Khamis, Disember 30, 2010
SELAMAT TINGGAL 2010
Akhirnya tahun 2010 sampai ke penghujungnya. Mengenang kembali tahun 2010, banyak kenangan pahit manis yang dilalui bersamanya. Paling manis ialah apabila merujuk kembali bekas isteri, Zaitun Othman, 48 tahun, pada 15 Mei lalu.
Kami bercerai selama setahun lebih. Sepanjang menduda selama 1 tahun 3 bulan akhirnya saya tiada pilihan lain menikahi semula bekas isteri demi anak-anak. Kenangan paling pahit ialah saya sakit darah tinggi pada 12 Mac lalu. Sepanjang hidup saya, 51 tahun, saya tidak pernah sakit. Inilah kali pertama saya sakit yang serius dalam hidup saya.
Saya diberi pil darah tinggi oleh doktor Hospital Kuala Lumpur. Saya batuk teruk akibat menelan pil itu. Di atas nasihat boss saya, Datuk Radzi Latif, saya tukar pil. Akhirnya saya tidak batuk teruk lagi.
Dalam masa yang sama saya turut makan ubat tradisional seperti akar kayu Mahkota Dewa. Kebetulan kawan saya, Syed Yassin Tuan Pandak menjual akar kayu itu. Apabila saya ada temujanji dengan doktor sebulan kemudian, doktor kata saya sudah bebas dari darah tinggi. Namun demikian doktor nasihati saya terus menelan pil hospital.
Satu lagi kenangan manis ialah apabila rakan saya, Kamri Kamaruddin mendapat permit majalah Mindaniaga pada bulan Jun lalu. Kebetulan beliau tiada modal untuk menerbitkan majalah bulanan itu. Dia suruh saya cari pelabur dan saya perkenalkannya kepada Datuk Radzi yang saya sudah kenali sejak tahun 1994 lagi.
Datuk Radzi bersetuju menjadi penerbit majalah dengan syarat beliau mendapat 70 peratus saham dalam syarikat Wow Communications Sdn Bhd, manakala kami bertiga termasuk Pak Abu Saim mendapat 10 peratus seorang saham.
Majalah itu berjaya diterbitkan pada awal November. Atas sebab-sebab tertentu, Mindaniaga tidak diterbitkan pada Disember dan Januari 2011 kerana beri laluan kepada akhbar Harian Mutiara untuk diterbitkan. Maka Kamri sebagai pemilik asal permit Mindaniaga berhasrat memberhentikan buat sementara waktu penerbitan majalah tersebut.
Ke mana saya selepas ini? Saya boleh kekal di pejabat sekarang kerana kita ada dua akhbar iaitu Harian Mutiara dan Buletin Prestasi yang bakal menjelma pada Februari 2011. Tetapi memikirkan saya tak nak lagi makan gaji, maka saya kena buat sesuatu untuk tahun 2011. Insya Allah Allah akan beri jalan yang terbaik buat saya.
Merumus kembali tahun 2011, saya bersyukur dengan pemberian Allah. Kalau dahulu saya buat freelance dengan majalah Agro Malaysia kini saya sudah ada kerja tetap dengan Mindaniaga, Harian Mutiara dan Buletin Prestasi. Ya Allah, terlalu banyak yang Kau beri terlalu sedikit yang dapat kubalas.
Esok hari terakhir dalam tahun 2010, sehingga esok saya sudah ada 900 posting dalam blog ini, www.catatanzabidi.blogspot.com. Dahulu blog ini dikenali sebagai www.memobelakang.blogspot.com. Apabila blog ini dihacked, maka saya tukar namanya.
terima kasih kepada semua pembaca yang terus menyokong blog ini dan saya ucapkan selamat tahun baru 2011. Semoga 2011 menjanjikan lebih banyak kejayaan buat kita semua.