Rabu, Mac 25, 2009

DAPATKAH IDRIS JUSOH CIPTA SEJARAH?


Terengganu bertuah kerana kini masih memiliki lima orang ahli majlis tertinggi UMNO. Dua orang menang dalam pertandingan 2004 (Datuk Abdul Rahman Bakar dan Datuk Tengku Putera Tengku Awang) manakala tiga orang dilantik iaitu Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Dr. Abdullah Mat Zain dan Datuk Nordiana Shafie.


Bagaimana pula nasib calon-calon dari Terengganu esok? Hanya tiga orang bertanding. Dua orang mempertahankan kedudukan iaitu bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Rahman Bakar dan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh.


Seorang lagi muka baru ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Penerangan. Sebagai menteri tunggal dari Terengganu, Shabery ada peluang untuk menang. Tambahan pula beliau mendapat pencalonan yang banyak dari seluruh negara.


Sebagai menteri, beliau banyak membuat perubahan. RTM pertama kali dalam sejarah penubuhannya menyiarkan soaljawab parlimen secara langsung setiap pagi. Beliau juga mencatat sejarah sebagai menteri BN yang berani berdebat dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dua orang calon lagi masih belum tentu sama ada dapat mempertahankan jawatan mereka atau tidak. Rahman Bakar dijangka menerima laluan sukar untuk menang apatah lagi beliau bukan lagi seorang timbalan menteri. Kekalahannya di Marang di tangan bekas setiausaha bahagian, Yahya Khatib Mohamad bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian menjejaskan imejnya. Beliau dijangka kalah tipis sebaliknya beliau kalah teruk di tangan Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu.


Bagaimana pula nasib Idris pada esok hari? Inilah kali pertama Idris bertanding setelah dua kali dilantik. Pada tahun 2000, selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Idris dilantik sebagai ahli majlis tertinggi UMNO buat kali pertama. Pada tahun 2004, sebagai Menteri Besar, beliau tidak bertanding juga. Itulah kali kedua beliau dilantik ke jawatan tersebut.


Dapatkah Idris mencipta sejarah memenangi kerusi ini selepas dilantik dua kali? Sebagai Pengerusi MARA, Idris ada peluang untuk menang. Malah bekas Pengerusi MARA pun ramai yang menangi kerusi ini seperti Nazri Aziz, Rahim Bakar. Jadi berjawatan Pengerusi MARA pun ada harapan untuk menang.


Perwakilan mungkin beri undi simpati kepada Idris kerana bila menang pilihan raya umum 2008 mempertahankan Terengganu dari jatuh ke tangan PAS, Idris enggan diterima angkat sumpah sebagai Menteri Besar baru oleh istana. Ini menyebabkan Idris mampu menang dengan undi simpati ini.


Sebagai bekas Menteri Besar, Idris banyak bawa pembangunan ke Terengganu termasuk membuat Taman Tamaddun Islam, Taman Ilmu, menaikkan taraf KUSZA sebagai universiti, membina 1 satu masjid satu DUN, memperkenalkan Ulul Albab di mana ideanya di sekolah Imtiaz telah dikembangkan di MRSM Ulul Albab di Besut.


Pendek kata Idris adalah seorang yang kreatif. Kreativitinya itu tercetus hasil dari pembacaannya. Beliau memang seorang ulat buku seperti Anwar Ibrahim. Mungkin Idris terlalu laju menyebabkan pegawai kerajaan negeri dan rakyat Terengganu tidak terkejar dengan ideanya.


Oleh itu jika Shabery menang kerusi majlis tertinggi UMNO kerana jawatan menteri, maka tidak salah jika Idris menang kerusi ini. Oleh itu terpulanglah kepada perwakilan untuk menentukan nasib Idris. Sebagai bekas Menteri Besar Terengganu yang berjaya, tidak rugi perwakilan memberi kemenangan kepada Idris.


Jika dua orang ini menang kerusi majlis tertinggi UMNO dari Terengganu esok, ia tidak dapat mengatasi rekod 2004 yang pernah ada lima orang ahli majlis tertinggi UMNO dari negeri tersebut.


Idris dikenali sebagai pencipta slogan. Dengan slogan Serik Dah Weh ,Idris berjaya membawa kemenangan kepada BN Terengganu pada tahun 2004. Jika tahun 1999 BN menang empat kerusi saja maka pada tahun 2004 PAS pula yang menang empat kerusiu. Dengan program Gelombang Biru, BN berjaya merampas kembali Terengganu dari tangan PAS.


Dengan prestasi cemerlang Idris menerajui Terengganu walaupun cuma satu penggal sahaja, maka Majlis Tertinggi UMNO memerlukan seorang pemikir sepertri Idris. Malah Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak memberi kepercayaan kepada Idris untuk memikirkan formula untuk menjenamakan semula UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang. Najib akan mengumumkan hasil kajian Idris ini apabila menjadi Presiden UMNO nanti.

Maka orang seperti Idris perlu berada dalam majlis tertinggi UMNO seperti Shabery yang dijangka menang mudah dengan kedudukannya sebagai menteri pusat.