Rabu, Julai 13, 2016

UMNO TAWAU MASIH KUKUH



TAWAU, 12 Julai (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata Umno di bahagian itu masih kukuh dan tiada sebarang borang keluar parti diterima sejak bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti baru-baru ini.

Tawfiq berkata pihaknya percaya anggota parti di kawasan itu masih memberikan keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

"Setakat ini, kita juga difahamkan bahawa mana-mana bahagian (Umno) lain di Sabah belum menerima sebarang borang keluar parti oleh anggota yang banyak didakwa bertindak demikian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di sini, Selasa.

Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata dakwaan kononnya 600 anggota Umno Bahagian Batu Sapi keluar Umno telah dinafikan ketuanya, Datuk Samsudin Yahya.

"Ia hanya melibatkan sebilangan kecil. Saya difahamkan ramai yang hadir pada majlis itu tapi mereka telah dikenal pasti bukan ahli Umno dan kalau ada ahli Umno pun, ia cawangan yang digantung atas pelbagai faktor antaranya ketua cawangan muflis atau tak cukup korum," katanya.

Sementara itu, Tawfiq menasihatkan semua anggota Umno di negeri ini agar tidak terpedaya oleh emosi individu tertentu yang menderita akibat kesalahan diri sendiri.

"Yang perlu diberi perhatian adalah fokus kepada pembangunan negeri dan membela nasib rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.



-- BERNAMA