Memaparkan catatan dengan label idris. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label idris. Papar semua catatan

Rabu, Mei 02, 2018

IDRIS BANGGA DENGAN KONTRAKTOR ANAK BESUT






JERTEH: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bangga dengan prestasi cemerlang kontraktor Tulangis Sdn Bhd yang membina 500 unit projek perumahan rakyat (PPR) di Kampung Padang Tapong di sini yang merupakan anak jati Besut.

"Datuk Seri Rahim Husin adalah anak Pasir Akar yang kini merupakan kontraktor PPR terkenal di seluruh negara," katanya ketika melancarkan PPR ketiga di Terengganu petang tadi.

Tulangis Sdn Bhd telah membina PPR di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan PPR Bukit Nenas, Kuala Nerus. Petang tadi Idris yang juga penyandang parlimen Besut merasmikan PPR ketiga Tulangis di Jerteh.

"Beliau adalah kontraktor PPR yang berwibawa yang telah membina PPR di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Sabah. Kami rasa bangga kerana beliau adalah anak Besut," katanya.

Beliau meminta rakyat dalam DUN Jerteh memberi kemenangan besar kepada BN pada 9 Mei ini kerana lebih banyak projek pembangunan akan dibawa ke Besut selain dari Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dan laluan kereta api ECRL.

"Dengan adanya LPT3 dan ECRL, Bandar Jerteh akan muncul sebagai bandar satelit,"katanya lagi.

Selasa, Januari 23, 2018

KAMPUS DIGITAL BUKA LEMBARAN BAHARU

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan kampus pintar atau kampus digital di seluruh universiti awam menjelang hujung tahun ini akan membuka lembaran baharu dan mewujudkan konsep Ekonomi Pintar, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris berkata pelaksanaan kampus pintar yang mengaplikasikan teknologi untuk setiap urusan dalam kalangan warga kampus itu merupakan satu daripada langkah kementerian menuju ke arah Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang memerlukan penggunaan teknologi terkini.

"Ini (pelaksanaan kampus digital) akan membawa satu konsep Ekonomi Pintarkepada negara. Memang ia (aplikasi teknologi) bermula dari kampus, saya percaya ia akan berkembang kepada rakyat,"katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Cashless Campus @UiTM di Sungai Buloh di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Idris berkata beliau yakin aplikasi kampus digital juga akan turut dilaksanakan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kelak

Rabu, Januari 11, 2017

ADAKAH IDRIS HARON ORANG SETERUSNYA?

PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron merupakan saksi bagi kes melibatkan pegawainya yang pernah ditahan suruhanjaya itu, November lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan semalam berkata SPRM telah mengambil keterangan Idris bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009, semalam.

"Bagaimanapun, maklumat berhubung kes tersebut tidak boleh didedahkan bagi memelihara integriti dalam siasatan," katanya.

Ulasan saya, adakah Idris Haron mangsa SPRM yang seterusnya? Syabas kepada SPRM yang terus menangkap pesalah rasuah. Kita tunggu hasil siasatan SPRM yang mana Idris dikatakan menjadi saksi bagi kes pegawainya. 

Saban minggu SPRM mengamuk dan kini giliran Idris pula diambil keterangan. Jika inilah trend yang berlaku kepada pemimpin Umno, adakah Umno melahirkan semua pemimpin yang rasuah? Maka Umno perlu hapuskan persepsi ini jika mahu menang dalam PRU akan datang.

