Rabu, Oktober 22, 2008

BERTELAGAH TAPI DAPAT DUDUK SEMEJA


Semalam 22 orang blogger dan penulis politik (seorang balik walaupun namanya tercatat pada kertas pendaftaran) telah dijamu oleh seorang usahawan Datuk Aziz Chemor di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Tujuan Aziz mengumpul mereka adalah supaya mereka bersatu. Oleh itu usaha ini wajar dipuji kerana bukannya senang untuk mengumpulkan mereka yang berlainan fahaman.

Seperti kata Pak Habib, majlis anjuran Aziz ini adalah gencatan senjata di antara para blogger. Mereka berperang sesama sendiri dalam blog mereka tetapi pada hari semalam mereka letakkan senjata untuk duduk semeja.

Ini membuktikan bahawa walaupun para penulis bertelagah sesama mereka tetapi mereka masih boleh duduk semeja. Di antara nama besar yang hadir ialah Pak Habib, Yahaya Ismail, Mohd Sayuti Omar, Zakaria Bidin, Yusof Merah, Yassin Salleh, Salahuddin Hisham, Datuk Ruhanie Haji Ahmad, Haji Abu Bakar Ninggal, Dharmala NS, Don Hussin dan Johari Ismail (menyebut beberapa nama).

Saya turut diundang hadir oleh Pak Habib walaupun saya sibuk dengan deadline WATAN. Saya rasa rendah diri kerana yang hadir adalah blogger yang hebat sedangkan blog saya yang baru berusia tiga minggu dan belum ramai lagi pengunjungnya. Berbanding dengan mereka, siapalah saya.

Sekali sekala berkumpul begini memang seronok kerana sudah lama tak dapat berjumpa dengan rakan-rakan penulis seperti Yahya Ismail, Pak Habib dan Mohd. Sayuti Omar. Dharmala NS yang duduk di depan saya sudah 20 tahun tak jumpa. Kali terakhir di WATAN (Karangkraf) pada tahun 1988 yang mana ketika itu saya adalah penolong editor WATAN manakala beliau adalah penyunting akhbar WATAN.

Pada tahun 1976, ketika saya dalam tingkatan lima di MRSM, Seremban saya pernah ikuti kursus penulisan di Seremban yang mana ketika itu Dharmala NS yang menyampaikan ceramah. Ini bermakna saya sudah lama kenalinya tetapi hubungan itu tidak berterusan.

Pak Habib sering saya temui. Begitu juga Sayuti yang sering saya hubungi. Yahya Ismail juga sudah lama saya tidak temui. Ketika saya bekerja di Sabah pada tahun 1990, sayalah yang jadi tourist guide kepada beliau yang mahu melihat liku-liku Kota Kinabalu di waktu malam. Saya teringat kepada seorang ADUN dari Johor (sekarang sudah bersara dari politik) bila datang ke Sabah cari saya kerana dia mahu kelainan di Kota Kinabalu.

Salahuddin Hisham atau Mao adalah junior saya di MRSM Seremban. Beliau adalah blogger yang saya temui di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini di majlis berbuka puasa Mukriz Mahathir. Sudah 30 tahun kami tidak bertemu tetapi beliau masih ingati nama saya. Rakan-rakan di MRSM tentu masih ingat saya kerana pada majlis suaikenal saya membaca sajak Tahi Ayam yang menyebabkan semua rakan-rakan ketawa mendengar sajak lucu itu.

Mao kebetulan melayari internet dan terjumpa blog saya. Terus dia call saya dan minta saya link dengan blognya dan dia turut link blog saya dengan blognya. Sejak itu blog saya semakin ramai pengunjung. Juga terima kasih kepada Pak Habib dan Sayuti yang sudi link dengan blog saya. Ada orang kata dia tak ingin baca blog saya tetapi tiap-tiap hari dia buka blog saya kerana dari segi ulasan, saya kenal siapa yang menggunakan nama samaran tanpanama itu.

Sesungguhnya pertemuan semalam adalah pertemuan pertama. Pada Ahad ini, 26 Oktober, Pak Habib menjemput semua penulis dan blogger berhimpun di rumahnya pula di Janda Baik. Pada masa yang sama, Yassin Salleh meminta supaya semua blogger mengadakan iklan Bebaskan Raja Petra dari ISA sebagai tanda simpati blogger kepada beliau walaupun bukan semua bersetuju dengan tindak-tanduk beliau. Datuk Ron yang mahu bertanding majlis tertinggi UMNO berharap penawaran dirinya diterima baik oleh perwakilan UMNO supaya suara penulis didengar di dalam majlis tertinggi UMNO.

Oleh kerana saya tiada kamera, saya ucapkan terima kasih kepada Sayuti yang sudi membenarkan saya ambil foto ini dari blognya. Saya berharap pertemuan seperti ini dapat diadakan dari masa ke semasa.