Jumaat, Jun 24, 2016

UMNO SABAH SELEPAS 25 TAHUN: SATU ULASAN

Setelah empat bulan buku UMNO SABAH SELEPAS 25 TAHUN tulisan Musli Oli berada di pasaran, baru saya berpeluang memilikinya setelah diberi Musli pada minggu lepas di Sungai Besar. Saya seronok membaca buku setebal 206 muka surat ini.

Buku Musli yang ke 15 ini merupakan satu dokumentasi sejarah penubuhan Umno di Sabah yang genap 25 tahun usianya pada 21 Februari lalu.Kebetulan ketika Umno ditubuhkan di Sabah 25 tahun lalu, saya berada di Sabah bertugas sebagai wakil akhbar Watan.

Pada akhir tahun 1988, apabila boss saya, arwah Fickry Yaacob memanggil saya dan beritahu Watan akan buka biro di Sabah, saya menawarkan diri untuk berkhidmat di negeri di bawah bayu itu. Mulai 1 Januari 1989 Watan Sabah secara rasmi beroperasi di rumah saya di Mandarin Park, Kota Kinabalu kebetulan pula rumah Musli juga terletak di Mandarin Park seperti mana tercatat dalam buku tersebut.

Watan secara langsung terlibat dalam penubuhan Umno di Sabah kerana dari awal saya mainkan isu ini sehingga Presiden Usno, Tun Datu Mustapha Datu Harun marahi saya di airport KK. Dalam sidang akhbar dia tanya mana wakil akhbar syaitan (akhbar Watan) kerana saya menulis beliau tentang kemasukan Umno ke Sabah.Beliau memang tidak mahu Umno masuk ke Sabah.

Sebaik baik sahaja saya menjejakkan kaki di KK, Haji Karim Ghani orang pertama yang mencari pejabat saya yang juga rumah saya di Mandarin Park. Dengan kereta Mitsubishi Lancer bernombor L20, Haji Karim adalah bekas ADUN Bongawan yang dipecat oleh Tun Datu Mustapha kerana berjuang membawa Umno ke Sabah.

Saya rapat dengan beliau yang menyebabkan saya kurang disenangi oleh pemimpin Usno kerana Watan sering membawa cerita kemasukan Umno ke Sabah. Watan tidak berpihak kepada sesiapa kerana kita beri ruang kepada semua parti,Usno, Berjaya, PBS, PRS. Watan bersikap terbuka malah pelancaran Watan di Sabah dilakukan di Hotel Hyatt oleh menteri PBS, Datuk Joseph Kurup yang juga Setiausaha Agung PBS.

Walaupun Watan beri peluang kepada pemimpin PBS Islam bersuara seperti Datuk Baharom Abu Bakar Titingan, Datuk Lajim Okin, Datuk Zaki Gusmiah, Datuk Hassan Alban Sandukong tetapi Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan anti  akhbar Watan. Apabila saya mahu mewawancaranya dia menolak sambil berkata,"Watan? No".

Watan serba salah kerana ada juga pemimpin Usno yang tidak suka kepada Watan. Pada satu malam, Onn Ariffin datang ke rumah saya dengan dua orang pegawai MKN yang suruh saya slow down dengan berita berita PBS. Katanya, Watan kena selari dengan kerajaan pusat yang menekan PBS walaupun PBS dalam BN.

Saya  tidak  beri sebarang komen kerana pendirian Watan tetap bebas dan berkecuali. Ketika di Sabah ini Setiausaha Politik MB Kelantan, Husam Musa datang ke pejabat saya. Kebetulan kami satu badge di UM. Saya sidang editor majalah Varsiti manakala beliau adalah Ketua Editor.

 Malah pensyarah UKM, Dr Agus Yusof turut mencari saya untuk menyiapkan tesis PhDnya di London dengan tajuk Politik Konsolidasi  
di Sabah. Saya yang membawanya menemui para pemimpin Sabah seperti Datuk Dr Salleh Said, Karim Ghani dan ramai lagi.

 Pada 15 Oktober 1990 ketika PBS umumkan keluar dari BN, saya buat liputan di majlis yang dihadiri Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah.itu. Saya tergamam kerana tindakan PBS itu boleh mengalahkan BN dalam PRU yang akan diadakan lima hari lagi.

