Jumaat, Februari 06, 2009

ZAMAN DR. RAIS SUDAH BERLALU?




Salah seorang calon veteran yang turut bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Beliau bukan orang baru dalam politik. Aktif dalam UMNO sejak tahun 1974 di zaman Tun Razak menjadi Perdana Menteri lagi.


Sudah tujuh penggal menjadi ahli parlimen Jelebu kecuali pada tahun 1990 dan 1995 beliau kalah kepada calon BN, Datuk Yunus Rahmat ketika beliau menyertai Parti Semangat 46.


Pada tahun 1974, beliau memulakan karier politiknya sebagai Setiausaha Parlimen dan pada tahun 1978 beliau dipanggil balik ke Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar.Pada tahun 1982 Dr. Rais kembali ke pusat sebagai Menteri Penerangan. Pada tahun 1986 beliau dilantik Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah dan pernah jadi Menteri Luar sebelum meletakkan jawatan dari kabinet sebelum Team B kalah pada 24 April 1987.


Pada tahun 1990 beliau bertanding di parlimen Jelebu sebagai calon Semangat 46. Beliau yang merupakan Timbalan Presiden Semangat 46 kalah dalam dua kali pilihan raya 1990 dan 1995. Pada 1996 beliau kembali kepada UMNO dan dipilih semula sebagai calon BN pada pilihanraya 1999 dan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Pada tahun 2004, beliau dilantik Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan (KEKWA) dan pada tahun 2008 beliau kembali ke Kementerian Luar.


Dalam UMNO pula, beliau pernah jadi Exco Pemuda dan pernah dicalonkan untuk bertanding sebagai ketua pemuda pada tahun 1982 tetapi beri laluan kepada Anwar Ibrahim menentang Datuk Haji Suhaimi Kamaruddin.


Pada tahun 1978, beliau adalah ahli majlis tertinggi UMNO dan pada tahun 1981 beliau bertanding kerusi Naib Presiden UMNO buat kali pertama dan kalah lima undi kepada Naib Presiden UMNO ketiga, Tengku Ahmad Rithaudeen.Itulah prestasi terbaik Dr. Rais dalam pertandingan Naib Presiden.


Kali ini beliau mencuba merebut sekali lagi kerusi Naib Presiden UMNO setelah beberapa kali gagal termasuk pada tahun 1987 apabila beliau bertanding mewakili Team B.


Sebagai menteri beliau adalah seorang menteri yang kreatif terutamanya ketika di KEKWA yang mana beliau banyak membuat pembaharuan. Banyak idea baru yang diperkenalkannya tidak seperti menteri sekarang yang tidak ada idea baru.


Sebagai Menteri Luar pula, namanya menonjol selepas Israel menyerang Tebing Gaza bulan lepas. Peranan Malaysia agak ketara menyeru OIC dan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak tegas kepada Israel.


Pak Lah pernah mencadangkan namanya sebagai calon Setiausaha Agung Komanwel tetapi beliau menolak tawaran itu kerana lebih minat bekerja di tanah air sendiri. Ia tidak menimbulkan kemarahan Pak Lah walaupun keputusan itu telah dipersetujui oleh kabinet. Buktinya Pak Lah tetap mengekalkan beliau sebagai calon parlimen di Jelebu pada pilihan raya umum 2008 dan setelah menang beliau dilantik sebagai Menteri Luar.


Tanpa menggunakan wang, beliau mendapat 26 pencalonan untuk bertanding kerusi Naib Presiden UMNO kali ini. Dapatkah beliau mengikut jejak langkah Pak Lah yang menang Naib Presiden UMNO pada tahun 1996 ketika Pak Lah menjadi Menteri Luar? Ini bermakna Kementerian Luar pernah memberi kemenangan kepada calon Naib Presiden UMNO.