnya Ku Li kembali ke dalam Umno pada tahun 1995 selepas berperang dalam dua PRU 1990 dan 1995.

Katanya, jika beliau mahu popular, beliau ;patut ikut Ku Li kerana Ku Li yang bawa dia balik bekerja di SEDC Kelantan dari DBKL sebagai pegawai perancang bandar. Beliau sepatutnya terhutang budi kepada Ku Li yang membawanya masuk Umno dan menjadi ADUN dalam usia yang muda, 33 tahun. Tetapi demi Umno, beliau terpaksa menyebelahi Dr Mahathir kerana katanya, " it is not that i love Ceaser less, but i love Rome more".

Dalam ucapannya Annuar mengaku beliau terhutang budi kepada Dr Mahathir yang melantiknya sebagai menteri. Secara berseloroh beliau berkata kalah pilihanraya 1990, beliau dapat jadi menteri tetapi menang pilihanraya 2013, beliau tak dapat jadi menteri.

menjelaskan isu derma RM2.6 billion, Annuar menjelaskan oleh kerana itu kehendak penderma , maka duit itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dan bukan ke dalam akaun Umno. Soalnya jika najib mati, adakah Najib sudah tinggalkan wasiat kepada Rosmah supaya memulangkan semula duit itu kepada Presiden Umno yang baharu atau duit itu akan menjadi milik Rosmah?

Apabila Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan isu ini, maka Annuar memanggil beberapa orang ahli majlis tertinggi Umno  untuk menemui Najib. najib pun menerangkan hal sebenar duit itu datangnya dari mana, maka mereka berpuas hati dengan penjelasan Najib. tambahan pula ia mendapat pengesahan SPRM bahawa duit itu bukan duit 1MDB tetapi duit derma.

Semalam Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa beliau tidak percaya duit RM2.6 billion itu duit derma. Maka Annuar kena serius mempertahankan Najib dan menyerang bekas bossnya, Dr mahathir secara terbuka. Sudah sampai masanya Annuar membelasah Dr mahathir kerana punca kekeliruan ini timbul dari Dr mahathir sendiri yang menghasut rakyat mendesak najib meletakkan jawatan. Kalau pada tahun 1989, Annuar sanggup menentang Ku Li mentor politiknya secara terbuka maka sudah sampainya masanya bagi Annuar mengkritik Dr Mahathir secara terbuka.

Nampaknya pemuda, wanita, puteri Umno Wilayah Persekutuan berpuas hati dengan penjelasan Annuar Musa mengenai isu-isu semasa. Beliau berjaya menawan hati golongan muda kerana pidatonya menggunakan bahasa yang mudah dengan cara penyampaiannya diselang-seli dengan lawak jenaka.

 Pada tahun 80an, kalau wakil dari kelantan, Annuar Musa berucap dalam perhimpunan agung Umno, perwakilan yang berkeliaran di luar Dewan Merdeka cepat-cepat masuk ke dalam dewan untuk mendengar Annuar berucap. Itulah kelebihan pidato Annuar yang mana dahulu Umno ada dua Anuar, satu Anwar Ibrahim dan satu lagi Annuar Musa. Secara berseloroh beliau berkata beliau tidak mahu "landing" seperti Anwar Ibrahim.

pemuda dari Cheras mencadangkan najib melantik Annuar Musa sebagai ketua penerangan Umno yang baharu. Menjawab cadangan itu, Annuar berkata biarlah jawatan itu diberi kepada orang muda kerana tanpa jawatan pun beliau  akan terus berceramah mempertahankan institusi Umno.

Ahli Umno hendaklah menganggap Dr mahathir sebagai musuh utama Umno. Ini adalah kerana beliau yang menentang presiden Umno secara terbuka. Serangan Dr Mahathir terhadap Najib menyebabkan ahli Umno ragu-ragu dengan najib. 27 bahagian Umno tidak dapat menerima kepimpinan Najib dan ada ahli Umno yang sanggup menuduh Najib kaki kencing. kalau ahli Umno sendiri tidak menghormati Najib, siapa lagi yang mahu menghormatinya?

Maka majlis tertinggi Umno hendaklah memecat Dr mahathir dari Umno kerana beliau adalah duri dalam daging. najib kena tegas kalau beliau mahu melihat Umno terus kekal dalam krisis ini. Dr mahathir demi menyelamatkan Umno yang baru sahaja disahkan haram,tidak menerima Ku Li dan Musa masuk Umno baru pada tahun 1989. Justru itu najib kena tegas dalam soal ini. Jika tidak Umno akan hancur pada PRU2018.

Takdirnya Dr Mahathir mati di luar Umno, ia adalah tradisi Umno kerana tiga presidennya meninggal dunia di luar Umno iaitu Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Jika Dr mahathir mati di luar Umno, maka tradisi ini akan menjadi budaya Umno.