Rupa-rupanya BN menggunakan sentimen agama apabila PBS keluar dari BN dan menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat gagal menumbangkan BN. Strategi PBS tidak mengena kerana jika PBS tidak umum keluar dari BN malam itu,  mungkin BN tumbang di Semenanjung.

Pada 16 Oktober 1990,  MKT Umno mengadakan mesyuarat tergempar dan bersetuju membawa masuk Umno ke Sabah kerana PBS sudah keluar dari BN. Jika PBS kekal dalam BN, mungkin sampai sekarang Umno tak jadi masuk ke Sabah.

Sepanjang empat bulan Watan terlibat secara langsung mempromosi Umno di Sabah. Malah saya yang belum sertai Umno (baru) jadi ahli Umno di cawangan Gaya, Bahagian Kota Kinabalu sebelum tukar ke cawangan Pasir Gajah, Kemaman pada tahun 1993. Ghafar Baba, Datuk Mohamed Rahmat Setiausaha Agung Umno seringkali datang ke KK (bukan Ketua Penerangan Umno seperti ditulis dalam buku Musli). Watan beri laporan yang sama rata walaupun pembaca lebih suka baca berita pembangkang.

Saya rasa bangga apabila Dr.Mahathir melancarkan Umno Sabah pada 21 Februari 1991. Orang yang paling gembira sudah tentu Ketua Penaja Umno Bahagian Pensiangan, Karim Ghani yang menerima hukuman dipecat dari Usno kerana mencadangkan Umno masuk ke Sabah.

Saya balik ke KL selepas PRK Usukan yang dimenangi Tun Datu Mustapha sebagai wakil rakyat Umno yang pertama di Sabah pada 11 Mei 1991. Pada hujung bulan Mei, Watan Sabah ditutup kerana jualan Watan kian merosot selepas berakhirnya PRU 1990. Rakyat sudah buat keputusan mengekalkan BN maka tiada isu hangat lagi yang dapat dimainkan oleh akhbar Watan.

Saya ungkitkan semua ini kerana Watan turut terlibat dalam mempromosi Umno ke Sabah. Saya puji inisiatif Musli menulis buku sejarah ini untuk tatapan generasi akan datang. Tetapi saya rasa buku ini ada kekurangannya kerana tidak dapat menghubungi Datuk Osu Sukam untuk diwawancara. Malah Musli mungkin terlupa masukkan satu bab penting dalam bukunya mengenai jawatan Naib Presiden Umno.

Sepatutnya satu bab ditulis mengenai jawatan  Naib Presiden Umno. Itu yang disebut oleh Dr Mahathir ketika melancarkan Umno Sabah pada 21 Februari 1991 bahawa suatu hari nanti tidak mustahil pemimpin Sabah menjadi PM Malaysia apabila dipilih sebagai Presiden Umno.

Pada tahun 2000,Osu Sukam cuba merebut kerusi Naib Presiden Umno tetapi gagal. Namun demikian pada tahun 2009, Shafie Apdal berjaya menjadi anak Sabah pertama sebagai Naib Presiden Umno. Pada tahun 2013 sekali lagi beliau dapat mempertahankan jawatannya.

Walaupun Shafie kini tidak menyokong PM, tetapi sejarah tetap sejarah kerana beliau adalah anak Sabah yang pertama menduduki kerusi Naib Presiden Umno. Malah Rosnah Shirlin sebagai Ketua Puteri Umno Malaysia patut dimasukkan dalam bab yang sama kerana Ketua Puteri juga adalah Naib Presiden Umno secara de facto.

Namun demikian saya ucapkan tahniah kepada Musli kerana berjaya menulis buku ini. dengan terbitnya buku ini, ini bermakna sudah 25 tahun saya meninggalkan Sabah. Pemimpin Sabah yang lama kenali saya tetapi pemimpin baru tidak kenali siapa saya.

Oleh itu dalam PRU akan datang, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah patut memberi peluang kepada muka baru untuk dipilih sebagai calon menggantikan pemimpin yang sudah 25 tahun memimpin seperti Yahya Husin, Hajiji Haji Nor,Rubin Balang dan Juslie Ajirol.

Penyingkiran mereka tidak memberi kesan kepada Umno Sabah. Malah  Umno Sabah tetap menjadi fixed deposit kepada Umno di Semenanjung. Tanpa visi Tunku membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, sudah lama BN tumbang di Malaya.