Isnin, Julai 01, 2013

LETAK IDRIS JUSOH DI KUALA BESUT

UMNO Bahagian Besut yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi. Pengerusi Biro Penerangan UMNO Bahagian itu, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman berkata ini kerana pengundi melihat kerajaan BN menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) melalui projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan terutama untuk golongan nelayan di kawasan itu. Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru. Wan Zakaria berkata sepanjang tempoh Allahyarham Dr A Rahman menjadi wakil rakyat di kawasan itu, banyak projek pembangunan yang telah dilaksanakan dan masih banyak lagi sedang dibangun dan dalam perancangan. "Pengundi di DUN Kuala Besut, menaruh harapan besar BN kekal di kawasan itu kerana masih banyak projek pembangunan untuk golongan nelayan termasuk di Pulau Perhentian akan dilaksanakan kerajaan," katanya kepada pemberita di Besut hari ini. Menurut Wan Zakaria antara rancangan besar yang sedang dibangunkan di Pulau Perhentian termasuk pembangunan penempatan penduduk melalui pembinaan tiga blok rumah pangsa, masjid dan projek pelancongan. Wan Zakaria yang pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal berkata, pertandingan merebut kerusi DUN Kuala Besut dijangka menarik kerana ia pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 Mei lalu dan berdasarkan pengalamannya beliau yakin peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu adalah cerah. Ulasan saya, pilihanraya kecil Kuala Besut paling sengit kerana PAS akan berhempas pulas untuk menanginya supaya BN-PAS sama-sama mendapat 16 kerusi dalam DUN. Untuk menang, BN perlu letak tokoh veteran, Datuk Wan Zakaria untuk tanding atau letaklah Datuk Seri Idris Jusoh sebagai calon. Kalau Bagan Pinang boleh letak Tan Sri Isa Samad sebagai calon, apa salahnya BN letak Menteri Pelajaran II sebagai calon. Orang Kuala Besut tak tergamak untuk melihat PAS menang walaupun PAS pernah menang di situ pada tahun 1999. Pada tahun 1999, orang UMNO sendiri mengundi PAS kerana marah Wan Mokhtar masih lagi bertanding di Chulai dalam pilihanraya umum tersebut. Kalau rakyat Kuala Besut berdendam dengan Ahmad Said, maka tidak mustahil PAS menang di Kuala Besut nanti. BN menang, kedudukan Ahmad Said semakin kuat tetapi jika BN kalah, kedudukan Ahmda Said sebagai MB akan tergugat.Kalau Datuk Seri Mustapha Mohamed boleh tanding dua kerusi, masakan Idris tak boleh tanding dua kerusi. Yang penting BN mahu menang.

Jumaat, April 26, 2013

IDRIS JUSOH GANTI SHABERY CHEEK JADI MENTERI

Kerajaan negeri akan mencadangkan Perdana Menteri melantik Ketua UMNO Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai salah seorang anggota kabinet apabila Barisan Nasional (BN) berkuasa semula selepas pilihan raya nanti. Menteri Besar, Dato’Seri Ahmad Said berkata, bagi mempastikan harapan itu berjaya pengundi di Parlimen Besut perlu mempastikan Idris calon Parlimen Besut,mendapat manjoriti besar dalam PRU13. “Takkaln lah selepas mendapat manjoriti besar Perdana Menteri tidak melantik Idris sebagai menteri kebinet yang mewakili Terengganu,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera pilihan raya DUN Kuala Besut, petang semalam. Ahmad juga menafikan tomahan sesetengah pihak beliau dan Idris bermusuhan dalam politik sejak krisis jawatan Menteri Besar pada 2008. “Itu anggapan orang dan sememangnya dalam politik macam-macam orang melihat pemimpin, yang pasti kami tekad untuk bekerjasama mempastikan BN kekal di Terengganu. Beliau berkata, engaruh rakyat Kelantan yang memberi sokongan kepada PAS tidak sedikitpun mempengaruhi pengundi di kawasan Parlimen Besut untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum diadakan. Katanya, kawasan Parlimen Besut adalah kubu kuat dan banteng pertahanan BN yang paling kukuh di Terengganu sejak sekian lama. Oleh itu,katanya, tidak tumbul pengundi di Besut menyokong pembangkang walaupun mereka tinggal di berhampiran sempadan Kelantan/Terengganu. Malah,kata Ahmad faktur itu diperkukuhkan lagi dengan kebijaksanaan pimpinan BN Besut diterajui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang berpengalaman luas dalam menghadapi pembangkang. Ulasan saya, jika MB cadang nama Idris sebagai menteri penuh, maka Datuk Shabery Cheek akan digugurkan sebagai menteri. Takkan Terengganu nak dapat dua menteri penuh.Oleh itu orang besut lebih bertuah dari orang kemaman kerana mereka dapat menteri lagi selepas Datuk Dr Abdullah Mohd Zain (2004-2008).

Selasa, Mac 20, 2012

IDRIS JUSOH TANDING DI PARLIMEN KUALA TERENGGANU?


Lucu juga malam tadi bila menemui seorang rakan yang baru tiba dari Kuala Terengganu di Restoran Nagas berhampiran stesen LRT PWTC. Saya tiba di situ tepat jam 11 malam menjelang hari jadi saya yang ke 53 pada tengah malam tadi.

Kawan saya bukan orang politik tetapi dia rapat dengan ramai orang politik Terengganu.Dia seorang ahli perniagaan yang dikatakan mendapat beberapa projek tetapi bila bercakap selalu cakap membangkang saja. Di atas meja kami ada akhbar Harakah miliknya.

"Kamu masih menulis blog?" tanya kawan saya itu.
"masih," jawab saya ringkas.
"kamu jangan tulis fitnah Zabidi. Tulis macam Harakah ini bukan akhbar fitnah. Semua betul belaka dalam akhbar ini," katanya.

Saya malas melayan orang seperti ini. Saya membaca akhbar itu sepintas lalu sahaja. maka berceritalah dia kononnya senarai calon parlimen BN sudah siap.


