Rabu, Oktober 22, 2008

KITA TUNGGU 30 OKTOBER


Kalaulah benar seperti kata Timbalan Presiden UMNO, Najib Razak bahawa mesyuarat majlis tertinggi UMNO pada 30 Oktober ini akan menentukan sama ada majlis tertinggi setuju atau tidak supaya perhimpunan agung UMNO dipercepatkan, baguslah. Saya sudah tulis pada hari Sabtu lalu supaya cepatkan pemilihan UMNO tetapi kekalkan peralihan kuasa pada Mac 2009.

Biarlah Najib menjadi Presiden UMNO pada Disember ini dan tiga bulan kemudian Najib naik jadi Perdana Menteri.

Biarlah tarikh perhimpunan agung UMNO dikekalkan pada 17 Disember 2008 supaya calon-calon yang bertanding tidak terlalu lama berkempen. Bila terlalu lama ini menyebabkan wang calon semakin banyak yang keluar. Semua calon lebih suka tarikh dipercepatkan supaya tidak banyak wang mereka habis.

Politik wang sudah jadi satu budaya dalam UMNO. Hulur salah, tak hulur kalah. Oleh itu ahli-ahli UMNO pedulikanlah sindiran Dr. Rais Yatim supaya UMNO membuka bidaan tertinggi. Siapa dapat hulur wang yang tinggi, dialah yang layak jadi pemimpin UMNO, kata Dr. Rais.

Sindiran itu menghina ahli-ahli UMNO sendiri. Malah Dr Rais memuji bagaimana MCA dan Gerakan menghapuskan politik wang dengan menghapuskan kuota pencalonan. Memang benarpara perwakilan cawangan dan bahagian minta wang pada calon kerana calon jarang turun ke bawah. Tiga tahun sekali mereka turun ke cawangan atau bahagian. Jadi wang yang diminta adalah sebagai ganti rugi mereka tidak turun ke cawangan atau bahagian.

Sebelum menang mereka datang ke cawangan berkempen. Bila menang, mereka tak nampak batang hidung. Kalau seorang perwakilan bahagian diberi RM300 ini bermakna nilainya baru RM100 setahun kerana tiga tahun lagi calon itu baru akan turun ke cawangan. Jadi jangan salahkan mereka kalau mereka minta wang dengan calon.

Politik wang agak ketara sewaktu Ku Li menentang Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981. Ini bermakna sudah 27 tahun ia berleluasa dalam UMNO. Sudah jadi barah.

Ahli jawatan kuasa UMNO Bahagian Selayang, Mohd. Noh Rajihi mendedahkan Shukor, ketua pemuda negeri yang dikatakan orang Dr. Khir Toyo menghabiskan RM5 juta untuk mengalahkan penyandang ketua bahagian Selayang, Ahmad Bahari.

Perwakilan yang mewah. Nak dapatkan pencalonan, kena hulur. Nak dapat undi kena hulur lagi. Perwakilan pula kadar wang yang diberi tak sama. Ada yang dapat RM300. Ada yang dapat RM500. Ada pula ketua cawangan yang dapat RM1,000.

Oleh itu jika perhimpunan agung UMNO dipercepatkan semua ahli majlis teringgi UMNO rasa lega kerana masa tinggal dua bulan lagi. Masa lima bulan dari sekarang amat memenatkan. Biarlah Pak Lah serah jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada bulan Mac 2009 tetapi perhimpunan agung UMNO dikekalkan pada Disember ini.