Khamis, Julai 27, 2017

UCAM BANTU GELANDANGAN

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dengan kerjasama RISDA akan menerajui program untuk membantu golongan gelandangan di seluruh Malaysia bermula tahun ini.

Sejumlah RM10,000 telah disumbangkan oleh RISDA untuk menjayakan Program Jejak Gelandangan di lima rumah gelandangan di seluruh Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pengarah UCAM, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata pihaknya bertungkus lumus untuk membantu golongan gelandangan di rumah Anjung Singgah dan sekitar Chow Kit dan Pudu di sini.

Katanya, langkah yang diambil dapat membantu golongan tersebut yang memerlukan bantuan tempat tinggal dan sara hidup untuk menjalani kehidupan yang lebih baik apabila mereka mendapat tempat tinggal sendiri.

"Melalui sumbangan yang diberikan RISDA, pihak kami dapat memberi bantuan kelengkapan seperti pek makanan kering dan keperluan kebersihan diri selaras dengan objektif tanggungjawab sosial korporat UCAM," katanya pada majlis pelancaran Program Jejak Gelandangan di Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu, di sini hari ini.