Selasa, Oktober 12, 2010
UMNO TAKKAN TUNTUT KERUSI BATU SAPI
Biarpun majoriti pengundi Bumiputera Islam adalah sebanyak 60 peratus di parlimen Batu Sapi, UMNO tidak akan menuntut kerusi parlimen tersebut.
Menurut bekas ahli jawatankuasa UMNO bahagian Batu Sapi, Sapari Idal, UMNO tetap mengutamakan semangat setiakawan dengan memberi laluan kepada PBS untuk bertanding pada pilihanraya kecil yang dijangka diadakan pada bulan hadapan.
Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.
Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.
Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.
Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.
Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.
Menurut Sapari yang juga timbalan pengarah peti undi DUN Sekong, UMNO sedia menerima siapa sahaja calon yang akan diletakkan oleh PBS.
BN dijangka ditentang oleh calon PKR pada pilihanraya kecil itu.
Sapari yang tewas dalam pertandingan naib ketua UMNO Bahagian Batu Sapi pada dua tahun lalu yakin BN akan menang dengan majoriti yang lebih besar kali ini.
"Pada pilihanraya umum lalu, majoriti pengundi Cina tidak mengundi BN, tetapi calon BN tetap menang dengan majoriti yang besar, " katanya lagi.