Rabu, Mei 11, 2011

DOA IBU PALING MUSTAJAB


Golongan wanita yang bergelar ibu diingatkan supaya sentiasa berdoa dalam apa jua keadaan untuk kesejahteraan anak-anak kerana doa seorang ibu itu sangat mustajab.

Perkara itu diamalkan sendiri oleh ibu kepada Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd. Noah yang mengakui tidak putus berdoa siang dan malam untuk kejayaan anak-anaknya.

''Doa ibu paling kuat, di samping saya sentiasa sembahyang tahajud di malam hari berdoa untuk anak-anak,'' jelas Tun Rahah ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Ditanya apakah rahsia beliau dalam mendidik anak-anak terutama Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga mampu memimpin negara dengan baik, beliau berkata:

''Saya tidak ada apa-apa rahsia. Najib (sewaktu kecil) macam budak-budak lain, cuma masa belajar dia belajar, masa bermain dia bermain.''

Tambah beliau, Najib yang memanggil beliau dengan panggilan mummy merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan cakapnya.

''Walaupun sekarang ini dia terlalu sibuk, dia ada juga menghubungi saya,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kejayaan Tun Rahah dalam mendidik anak-anak menjadi contoh kepada seluruh rakyat Malaysia.