Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label doa. Papar semua catatan

Khamis, Februari 16, 2017

BERDOA UNTUK ORANG LAIN PUN BOLEH DINIAGAKAN?



KUALA LUMPUR 15 Feb. – Perkhid­matan kiriman doa ke Mekah dengan mengenakan bayaran tertentu disifatkan sebagai satu perbuatan mempergunakan agama untuk habuan dunia sekali gus mencemarkan kesucian agama Islam.



Othman Mustapha


Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mus­tapha berkata, pakej ‘valet doa’ yang ditawarkan dan dipromosikan melalui media sosial jelas menunjukkan unsur menjaja acara ibadah untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam.

“Jakim memberi peringatan kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan individu atau pertubuh­an yang menawarkan pakej perkhidmatan ini dengan harga tertentu termasuk pemberian diskaun.


“Hak termakbulnya doa adalah milik Allah SWT semata-mata bukan terletak pada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang menerima upah. Jadi, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah,” kata­nya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung perkhidmatan valet doa yang tular di media sosial dengan menawarkan pakej-pakej bayaran tertentu untuk mengirimkan doa di tempat-tempat mustajab di Mekah selain memberikan jaminan 100 peratus wang dikembalikan jika doa tidak dimakbulkan.

Melalui akaun Facebook Valet_Doa, pihak berkenaan yang menggunakan nama samaran Haji Arin menyediakan Pakej King Salman meliputi pakej Multazam, Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim iaitu tempat paling mustajab berdoa dengan harga RM5,000 manakala Pakej Solat Lima Waktu, Kaabah dan Masjidil Haram dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,500.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan, tawaran perkhidmatan sedemikian merupakan satu perbuatan mengeks­ploitasi agama Islam.

Beliau menjelaskan, walaupun agama tidak melarang untuk meminta jemaah haji atau umrah berdoa bagi pihak orang lain, ia tidak boleh dijadikan sebagai satu bentuk perniagaan seolah-olah cuba ‘merasuah’ Tuhan.

“Siapa boleh jamin bahawa dia berdoa maka dimakbulkan Allah? Kita tidak boleh berputus asa sekiranya hajat yang dipohon masih belum diperoleh kerana kita sebagai hamba perlu sentiasa berhajat kepada Allah dan sekiranya kita berhenti berdoa bermakna kita menjadi orang yang sombong dan takbur (bongkak),” katanya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pula berkata, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya akan dimakbulkan Allah SWT dalam keadaan hak tersebut bukan hak dirinya, apatah lagi jika menetapkan tempoh masa tertentu untuk kemakbulan doa tersebut.

Perbuatan tersebut seolah-olah individu terbabit memaksa Allah SWT untuk mengabulkan doa pada tempoh yang ditetapkan, sedangkan tempoh itu adalah terpulang mutlak kepada-Nya tanpa boleh dipaksa mana-mana hamba-Nya.

“Setelah meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya dan tidak mengikut syariat.

“Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah dibatalkan agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah,” katanya.

Jumaat, Ogos 26, 2016

BERKAT DOA 5,000 ORANG HAJI TAJAAN 1MDB

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Lebih 5,000 imam masjid dan ketua kampung telah memperoleh manfaat daripada Program Khas Haji sejak dilancarkan pada 2011, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Alhamdulillah, sejak 2011 kita telah berjaya menghantar lebih 5,000 orang imam-imam masjid dan ketua-ketua kampung menjadi tetamu Allah di Baitullah melalui program khas haji ini.

"Saya doakan kesemua mereka dan jemaah haji kita mendapat haji mabrur, mudah-mudahan Insya-Allah," katanya dalam catatan di laman Facebook hari ini.

Dalam catatan itu, Najib turut memuat naik sebuah video berdurasi 7 minit 25 saat yang menceritakan perjalanan beberapa orang imam dan ketua kampung bertuah yang menerima surat tawaran haji pada tahun ini.

Antara yang ditampilkan ialah Na'aman Md Aris, 64, imam dari Kuala Lumpur; Mohd Sidek Palil, 69, (imam, Tanjong Karang) dan Osman Suhaimi, 63, (Pengerusi JKKK, Port Dickson) yang rata-rata tidak dapat ke Tanah Suci kerana kekangan kewangan, selain fokus menguruskan kebajikan keluarga masing-masing terlebih dahulu.

Mereka merupakan antara 1,100 orang imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima surat tawaran menunaikan haji daripada perdana menteri dalam satu majlis di Putrajaya pada 25 Julai lepas.