DIa sudah tengok senarai calon parlimen yang kononnya ditunjukkan oleh seorang pemimpin kanan Umno negeri kepadanya. Saya hanya mendengar saja. Katanya oleh kerana PM, datuk Seri Najib Tun Razak masih mahu penasihat agamanya, Datuk Dr Abdullah Mohd Zain kekal bertanding di parlimen Besut, maka ketua bahagiannya akan diletakkan bertanding di parlimen Kuala terengganu.

"BN boleh menang di kuala terengganu kerana semua orang kenal idris Jusoh sewaktu beliau jadi MB.Jasa beliau di kuala terengganu semua orang tahu, oleh itu PM mahu Idris menawan Kuala terengganu," ceritanya bangga.

Di Kemaman, Menteri belia dan sukan, Datuk Seri ahmad shabery Cheek kekal. Jadi bila Idris dan shabery menang nanti, dua menteri penuh akan dilantik dari Terengganu.

Di Hulu Terengganu, bekas ADUN Ajil, Datuk Othman daud akan diletakkan di situ, Beliau memang rapat dengan Najib.Beliau pernah kalah bertanding parlimen pada pilihanraya umum 1999.

Di Kuala Nerus, Ketua pengarah Biro Tata Negara, Datuk Dr Raja Arif Raja Ali akan diletakkan sebagai calon BN. Di Setiu, setiausaha politik PM, Datuk Jailani Ngah akan diketengahkan sebagai calon. Di Dungun pula saya tidak sempat dengar kerana saya mendapatkan handphone saya di meja belakang yang sedang dicaj bateri. Ketika itu tepat jam 12 malam saya menerima ucapan selamat hari jadi dari isteri dan anak-anak.


Kita tunggu pilihan raya umum ini sama ada senarai yang dikatakan oleh kawan saya ini menjadi kenyataan.

Rabu, Oktober 27, 2010

SMS UNTUK KEMPEN IDRIS JUSOH


Dalam pembicaraan “Ugutan bunuh melalui SMS’ yang bersambung pada hari ini (26 Oktober), mahkamah diberitahu bahawa penggunaan aplikasi SMS atas nama Mohd.Irwan Zainal Abidin (seorang pegawai kerani di Pejabat Umno pada 2009) adalah digunakan untuk tujuan kempen calon pertandingan Majlis Tertinggi bagi pihak calon bernama Dato’ Seri Haji Idris Jusoh.

Mohd Irwan yang tinggal di Seri Kembangan ketika disoal pihak pendakwa pada sesi perbicaraan pagi ini memberitahu pada masa itu beliau adalah setiausaha kerja kepada sekretariat Pemulihan UMNO.

Dinyatakan kepada mahkamah, tugas beliau adalah menyediakan minit mesyuarat, tempahan bilik mesyuarat, makluman kepada ahli mesyuarat dan persiapan mesyuarat berkaitan sekretariat pemulihan UMNO itu.

Ditanya pihak pendakwa, Mohd.Irwan memberitahu beliau bertanggungjawab kepada tiga orang pegawai atasan iaitu Setiausaha Kerja UMNO Malaysia ketika itu, Datuk Husaini Hashim, Pengerusi Sekretariat Pemulihan UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd.Zubir selaku Pegawai Khas Dato’ Seri Idris.

Prosiding pagi ini berlangsung di hadapan Hakim, M.Bakri Abd. Majid. Pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami manakala Dr.Ahmad Ramzi diwakili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.

Ditanya penglibatan beliau dalam kes ini, Mohd.Irwan berkata Dr.Ramzi meminta beliau membantu kempen pemilihan Majlis Tertinggi UMNO 2008-2011 yang mana Dato’ Seri Idris Jusoh merupakan salah seorang calon bagi mengganggotai pemilihan itu.

“Dalam kaedah berkempen Dr.Ramzi telah berikan saya satu SMS, nama dan nombor handphone untuk saya hubungi yang mana kandungan kaedah kempen menggunakan `SMS blast’” beritahunya kepada mahkamah.

Pendakwa: Apa yang diarahkan oleh Dr.Ramzi

Mohd.Irwan: Minta saya hubungi penama tersebut kepada nombor-nombor telefon yang telah diberikan . Minta saya hubungi Encik Hazwan untuk mendapat keterangan lanjut mengenai kaedah SMS. Selepas faham saya hubungi semula Dr.Ramzi bagi perbincangan dan Dr.Ramzi setuju untuk membeli aplikasi tersebut.

Pendakwa: Apa lagi arahan Dr.Ramzi

Mohd.Irwan: Bagi tujuan pembelian aplikasi, Dr.Ramzi salurkan wang RM1,000 kepada akaun saya dan saya pindahkan ke akaun yang diberikan oleh Encik Hazwan (pemilik syarikat aplikasi SMS), akaun tersebut namnya seorang wanita. RM450 untuk bayaran pendaftaran dan RM550 untuk pembelian kredit.

