Isnin, April 09, 2018

PH GUNA LOGO PKR MENAKJUBKAN

KEMAMAN, 7 April ( Bernama) -- Keputusan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dilihat sebagai 'menakjubkan'.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek secara sinis berkata ini kerana PH yang kini diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menggunakan lambang parti yang suatu ketika dahulu ditubuhkan ekoran kemarahan seorang pemimpin terhadap kepimpinan Dr Mahathir.

Katanya PKR ditubuhkan menggunakan logo berbentuk mata yang diilhamkan daripada kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan ketika era pemerintahan Dr Mahathir (kerana isu liwat) bagi meraih simpati rakyat.

"Ketika itu rakyat sangat marah kepada Tun sehingga pada Pilihan Raya Umum tahun 1999 membawa kekalahan kepada Terengganu atas sebab isu mata lebam ini kerana mereka menyokong PKR.

"Tapi waktu sekarang ini PKR memeluk Tun Mahathir...jadi banyak perkara yang lari daripada teori politik melainkan teori yang mengatakan demi kuasa, semua yang mustahil boleh jadi...orang melihat kini kuasa adalah segala-galanya," katanya.