Jumaat, Oktober 22, 2010

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO SUDAH HILANG AURA?


Semalam saya berkesempatan ke PWTC melihat perhimpunan agung UMNO yang bersidang pada hari pertama. Seperti biasa pada jam 7 pagi, saya ke pejabat terlebih dahulu menyiapkan kerja. Bila selesai kerja rutin, baru saya pergi ke PWTC pada jam 10.30 pagi.

Jalan ke PWTC tidak jem. Hairan juga saya. Biasanya kalau perhimpunan agung UMNO di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, jalan jem. Nak cari parking pun susah. Saya ke hotel The Legend menemui rakan penulis dari Sabah, Musli Oli yang duduk di apartment nombor 2311. Kami menonton TV3 siaran langsung ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bilik Musli.

Musli merungut tiada yang baru yang disampaikan oleh Najib kepada para perwakilan. Pada sebelah malam beliau menghantar sms kepada saya, "ucapan Najib sedap dengar tapi perut lapar".

Jam 12 kami turun ke The Mall kerana Musli mahu jual buku barunya, NAJIB DALAM DILEMA yang baru siap dicetak. Bukunya dijual di hadapan Riverside dengan harga RM30 tetapi ramai kawan-kawan politiknya bayar RM50 tanpa mengharapkan duit cucurnya.

Di The Mall saya terserempak dua rakan dari Kemaman, Syed Zakaria dengan Fadilah Satu. Mereka tiba malam tadi di Kuala Lumpur dan menumpang bilik kawannya di Hotel Melia, Bukit Bintang.

"Bapa mertua dah dapat surat pergi ke Mekah?" tanya saya kepada Syed Zakaria.
"Dah,"jawab Syed Zakaria pendek. Saya hairan juga dahulu setiap hari dia call saya tanya macama mana bapa mertuanya, Pak Razak Puteh dapat pergi ke Mekah atau tidak pada tahun ini.Bila bapa mertuanya dapat pergi ke Mekah, dia tak maklum pun saya. Tahun lepas sepatutnya pak mertuanya sudah berangkat ke Mekah tetapi ketika itu bapa mertuannya sakit jadi niatnya untuk menunaikan fardhu haji pada tahun lepas ditangguhkan di saat-saat akhir.

Maka Syed Zakaria hubungi saya minta tolong merayu dengan CEO Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail yang kebetulan junior saya ketika belajar di MRSM Seremban dahulu. Saya terus e mail surat rayuan kepada Datuk Ismee dan beliau forward e mail rayuan itu kepada pegawai berkenaan. Syukurlah Datuk Ismee meluluskan rayuan Pak Razak Putih itu yang juga kawan saya.

Saya tolong Pak Razak ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Cuma saya rasa terkilan, bila dapat, Syed Zakaria tak maklumkan saya. Sebelum ini setiap hari dia call saya tanya perkembangan bapa mertuanya. Saya tidak minta apa-apa balasan darinya biarpun saya call pegawai Tabung Haji guna handphone saya yang cepat habis kredit prepaidnya kerana panggilan dari handphone ke nombor pejabat Tabung Haji memakan kredit yang banyak.

Rakan saya, Jamal Nasir yang berada di PWTC menelefon saya tanya saya ada di mana. Saya jawab ada di Mall. Maka dia datang dengan isterinya menemui saya dengan Syed Zakaria dan Fadilah. Jamal seronok kerana Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sudah melawat pameran Ice Age yang dibuatnya di Berjaya Times Square. Jamal anak Kuala Berang sudah mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk membuat jurassic park di sebuah pulau di Tasik Kenyir. MB sudah setuju cuma menunggu fatwa dari Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Terengganu kerana tidak mahu pembinaannya nanti dipolitikkan oleh para penyokong PAS.

Jamal mempelawa kami bertiga melawat Ice Age di Berjaya Times Square. kami naiki Mercedeznya ke sana. Memang seronok melihat pameran ice age yang penuh dengan kejutan itu. Bagi orang ramai yang belum meyaksikannya datanglah beramai-ramai melawat Ice Age yang merupakan hanya lima peratus daripada yang akan dibina di Tasik Kenyir nanti.

Bila jurassic park siap di Tasik Kenyir kelak, sudah tentu kita akan kagum dengan kehebatan anak Terengganu bernama Jamal Nasir ini. Jamal menghantar saya ke PWTC manakala Syed Zakaria dan Fadilah berpisah dengan kami di Berjaya Times Square itu kerana mereka mahu bertemu dengan kawannya.

Saya sempat pusing satu round gerai-gerai yang ada dalam PWTC dari pintu bank CIMB ke pintu Seri Pacific Hotel. Ternyata orang tidak ramai yang datang melihat perhimpunan agung UMNO. Tidak sesak seperti di zaman Dr. mahathir yang amat susah kita berjalan dari gerai ke gerai.

Kenapa orang semakin kurang menyaksikan perhimpuan agung UMNO kali ini? Adakah aura UMNO semakin hilang? Atau adakah kerana tahun ini tiada pertandingan maka orang kurang minat datang ke PWTC? Ini yang perlu direnung oleh barisan kepimpinan UMNO supaya mencari jalan untuk meramaikan lagi orang datang ke PWTC pada perhimpunan agung akan datang.

Saya yang tidak pernah ketinggalan menghadiri perhimpuan agung UMNO setiap tahun. Dan saya dapati di zaman Dr.Mahathir yang paling ramai orang datang menyaksikan perhimpunan agung UMNO. Adakah kerana karisma Dr Mahathir yang menarik orang ramai datang atau adakah Pak Lah dan Najib tidak berkarisma? Inilah yang perlu direnung oleh ahli-ahli UMNO.

Di The Mall saya temui Datuk Rizalman Abdullah yang pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Tenom selama 17 tahun. Beliau kalah dalam pertandingan ketua UMNO Bahagian dua tahun lepas tetapi di atas semangat UMNO, beliau tetap datang ke Kuala Lumpur melihat perhimpunan agung UMNO.

Saya sempat tanya Rizalman yang pernah menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan apa masalah yang berlaku di antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dengan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar,Datuk Seri Shafie Afdal.

"Lebih baik pucuk pimpinan jangan pilih kedua-duanya bertanding dalam pilihanraya umum akan datang. Kalau Musa tanding, Shafie sabotaj Musa. Kalau Shafie tanding di negeri, Musa pula sabotaj Shafie. Oleh itu beri jawatan Ketua Menteri kepada calon yang berkecuali," cadang beliau.

Logik juga cadangan Rizalman ini. Jam 6 saya beredar semula ke PWTC melihat dua rakan saya, Musli Oli dan Syed Husin Al Atass menjual buku baru mereka. Mereka berdua adalah penulis hebat. Jadi buku mereka amat laris. Di zaman Pak Lah penulis buku politik tidak boleh menjual buku di PWTC pada musim perhimpuan agung UMNO. Nampaknya di zaman Najib, mereka bebas menjual buku politik semula. Tahniah Najib!