Pendakwa: Apakah tujuan pembelian itu?

Mohd.Irwan: Tujuan pembelian tersebut adalah bagi membantu kempen pemilihan MT bagi pihak Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pendakwa: Akaun SMS blast itu didaftarkan atas nama siapa?

Mohd.Irwan: Didaftarkan atas nama saya.

Pendakwa: Bagaimana SMS blast digunakan?

Mohd.Irwan: Bagi menggunakan SMS blast kita perlukan sebuah komputer, sambungan internet, ID dan password. Kita bolehlah menghantar SMS kepada seberapa ramai yang kita mahukan. Kita juga boleh mengubah kolum penghantar. Biasa `sender’ adalah nombor handphone kita sendiri, SMS blast ini boleh diubah nama sender kepada sesiapa sahaja.

Pendakwa: Kemudian selepas itu apa yang awak lakukan?

Mohd.Irwan: Saya ada hantar SMS memo percubaan kepada handphone Dr.Ramzi dan handphone saya sendiri sebanyak dua kali. Kali pertama tidak berjaya kerana tidak dimasukkan kod antarabangsa bagi Malaysia iaitu nombor 6. Kali kedua berjaya setelah dimasukkan nombor 6 pada pangkal nombor telefon itu.

Pendakwa: Bila dihantar memo SMS percubaan itu?

Mohd.Irwan: 6 Mac 2009.

Pendakwa: Apakah kandungan memo SMS itu?

Mohd.Irwan: Memo itu berbunyi “percubaan, Dato’ Seri Idris Jusoh’. Selepas itu saya lupa password dan hubungi semula Encik Hawzan untuk bantuan password baru.

Pendakwa: Apa password baru?

Mohd.Irwan: DSIJ 151155. DSIJ merujuk pada Dato’ Seri Idris Jusoh, 151155 adalah tarikh lahir beliau.

Pendakwa: Kenapa letak password sebegitu?

Mohd.Irwan: Sebab saya risau jika terlupa lagi dan bagi memudahkan.

Pendakwa: Siapa yang arah bukan akaun itu dan tujuan apa?

Mohd.Irwan: Akaun ini diminta dibuka oleh Dr.Ramzi bagi membantu kempen Dato’ Seri Idris sebagai calon MT.

Pendakwa: Adakah awak maklum pada sesiapa password itu (DSIJ 151155)?

Mohd.Irwan: Tak maklum pada sesiapa kecuali Dr.Ramzi atas permintaan beliau sendiri.

Pendakwa: Bila diberitahu password itu kepada Dr.Ramzi?

Mohd.Irwan: Minggu pertama April 2009 selepas habis kempen MT. Hantar melalui SMS dan tidak maklumkan kepada orang lain selain Dr.Ramzi.

Pendakwa: Bagaimana awak dapat tahu mengenai isu ugutan melalui SMS ini?

Mohd.Irwan: Saya dapat tahu melalui akhbar dan siaran berita TV. Seterusnya saya mengesyaki isu ini terbabit dengan akaun yang didaftarkan atas nama saya.

Pendakwa: Tentang password DSIJ 151155 ada beritahu pada sesiapa dan tulis di mana-mana.

Mohd.Irwan: Tidak ada,kecuali kepada Dr.Ramzi.

Pendakwa: Ada diterangkan kepada Dr.Ramzi cara penggunaan blast SMS .

Mohd.Irwan: Ada. Bertempat di pejabat Dr.Ramzi pada awal April 2009.

Pendakwa: Selepas syak isu SMS itu ada hubungan dengan akaun atas nama awak apa awak buat?

Mohd.Irwan: Saya hubungi Encik Hazwan untuk bertemu dan bincang masalah akaun tersebut. Dr.Ramzi pun ada hubungi saya bagi tujuan agar tutup akaun tersebut dan jika ada dipulangkan baki kredit dan kalau tak ada, tak mengapa.

Pendakwa: Di mana jumpa Encik Hazwan

Mohd.Irwan: Di Bangi Golf Resort pada malam saya ditahan polis pada 20 April 2009.

Pendakwa: Ada terima apa-apa arahan Dr.Ramzi?

Mohd.Irwan: Dr.Ramzi pesan supaya lindungi beliau dan ‘big boss’

Pendakwa: Siapa ‘big boss’ ikut fahaman awak

Mohd.Irwan: Kata-kata tersebut ikut fahaman saya merujuk kepada Dato’ Seri Idris Jusoh.

Perbicaraan seterusnya bersambung di sebelah petang.

Apabila prosiding bersambung di sebelah petang saksi (Mohd Irwa) memberitahu beliau mempunyai kelulusan Diploma Penilaian Harta Tanah lulusan Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur yang menjalankan bertugas sebagai Pegawai Kerani, Bahagian Teknologi Maklumat di Pejabat UMNO Malaysia.

