PADANG BESAR, 24 Jun (Bernama) -- Para pekebun kecil getah termasuk pemilik kebun dan penoreh getah dinasihat segera mendaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), bagi membolehkan mereka mendapat Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah.
Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata sejak pengumuman bantuan berkenaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Jun lepas, hanya 135,644 pekebun kecil di negara ini yang mendaftar daripada keseluruhan 388,111 pekebun.
"Penoreh getah dan mereka yang memiliki kebun getah tidak melebihi 2.5 hektar serta belum mendaftar boleh berbuat demikian segera di mana-mana pejabat Risda negeri atau daerah sebelum 31 Ogos depan untuk manfaat tersebut," katanya.