Khamis, Oktober 21, 2010

APA SALAHNYA SAYUTI JADI JUTAWAN


Siapa yang tidak mahu jadi jutawan? Semua orang mahu jadi jutawan. Cara mana nak jadi jutawan, terpulanglah kepada individu itu sendiri. Sudah ramai wartawan jadi jutawan. Ada yang jadi jutawan selepas menyertai dunia korporat seperti Datuk Ahmad Sebi, Datuk Nazri Abdullah.

Tetapi kalau ada jadi jutawan selepas menjual permit penerbitan seperti Mohd Sayuti Omar ini, maka saya kira inilah kali pertama pemilik permit penerbitan jadi jutawan. Datuk Hishamuddin menjual permit akhbar Watan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan harga RM1 juta tetapi Hishamuddin sudah jadi jutawan ketika itu dengan pelbagai akhbar dan majalah terbitan syarikatnya, Kumpulan Karangkraf.

Khabarnya rundingan sedang dibuat di antara Sayuti sebagai pemilik permit dengan PKR.

PKR sudah bosan dengan permit Suara Keadilan yang tidak mendapat kelulusan KDN. Maka PKR sedang memikirkan untuk mengambilalih akhbar tabloid Siasah yang begitu popular di kalangan para pembaca. Permit Siasah itu adalah milik Sayuti yang merupakan penulis buku terkenal.

Khabarnya tawaran pengambilalihan permit itu menjangkau jutaan ringgit. Jika ini benar, tahniah Sayuti kerana beliau adalah pemilik permit pertama yang jadi jutawan. Tidak sia-sia beliau memiliki permit penerbitan sendiri.

Peduli apa pada prinsip. Wartawan memang tidak ada prinsip. Dahulu memang Sayuti hentam Anwar Ibrahim melalui buku ANWAR: ANTARA REALITI DAN MIMPI tetapi Anwar dijulang hebat oleh Sayuti yang dimusuhi Anwar sebelum ini dalam buku REFORMIS BANGSA: SUMPAH DAN AIR MATA.

Buku itu dicetak berulang kali dan khabarnya Sayuti beli cash kereta Hondanya hasil jualan buku tersebut.Sayuti gadai prinsipnya kerana menentang arus. Ketika itu apa sahaja yang ditulis tentang Anwar akan mendapat duit. Maka strategi Sayuti mengena.

Sayuti lupakan prinsipnya selama ini yang menghentam Anwar kerana ketika itu dia yakin Anwar tidak bersalah dalam kes pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Apa yang dibuat Sayuti sama dengan tingkahlaku orang politik. Dalam politik kawan tidak kekal dan musuh tidak abadi. Hari ini berkawan, esok bermusuh. Hari ini bermusuh, esok berkawan.

Oleh itu apa yang dibuat oleh Sayuti bukanlah benda pelik kerana itulah sikap dan sifat orang politik. Sayuti bukanlah penulis sesumpah. Dia membela Anwar di saat Anwar tersungkur dari kerusinya. Ketika itu baru Anwar tahu betapa mulianya Sayuti yang sudi membelanya. Sepatutnya Sayuti menghentam terus Anwar jika dia berpegang kepada prinsip. Tetapi langkah yang diambil Sayuti itu menguntungkan jualan bukunya.

Sayuti memanglah seorang penulis buku yang hebat. Beliau berkawan dengan ramai orang politik. Tetapi beliau konsisten apabila menolak Datuk Husham Musa dan Datuk Ibrahim Ali sebagai kawannya. Sayuti yang lebih tahu kenapa dia kini bermusuh dengan kedua-dua pemimpin itu.