Selasa, Mac 03, 2009

JANGAN GANGGU MAHASISWA


Parti-parti politik diminta tidak mengganggu atau mempengaruhi persatuan-persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bagi mengelak berlakunya perpecahan di kalangan pelajar.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, campur tangan parti-parti politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang hanya akan mengeruhkan keadaan dan memecah-belahkan perpaduan mahasiswa.

Menurutnya, campur tangan itu menyebabkan persatuan mahasiswa kini turut terbabit dengan isu-isu sensitif mengenai agama, perkauman dan bahasa yang boleh mewujudkan polarisasi di kalangan mereka.

''Biarkan persatuan mahasiswa bergerak tanpa pengaruh luar, biar mereka pilih haluan sendiri agar mereka dapat membentuk jati diri sendiri," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Perdana Mahasiswa Islam Malaysia di Universiti Malaya di sini semalam.

Beliau menambah, campur tangan parti-parti politik hanya menjadikan persatuan mahasiswa kaku dan lesu jika dibandingkan dengan persatuan mahasiswa dahulu terutama pada era 70-an.

"Pada era saya, pemimpin dan kepimpinan pelajar di IPTA juga tidak memihak kepada mana-mana parti politik di luar kampus, kami berjuang ikut aspirasi dan misi kami sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

"Kami bertindak menentang kerajaan bukan kerana menjadi boneka kepada sesiapa, kami membangkang, menentang dan buat tuntutan semata-mata demi kepentingan seluruh pelajar," katanya.

Ibrahim adalah bekas Presiden Kesatuan Siswazah ITM dan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia pada era 70-an.

Jelas beliau, perjuangan persatuan mahasiswa pada eranya tidak berpaksi pada sesiapa kerana mahasiswa ketika itu bukan sahaja tidak sehaluan dengan kerajaan, tetapi juga tidak sehaluan dengan pembangkang.

Sehubungan itu, beliau juga meminta kepada persatuan-persatuan mahasiswa di IPTA agar mengelak daripada mengaitkan diri dengan mana-mana parti politik dan perlu bersifat neutral.

"Saya beranggapan bahawa corak perjuangan mahasiswa Islam Malaysia ketika ini seolah-olah sudah menjadi 'ideology based' atau bertukar menjadi perjuangan berasaskan ideologi siasah di luar kampus.

"Pada saya, perubahan paksi perjuangan yang 'ideology based' ini boleh menyebabkan perpecahan di kalangan generasi muda Islam di peringkat IPTA," katanya.

Menurutnya, perjuangan persatuan mahasiswa hari ini yang banyak berasaskan ideologi politik tertentu adalah sesuatu yang kurang sihat.

Selain menumpukan pada masalah tempatan, beliau juga menyarankan agar persatuan mahasiswa memberikan juga perhatian terhadap isu antarabangsa terutama yang melibatkan dunia Islam kini.

"Abad ke-21 adalah abad yang amat mencabar kepada agama Islam, dunia Islam dan umat Islam di serata dunia. Cabaran global ini menuntut umat Islam sejagat untuk mengeratkan perpaduan dan mengukuhkan tekad perjuangan biar menjadi sangat tajam, fokus dan berwibawa," katanya.