Selasa, Oktober 26, 2010

KEMPEN SAPP SUDAH LAPUK


Pendekatan kempen oleh Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengetengahkan konsep 'Sabah untuk Sabah' atau 'mengembalikan autonomi kepada Sabah', sudah lapuk dan tidak selari dengan aspirasi negara, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata pemikiran seperti itu sudah ketinggalan zaman, kerana ketika ini seluruh rakyat hidup dalam suasana aman sejahtera di dalam sebuah negara, Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia, mesti bercakap sebagai seorang warganegara Malaysia, jangan terlalu bersikap kenegerian," katanya dalam satu persidangan akhbar di Lapangan Terbang Sandakan di sini.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di lapangan terbang di sini, yang berlepas pulang ke ibu negara.

Musa yang merupakan pengarah operasi Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, berkata demikian ketika mengulas strategi kempen SAPP pada pilihan raya itu yang dikatakan mengetengahkan konsep berkenaan.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas, dan ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, 54,yang suka bercakap dalam Bahasa Inggeris, calon Parti Keadilan rakyat (PKR) Ansari Abdullah, dan calon SAPP yang merupakan presiden parti itu sendiri, Datuk Yong Teck Lee.

Musa berkata proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan lancar hasil daripada kematangan penduduk di sini dalam berpolitik.

Katanya BN akan meningkatkan gerakan jentera pilihan raya bermula sekarang, dalam usaha memastikan kerusi tersebut kekal menjadi milik BN.