Program tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad itu bertujuan menghargai sumbangan berterusan golongan imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK terhadap masyarakat dan umat Islam.

Ulasan saya, walapun Najib menghadapi pelbagai tohmahan dan fitnah tentang 1MDB tetapi berkat doa 5,000 orang jemaah haji yang telah dihantar oleh 1MDB maka Najib terselamat dari fitnah tersebut.

Semoga Malaysia terus dilindungi Allah gara gara skandal 1MDB ini berkat doa mereka semua. 

Khamis, Julai 30, 2015

DOA ORANG YANG DIZALIMI

Tanpa sebab tiba-tiba Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kuasa melantik TPM  adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, Najib Razak maka kita tidak persoal kuasa Najib melantik Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM yang baharu.

Apa  dosa Muhyiddin sehingga Najib sanggup memecat timbalannya itu? Kalau kerana 1MDB, beliau akur kerana beliau sendiri tidak faham isu 1MDB. Kalau orang nombor dua dalam negara tidak faham, apatah lagi rakyat biasa lagi tak faham tentang isu 1MDB. Orang kampung tak kesah soal duit 1MDB hilang. Yang  mereka risaukan soal GST, nak beli top up RM10 pun kena bayar GST RM0.60 sen. Itu yang lebih menggusarkan hati rakyat daripada isu 1MDB.

Pada tahun 1986, negara terkejut apabila Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai TPM di era Dr Mahathir Mohamad. Setelah dipujuk empat MB, Wan Mokhtar Ahmad, Ramli Ngah  Talib, Ajib Ahmad dan seorang lagi lupa namanya, Musa Hitam bersetuju mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Umno.

Negara ganjil apabila Malaysia ada dua timbalan, Ghabar Baba sebagai TPM dan Musa sebagai Timbalan Presiden Umno. Maka perwakilan memilih Ghafar  sebagai timbalan presiden Umno yang baharu pada tahun 1987 yang menyaksikan juga Dr Mahathir Mohamad turut ditentang untuk jawatan Presiden Umno oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Kekalahan Ku Li menyebabkan timbulnya parti serpihan Umno yang baharu, Parti Semangat 46. 12 tahun kemudian negara dikejutkan dengan pemecatan TPM, Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir. Bukan sahaja Anwar dipecat dari jawatan TPM, malah dipecat dari Umno. PRU 1999 BN kalah dua negeri Kelantan dan Terengganu gara-gara  pemecatan Anwar dari Umno.

Anwar dipenjarakan kerana kes liwat, maka lahirlah parti serpihan Umno yang baharu, PKR yang bersifat parti berbilang kaum. 17 tahun kemudian negara terkejut dengan tindakan Najib memecat Muhyiddin dari jawatan TPM. Sehingga ini Muhyiddin masih kekal sebagai timbalan presiden Umno walaupun ada desas-desus beliau akan dipecat sebagai timbalan presiden Umno pada mesyuarat majlis tertinggi Umno Jumaat ini. Namun demikian mesyuarat majlis tertinggi itu dibatalkan.

Semalam saya sempat menemui Muhyiidin di rumahnya selepas sidang akhbar beliau. Kebetulan beliau baru habis menemui Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Umno Malaysia. Kali terakhir saya menemui Muhyiddin pada tahun 2009 di rumahnya ketika mewawancara beliau untuk akhbar Watan. Ketika itu beliau bertanding jawatan timbalan presiden  Umno menentang bekas MB Selangor, Muhammad Md Taib.

Enam tahun kemudian baru saya berpeluang menemui Muhyiddin di rumahnya selepas beliau dipecat dari jawatan TPM. Sebagai TPM, beliau begitu sibuk dan ada protokol, jadi saya tak nak ganggu beliau. Semalam baru saya berpeluang menemui beliau dan bercakap dari hati ke hati.

Kebetulan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan baru sampai. Maka kami sempat berbual dengan beliau. Saya pernah mewawancara Musa ketika saya menjadi editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas pada tahun 2007.

Muhyiddin memberitahu kami kalau isu 1MDB menjadi punca pemecatan beliau, beliau redha kara isu itu dibangkitkan untuk kepentingan rakyat. Ditanya kemungkinan mkt memecat beliau sebagai Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin berkata MKT nak pecatnya kerana isu apa. Apa yang beliau cakap di majlis perasmian perwakilan Umno Bahagian Cheras tantang 1MDB merupakan isu yang tepat dicakap di platform Umno untuk kepentingan ahli Umno.

