Sabtu, Mac 10, 2018

MB NAFI TUDUHAN ADUN DAP

SEREMBAN, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan tuduhan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai J. Arul Kumar daripada DAP berhubung kenyataannya berkaitan keperluan masyarakat India di negeri ini.

Beliau menegaskan tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar dan tidak pernah disebut olehnya.

"Saya tak pernah sebut keperluan masyarakat India cuma sekolah dan kuil sahaja. Apa yang saya katakan ialah isu sekolah dan isu kuil masyarakat India di negeri ini telah ditangani dan diselesaikan (kerajaan negeri)," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas video berdurasi 3.42 minit yang tular dan diterimanya menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan Arul Kumar dalam kenyataan berbahasa Tamil mendakwa menteri besar mengeluarkan kenyataan bahawa keperluan masyarakat India di negeri ini hanya sekolah dan kuil sahaja.