Beliau menjalankan tugas membaik pulih komputer rosak dan mengenalpasti masalah komputer dengan merujuk kepada mereka yang lebih senior kerana dia hanya seorang pekerja separa mahir.

Saksi memberitahu dia bertugas secara sukarela membantu kempen MT kepada Idris dengan mendapatkan maklumat mengenai data-data keahlian UMNO dan turut bersetuju dengan pendakwa bahawa dia terlibat dalam politik UMNO.

Pendakwa kemudiannya meminta barang rampasan berkaitan kes seperti dua laptop, satu computer, satu set alatan permaian video, satu moderm digi, satu destop dan satu alat pembesar suara ditunjukkan kepada mahkamah.

Hakim Tuan M.Bakri Abd Majid kemudiannya menangguhkan perbicaraan kes semalam dan akan disambung hari ini ( 27 Oktober 2010) jam 10.00 pagi.

(dipetik dari hambali1.blogspot.com)

Khamis, September 23, 2010

IDRIS DILANTIK PENGARAH PILIHANRAYA?


Dua hari lepas saya berada di The Mall selepas menghadiri Hari Terbuka ETP di PWTC. Seperti biasa saya menemui kawan-kawan di situ bersembang politik dengan Kisfi Zainal, Tok Mulu Dalam dan Fizi anak Datuk Abu Bakar Ali bekas ADUN Kemasik.

Tok Mulu Dalam beritahu saya bahawa seorang Exco Kerajaan Terengganu memberitahunya bahawa UMNO Malaysia melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengarah Pilihanraya BN. Saya tidak percaya kerana biasanya tugas itu dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri. Masakan Tan Sri Muhyiddin menyerahkan jawatannya itu kepada Idris pula.

Hari ini saya baca blog citrabangsa yang mengesahkan perlantikan Idris itu walaupun BN belum membuat sebarang pengumuman. Agak aneh juga kenapa jawatan itu diberi kepada Idris sedangkan sudah jadi tradisi Timbalan Presiden UMNO yang akan menjadi Pengarah Pilihanraya BN.

Blog citrabangsa juga mengatakan Idris akan dilantik sebagai menteri penuh tidak lama lagi. Saya rasa selagi Tuanku Mizan menjadi Yang Dipertuan Agong, Idris tidak akan dilantik sebagai menteri kecuali Sultan Kedah menjadi Yang Dipertuan Agong dua tahun lagi, bolehlah Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan nama Idris untuk dilantik sebagai menteri.

Seorang rakan yang ada sama dengan saya pada petang itu, Fakhrul Azman Abu Bakar menyanggah kenapa perlu dilantik Idris sebagai pengarah pilihanraya BN. BN menang di Terengganu pada tahun 2004 bukan kerana Idris atau gelombang biru tetapi kerana Fakhrul telah memecahbelahkan PAS dengan PKR. Sebagai bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu, Fakhrul mendakwa nasi bungkus gelombang biru tidak habis.Ini bermakna ramai yang tidak hadiri majlis gelombang biru.

Fakhrul mendakwa, apabila PKR dan PAS dapat dipecahkan barulah usaha menawan semula Terengganu berjaya dilakukan. Fakhrul adalah orang yang membawa Ezam Mohd.Nor menemui Pak Lah melalui setiausaha politik pak Lah, Datuk Wan Farid Wan Salleh. Akhirnya Ezam Mohd.Nor menyertai UMNO dan kini beliau dilantik sebagai Senator tetapi Fakhrul yang minta jawatan APMT bagi DUN Wakaf Mempelam sampai sekarang tidak dilantik kerana Timbalan Pengarah APMT, Haji Shamsudin Sulong berdendam dengan pak saudara Fakhrul di Pulau Bahagia.

Macam mana APMT mahu maju bila ada pegawai kerajaan tidak profesional lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Orang seperti Fakhrul ini boleh buat kerja tetapi kerana dendam peribadi, surat perlantikan Fakhrul sampai sekarang tidak dikeluarkan.

Khamis, Mei 27, 2010

IDRIS JALA MEMANG HEBAT


Tidak sia-sia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik bekas CEO MAS, Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga PEMANDU (Unit Prestasi Perlaksanaan).

Pagi tadi beliau telah membentangkan kenapa kerajaan perlu mengurangkan subsidi yang berjumlah RM74 bilion pada tahun lepas. Secara bersahaja tanpa menggunakan rostrum, Idris membuat pembentangan kepada hampir 1,000 orang ang hadir di majlis makmal rasionalisasi subsidi di KLCC.

Katanya, jika kerajaan terus memberi subsidi kepada rakyat akhirnya negara akan jadi bangkrap pada tahun 2019 seperti yang berlaku pada Greece. Oleh itu kerajaan memerlukan persetujuan rakyat untuk mengurangkan subsidi.

