KOTA KINABALU, 10 Mac (Bernama) -- Masyarakat Bajau di negara ini, khususnya di Sabah, boleh mewujudkan rantaian hubungan baik dengan masyarakat Bajau di rantau Asia Tenggara bagi membolehkan mereka berkongsi maklumat untuk kepentingan dan kemakmuran bersama.
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata kajian yang relevan berkaitan masyarakat Bajau di beberapa negara di rantau ini juga boleh dijalankan sebagai perkongsian maklumat dan fakta yang lebih tepat untuk faedah generasi semasa dan akan datang.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Bajau Antarabangsa di sini hari ini yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Musa berkata persidangan itu berupaya menyumbang kepada perkembangan silang budaya dalam kalangan pelbagai suku kaum dan etnik yang menyemarakkan lagi keharmonian budaya etnik di negara ini seiring pembangunan semasa.
Beliau berkata masyarakat Bajau telah memainkan peranan dan memberi sumbangan penting dalam pelbagai bidang seperti politik, pentadbiran, ekonomi dan sosial.
"Ini merupakan kayu ukur bahawa mereka juga berupaya membuktikan keupayaan mereka setanding masyarakat lain."
"Kejayaan ini turut memberi gambaran bahawa masyarakat Bajau sentiasa menunaikan dan memperbaharui tanggungjawab terhadap kepentingan bangsa, agama dan negara," katanya.
Sementara itu, Salleh, yang juga daripada kaum Bajau, berkata persidangan itu boleh merapatkan lagi hubungan antara masyarakat Bajau Malaysia, Indonesia dan Filipina, sekaligus memantapkan peranan masing-masing dalam menyumbang ke arah pembangunan negara masing-masing.
Terdahulu, Yang Dipertua Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sabah, Chenderamata Sinteh berkata penganjuran julung kali persidangan itu sejajar dengan objektif persatuan memulihara dan mengembangkan bahasa dan budaya Bajau melalui kajian dan pendokumentasian.
Katanya, persidangan itu juga sebagai wadah untuk membuat kajian perbandingan antara Bajau di rantau ini, terutama Malaysia, Indonesia dan Filipina.
-- BERNAMA
v