Beliau berikrar akan terus menjalankan tugas sebagai timbalan presiden Umno. Sehingga ini beliau akan memenuhi undangan bahagian yang menjemputnya untuk merasmikan persidangan perwakilan bahagian. Sehingga ini dua bahagian, Raub dan Sik sudah membatalkan jemputan untuk Muhyiddin.

Seperti kata MB Johor, Khaled Nordin, ahli Umno kena menghormati Muhyiddin kerana beliau masih timbalan presiden Umno. Oleh itu Umno Johor tidak akan menghalang beliau turun ke mana mana bahagian di negeri   tersebut.

Jangan bimbang Tan Sri. Ini adalah ujian yang maha hebat buat Tan Sri. Tan Sri solat taubat, solat tahajud dan solat hajat tiap malam, nescaya Allah akan mendengar rintihan Tan Sri.  Doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan Allah.

Jangan under estimate Muhyiddin kerana beliau masih timbalan presiden Umno. Anything happens to Najib, Muhyiddin jadi PM yang baharu. Siapa sangka Dr Mahathir dipecat dari Umno pada tahun 1969 tetapi pada tahun 1981 beliau menjadi PM Malaysia yang keempat. Siapa sangka Pak Lah dipecat dari jawatan Menteri Pertahanan pada tahun 1987 tetapi Pak Lah jadi PM Malaysia yang kelima.

Kemungkinan Muhyiddin menjadi PM Malaysia masih ada walaupun Muhyiddin tidak pernah bercita-cita menjadi PM memandangkan beliau lebih tua dari Najib.

Sepanjang bergelumang dalam politik selama 37 tahun sejak tahun 1978, Muhyiddin sudah biasa jatuh bangun dalam politik. Beliau pernah bertanding jawatan naib presiden Umno pada tahun 1987 ketika menjadi menteri besar Johor tetapi tewas. Pada tahun 1993 beliau baru menangi jawatan tersebut bersama Najib dan Muhammad Md Taib.

Pada tahun 1996, beliau gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno tetapi pada tahun 2000, beliau kembali menang  walaupun mendapat pencalonan yang kurang berbanding MB Johor, Ghani Othman yang banyak mendapat pencalonan.

Muhyididn sudah buktikan dia seorang fighter. Dia jadi TPM kerana menang jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 2009 mengalahkan Muhammad setelah Ali Rustam dibatalkan dari bertanding. Justru itu beliau menang bertanding timbalan presiden Umno baharu Najib melantiknya TPM. Bukan seperti Najib yang menjadi TPM terlebih dahulu baru menang jawatan Timbalan Presiden Umno pada tahun 2004.

Seperti kata Muhyiddin, beliau ada prinsip. Semua dasar Najib disokong  kecuali 1MDB yang masih gagal memberi jawapan ke mana hilamgnya duit rakyat sebanyak RM26 billion. Apa langkah Muhyiddin seter8snya? Sama sama kita tunggu dan lihat

Jumaat, Mac 14, 2014

SEMOGA DOA JEMAAH UMRAH DI MEKAH TERMAKBUL SEGERA

SEPANG, 14 Mac (Bernama) -- Para jemaah yang akan menunaikan umrah di Makkah akan turut berdoa bagi menemui semula pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu. Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya, Ahmad Tarmizi Lim Abdullah, 54, berkata beliau akan menggunakan sebaiknya masanya di sana nanti bagi membawa bersama doa dan harapan rakyat Malaysia, agar ditemui semula pesawat itu. Menyifatkan kejadian itu sebagai ketentuan Allah, katanya doa adalah senjata paling utama bagi umat Islam, katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum berlepas ke tanah suci hari ini. Beliau pergi bersama isterinya Kamariah Husin, 53. "Walaupun tidak berkesempatan untuk turut serta menunaikan solat hajat yang dianjurkan di masjid, namun tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia, saya mengajak keluarga bersama-sama menunaikan solat hajat di rumah," katanya. Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang setelah berlepas dari KLIA menuju Beijing, pada pukul 12.41 pagi Sabtu lalu. Operasi mencari yang memasuki hari ketujuh hari ini masih gagal mengesan pesawat. Rohani Awang, 60, dari Perlis berharap doanya di depan Kaabah agar pesawat itu ditemui semula akan dimakbulkan. "Apa pun kita mesti jadikan insiden ini sebagai iktibar untuk memperbaiki diri kita," katanya yang sentiasa mengikuti setiap perkembangan di media massa. Pekerja swasta Afzan Othman, 37, berkata semua pihak mesti optimis dan terus berusaha mencari pesawat itu. -- BERNAMA RBN YAZ BBJ HK HM

Rabu, Mei 11, 2011

DOA IBU PALING MUSTAJAB


Golongan wanita yang bergelar ibu diingatkan supaya sentiasa berdoa dalam apa jua keadaan untuk kesejahteraan anak-anak kerana doa seorang ibu itu sangat mustajab.