Majoriti rakyat bersetuju supaya kerajaan kurangkan subsidi tetapi bukan secara mendadak tetapi dalam masa lima tahun. Idris juga membentangkan langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi dalam bidang minyak, makanan dan sebagainya.

Selepas pembentangan Idris, beberapa ahli panel dijemput mengemukakan pandangan termasuk Pengerusi Khazanah Malaysia, tan Sri Azman Mokhtar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan CEO MAS, Tengku Azmil.

Semua bersetuju supaya subsidi ditamatkan tetapi dalam tempoh yang beransur-ansur sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun. Di antara langkah yang dicadangkan oleh PEMANDU ialah menaikkan harga minyak.

Pada hemat saya, ia bukan langkah bijak. Menaikkan harga minyak tidak menyelesaikan masalah tetapi yang perlu dilihat secara mana kerajaan perlu mengurus subsidi. pernah satu grup mencadangkan langkah untuk mengurus subsidi ini melalui IT di mana harga minyak boleh dibezakan kepada orang kaya ayau orang miskin. Masalah yang berlaku sekarang golongan kaya membeli minyak yang disubsidikan oleh kerajaan. Grup itu telah mencadangkan kepada kerajaan supaya mengguna sistem IT ini yang dapat memberi harga yang berbeza kepada rakyat tetapi kerajaan tidak menggunakan kaedah ini sebaliknya memberi rebat tunai sebanyak RM625 kepada setiap rakyat yang membaharui cukai jalan kenderaan mereka di zaman Pak Lah.

Oleh itu Najib perlu melihat cadangan ini kerana melalui kedah ini harga minyak boleh diturunkan dari harga pasaran malah semua harga barang kawalan seperti gula, tepung dan lain-lain. Dalam pada itu semua ahli panel bersetuju supaya kerajaan tidak perlu memberi subsidi kepada gula kerana ia menyebabkan rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis. Subsudu gula perlu ditarik serta-merta.

Langkah yang dibuat oleh PEMANDU pada hari ini merupakan langkah yang baik dari kerajaan mengambil kira pandangan rakyat. Cuma dikesali bahasa kebangsaan masih lagi diabaikan oleh sebuah jabatan kerajaan. Namun demikian saya ucapkan syabas kepada sikap keterbukaan Idris Jala. Cuma saya tidak bersetuju rebat wang tunai diberi kepada mereka yang memiliki kereta kurang dari 1,000 cc. Saya setuju supaya cukai jalan dihapuskan kepada kenderaan kurang dari 1,000 cc itu sebagai ganti rebat tunai itu.

Khamis, September 03, 2009

IDRIS DAN ROSOL TIDAK HADIR


Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Idris Jusoh dan bekas Setiausaha Pehubungannya, Rosol Wahid tidak kelihatan di majlis Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini di Kuala Berang, Terengganu.


Sementara itu Muhyiddin menawarkan diri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut politik di Terengganu yang sudah berlarutan sejak selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.


Pemerhati politik berpendapat Muhyiddin lebih sesuai mengetuai UMNO Terengganu kerana dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, kumpulan 10 lebih menghormati Muhyididin daripada Hishamuddin yang lebih junior dari Idris dalam politik. Idris sudah jadi Ketua Pemuda UMNO Terengganu pada tahun 1993 sedangkan Hishamuddin baru menang Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang pada tahun yang sama.


Trend Timalan Perdana Menteri memimpin UMNO Terengganu pernah dirintis oleh Pak Lah apabila beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada tahun 1999.


Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau sedia bersemuka dengan pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat kerana berpendapat kemelut itu lebih kepada masalah peribadi.


Katanya sejak beberapa bulan lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan timbalannya, Datuk Ahmad Said yang juga Menteri Besar, telah melakukan pelbagai inisiatif bagi memperbaiki keadaan tersebut.


"Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.


"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar...lepas hari raya atau bila masa yang sesuai," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini.


Sambil mengakui memang wujud krisis dalaman parti itu di Terengganu, Muhyiddin berkata masalah itu perlu diselesaikan segera supaya ia tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Beliau berkata sebagai sebuah negeri yang disifatkan sebagai "kubu kuat" Umno selepas pilihan raya umum lepas, hubungan dan kerjasama antara pemimpin parti perlu diperkukuhkan kembali di Terengganu.


"Saya tidak melihat ia satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Semua isu yang berbangkit, (melibatkan) hubungan antara kita..bukan ada orang luar nak kacau dan sebagainya."Saya melihat Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu kukuh dan bersatu padu...Terengganu merupakan negeri yang penting kepada kita dan mahu kedudukan ini terus kekal. Sebab itu kedudukan politik dan parti amat mustahak diberikan perhatian," katanya.


