Ahad, Ogos 14, 2016

AHLI UMNO YANG MATANG TIDAK AKAN TINGGALKAN UMNO

TAWAU, 13 Ogos (Bernama) -- Anggota UMNO yang matang dalam politik tidak akan terpedaya untuk keluar parti dan menyertai mana-mana parti lain, termasuk parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas anggota UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Katanya jika ada anggota UMNO yang keluar parti, ia mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan UMNO kerana tidak terpilih ketika bersaing dalam pemilihan jawatan di mana-mana peringkat atau telah dikenakan tindakan disiplin penggantungan.

"Bagi pandangan saya, menjadi hak kepada sesiapa dalam amalan demokrasi ini untuk menyertai parti sedia ada sama ada komponen Barisan Nasional (BN) atau pakatan atau jika tidak berpuas hati boleh menubuhkan parti sendiri," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat Zon Kampung Titingan hari Sabtu.

Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata UMNO mempunyai sejarah di mana bekas kepimpinannya meninggalkan parti dan menubuhkan parti baharu namun parti-parti baharu berkenaan hilang begitu sahaja.

Mengulas mengenai parti baharu yang didakwa berupaya menyaingi UMNO, Tawfiq berkata beliau optimis serpihan parti UMNO tidak akan mampu bertahan dan boleh berkubur menjelang pilihan raya umum.

"Kalau kita imbas sejarah parti serpihan daripada UMNO, ia tidak akan mampu bertahan jika hanya memberi fokus kepada Melayu dan Bumiputera kerana golongan ini sudah amat sinonim dengan perjuangan UMNO," katanya.

Terdahulu, Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas meminta semua pemimpin akar umbi membantu memperjelas isu yang boleh mengelirukan masyarakat bagi mengelak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab.

"Perlu jelaskan isu agar masyarakat tidak berpecah belah ekoran usaha pihak yang suka memutar belit cerita dan menyebabkan rakyat kurang yakin dengan kepimpinan yang ada sehingga berusaha cuba menjatuhkannya,"katanya.

-- BERNAMA