Perkara itu diamalkan sendiri oleh ibu kepada Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd. Noah yang mengakui tidak putus berdoa siang dan malam untuk kejayaan anak-anaknya.

''Doa ibu paling kuat, di samping saya sentiasa sembahyang tahajud di malam hari berdoa untuk anak-anak,'' jelas Tun Rahah ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Ditanya apakah rahsia beliau dalam mendidik anak-anak terutama Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga mampu memimpin negara dengan baik, beliau berkata:

''Saya tidak ada apa-apa rahsia. Najib (sewaktu kecil) macam budak-budak lain, cuma masa belajar dia belajar, masa bermain dia bermain.''

Tambah beliau, Najib yang memanggil beliau dengan panggilan mummy merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan cakapnya.

''Walaupun sekarang ini dia terlalu sibuk, dia ada juga menghubungi saya,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kejayaan Tun Rahah dalam mendidik anak-anak menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia.

Isnin, Ogos 23, 2010

DOA UNTUK KHALIFAH LIM GUAN ENG


Apa nak jadi dengan dunia akhir zaman? Kalaulah benar khatib yang membaca khutbah kedua mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng di beberapa masjid di Pulau Pinang nampaknya sudah sah sama ada khatib itu yang gila atau Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) yang mengedarkan teks khutbah itu yang gila.

Adakah logik khutbah mendoakan pemimpin kafir walaupun beliau mendakwa terpesona dengan pemerintah Saidina Khalifah Umar Abdul Aziz.Nampaknya JAIPP mengesahkan bahawa Lim Guang Eng sudah menjadi Khalifah Lium Guang Eng. Dunia semakin gila nampaknya. Kalau nak ampu Lim Guang Eng, carilah jalan lain. Janganlah persenda khutbah Jumaat.

Perbuatan menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hendaklah dihentikan segera kerana ia bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, ia amat memalukan kerana jelas menjatuhkan maruah Islam yang mempunyai hukum dan peraturan tersendiri.

Katanya, khutbah Jumaat adalah satu ibadat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan sesuatu majlis yang dimana aturcaranya boleh diubahsuai sesuka hati dan tidak berlandaskan hukum.

"Justeru, tidak wajarlah di dalam doa khutbah kedua solat Jumaat dimasukkan doa untuk mereka yang bukan Islam kerana ia tidak pernah dilakukan walaupun di zaman Nabi," katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan penggunaan nama Ketua Menteri itu yang dilaporkan berlaku di beberapa buah masjid ketika solat Jumaat baru-baru ini.

Di KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar satu siasatan segera dibuat mengenai amalan penggantian nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya perkara tersebut benar-benar terjadi, maka amalan itu bukan sahaja menghina institusi raja selaku ketua agama bahkan kesucian masjid dengan penggunaan mimbar bagi mengagungkan Lim selaku Ketua Menteri.

"Kejadian-kejadian pelik lagi dangkal kerana pembacaan doa khutbah solat Jumaat sememangnya dikhususkan kepada Ketua Agama Islam Persekutuan atau Ketua Agama Islam Negeri, yakni Yang Dipertuan Agong dan Sultan dan bukannya untuk kuasa eksekutif pentadbiran negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira sama ada beliau itu muslim atau tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata Majlis Agama Islam Pulau Pinang tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berlaku kerana ia jelas menghina dan mengaibkan seluruh umat Islam di negara ini.

Katanya, perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini dimana nama Menteri Besar atau Ketua Menteri apatah lagi daripada golongan bukan Islam disebut di dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat.

"Majlis Raja-Raja sudah membuat ketetapan bahawa hanya nama Yang di-Pertuan Agong disebut dalam doa khutbah Jumaat, oleh itu apa yang dilaporkan berlaku di Pulau Pinang amat mengaibkan umat Islam," tegasnya.