Dalam pada itu, beliau percaya tiada wakil rakyat BN Terengganu yang akan bertindak untuk keluar daripada parti itu kerana mereka merupakan pemimpin yang masih cintakan dan mempunyai semangat yang kuat untuk memperkukuhkan parti.


"Setakat ini, saya tidak dengar (ada pemimpin Umno hendak lompat parti). Saya tidak fikir mereka akan ambil langkah yang boleh merugikan parti," katanya.


Muhyiddin percaya kemelut dalaman itu tidak akan mengancam parti kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat hanya menimbulkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa perkara melibatkan Umno di negeri ini.


Namun begitu, beliau berkata kunjungan dan perjumpaannya dengan pemimpin Umno Terengganu adalah kritikal bagi memastikan hubungan dan kerjasama antara mereka terus mantap bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Kemelut politik Terengganu timbul selepas Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh selepas pilihan raya umum ke-12 lepas.


Berikutan itu, beberapa isu timbul di kalangan pemimpin Umno Terengganu antaranya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu April lepas, 10 wakil rakyat BN tidak menghadiri mesyuarat tersebut sebagai "memboikot" kepimpinan Ahmad sebagai Menteri Besar.


Hishammuddin dan Ahmad turut hadir pada perjumpaan itu.Bagaimanapun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Dewan Dewan Undangan Negeri Ajil Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu itu.

Ahad, Jun 28, 2009

IDRIS SEDIA DISIASAT


Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh sedia memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, awal bulan ini.

Idris yang baru pulang daripada mengikuti kursus jangka pendek di Amerika Syarikat malam kelmarin, berkata beliau akan memberi segala maklumat yang ada jika dikehendaki berbuat demikian.

"Kalau SPRM meminta saya membantu siasatan, saya bersedia," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Pendidikan Kolej Profesional Mara dan Kolej Mara di sini Jumaat lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian bumbung stadium berkenaan yang menempatkan pintu A, B dan BI ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP) yang runtuh awal bulan ini.

Idris yang turut meminta SPRM menyiasat secara menyeluruh termasuk daripada aspek perancangan pembinaan bumbung sehingga proses selepas strukturnya itu siap, berkata sehingga kini beliau belum dipanggil SPRM.

"Siasatan ini perlu dilakukan kerana kita perlu tahu kenapa struktur itu runtuh," katanya.

Mengenai pelantikan tiga pemimpin baru dalam Badan Perhubungan Umno Terengganu, Idris berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keputusan Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno itu, dibuat selepas melakukan pertimbangan yang sewajarnya.

Baru-baru ini, Hishammuddin mengumumkan pelantikan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha menggantikan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang digugurkan.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd Said pula dilantik sebagai Bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri menggantikan Datuk Zuber Embong.

Rabu, Mac 25, 2009

DAPATKAH IDRIS JUSOH CIPTA SEJARAH?


Terengganu bertuah kerana kini masih memiliki lima orang ahli majlis tertinggi UMNO. Dua orang menang dalam pertandingan 2004 (Datuk Abdul Rahman Bakar dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang) manakala tiga orang dilantik iaitu Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Dr. Abdullah Mat Zain dan Datuk Nordiana Shafie.


Bagaimana pula nasib calon-calon dari Terengganu esok? Hanya tiga orang bertanding. Dua orang mempertahankan kedudukan iaitu bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Rahman Bakar dan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh.


Seorang lagi muka baru ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Penerangan. Sebagai menteri tunggal dari Terengganu, Shabery ada peluang untuk menang. Tambahan pula beliau mendapat pencalonan yang banyak dari seluruh negara.


Sebagai menteri, beliau banyak membuat perubahan. RTM pertama kali dalam sejarah penubuhannya menyiarkan soaljawab parlimen secara langsung setiap pagi. Beliau juga mencatat sejarah sebagai menteri BN yang berani berdebat dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dua orang calon lagi masih belum tentu sama ada dapat mempertahankan jawatan mereka atau tidak. Rahman Bakar dijangka menerima laluan sukar untuk menang apatah lagi beliau bukan lagi seorang timbalan menteri. Kekalahannya di Marang di tangan bekas setiausaha bahagian, Yahya Khatib Mohamad bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian menjejaskan imejnya. Beliau dijangka kalah tipis sebaliknya beliau kalah teruk di tangan Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu.


Bagaimana pula nasib Idris pada esok hari? Inilah kali pertama Idris bertanding setelah dua kali dilantik. Pada tahun 2000, selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Idris dilantik sebagai ahli majlis tertinggi UMNO buat kali pertama. Pada tahun 2004, sebagai Menteri Besar, beliau tidak bertanding juga. Itulah kali kedua beliau dilantik ke jawatan tersebut.


Dapatkah Idris mencipta sejarah memenangi kerusi ini selepas dilantik dua kali? Sebagai Pengerusi MARA, Idris ada peluang untuk menang. Malah bekas Pengerusi MARA pun ramai yang menangi kerusi ini seperti Nazri Aziz, Rahim Bakar. Jadi berjawatan Pengerusi MARA pun ada harapan untuk menang.


Perwakilan mungkin beri undi simpati kepada Idris kerana bila menang pilihan raya umum 2008 mempertahankan Terengganu dari jatuh ke tangan PAS, Idris enggan diterima angkat sumpah sebagai Menteri Besar baru oleh istana. Ini menyebabkan Idris mampu menang dengan undi simpati ini.


Sebagai bekas Menteri Besar, Idris banyak bawa pembangunan ke Terengganu termasuk membuat Taman Tamaddun Islam, Taman Ilmu, menaikkan taraf KUSZA sebagai universiti, membina 1 satu masjid satu DUN, memperkenalkan Ulul Albab di mana ideanya di sekolah Imtiaz telah dikembangkan di MRSM Ulul Albab di Besut.


Pendek kata Idris adalah seorang yang kreatif. Kreativitinya itu tercetus hasil dari pembacaannya. Beliau memang seorang ulat buku seperti Anwar Ibrahim. Mungkin Idris terlalu laju menyebabkan pegawai kerajaan negeri dan rakyat Terengganu tidak terkejar dengan ideanya.


Oleh itu jika Shabery menang kerusi majlis tertinggi UMNO kerana jawatan menteri, maka tidak salah jika Idris menang kerusi ini. Oleh itu terpulanglah kepada perwakilan untuk menentukan nasib Idris. Sebagai bekas Menteri Besar Terengganu yang berjaya, tidak rugi perwakilan memberi kemenangan kepada Idris.


Jika dua orang ini menang kerusi majlis tertinggi UMNO dari Terengganu esok, ia tidak dapat mengatasi rekod 2004 yang pernah ada lima orang ahli majlis tertinggi UMNO dari negeri tersebut.


Idris dikenali sebagai pencipta slogan. Dengan slogan Serik Dah Weh ,Idris berjaya membawa kemenangan kepada BN Terengganu pada tahun 2004. Jika tahun 1999 BN menang empat kerusi saja maka pada tahun 2004 PAS pula yang menang empat kerusiu. Dengan program Gelombang Biru, BN berjaya merampas kembali Terengganu dari tangan PAS.


Dengan prestasi cemerlang Idris menerajui Terengganu walaupun cuma satu penggal sahaja, maka Majlis Tertinggi UMNO memerlukan seorang pemikir sepertri Idris. Malah Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak memberi kepercayaan kepada Idris untuk memikirkan formula untuk menjenamakan semula UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang. Najib akan mengumumkan hasil kajian Idris ini apabila menjadi Presiden UMNO nanti.

Maka orang seperti Idris perlu berada dalam majlis tertinggi UMNO seperti Shabery yang dijangka menang mudah dengan kedudukannya sebagai menteri pusat.

Isnin, Disember 22, 2008

IDRIS KENA BERI PENJELASAN


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mampu memberikan kemenangan cemerlang kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di Kuala Terengganu 17 Jan ini, kata bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh.


Beliau berkata ini berdasarkan kredibiliti dan pengalaman Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.


"Saya lihat dengan pemilihan calon yang sesuai, sebagai seorang Ketua Umno Bahagian, timbalan menteri yang mempunyai kaliber asasnya kita peroleh satu jentera parti yang kuat."Pengalaman dan kredibiliti Wan Ahmad Farid akan mempastikan kemenangan yang cemerlang bagi BN di Kuala Terengganu nanti," katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan Olimpiad Robot Antarabangsa (IRO) 2008 di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak semalam.


Idris, yang juga Pengerusi Mara, mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.Bagaimanapun, Idris berkata BN tidak menjangkakan akan memperoleh kemenangan mudah kerana pertandingan pada pilihan raya kecil ini dijangka sengit.

Hairan betul Idris. Masa dia jadi Menteri Besar Terengganu, dia tak pilih Wan Farid bertanding pada pilihan raya umum lalu. Masa tu Wan Farid tak mampu menang ke?

Kenapa beliau kekalkan abang Wan Farid, Wan Hisham di DUN Ladang yang menyebabkan Wan Hisham kalah? Kalau Idris letak Wan Farid di DUN Ladang, Wan Farid menang. Kenapa masa itu tak letak Wan Farid? Atau Datuk Seri takut Wan Farid menang jadi Menteri Besar ganti Datuk Seri?

Oleh itu Datuk Seri kena buat penjelasan kenapa tak pilih Wan Farid sebagai calon sedangkan masa itu pun Wan Farid sudah ada pengalaman sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.