Rabu, Oktober 22, 2008

UMNO TIDAK PANDANG MERITOKRASI


Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin mahu ahli UMNO mengamalkan konsep meritokrasi bagi memastikan hanya pemimpin berkebolehan dipilih dan menolak mereka yang mengamalkan politik wang pada pemilihan parti itu Mac depan.

Muhyiddin yang sudah jauh meninggalkan dua lawannya, Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib bolehlah cakap banyak kerana dia sudah dapat 45 pencalonan sedangkan Ali baru dapat 13 pencalonan dan Muhammad dapat sembilan pencalonan.

Kenapa sekarang Muhyiddin mahu ahli UMNO amalkan metritokrasi? Kenapa tak laungkan isu ini pada bulan lepas? Adakah kerana beliau sudah selamat? Muhyiddin seterusnya berkata kita mesti wujudkan meritokrasi dalam politik. Kita tidak boleh pilih pemimpin itu kerana kita kenal dia dan dia ada wang tetapi kena pilih berdasarkan kebolehan, kredibiliti dan pengalamannya.

Dr Mahathir pernah berkata beliau lebih suka bekerja dengan syaitan yang beliau kenal daripada bekerja dengan malaikat yang beliau tidak kenal. Oleh itu kenyataan Muhyiddin bahawa kita tidak boleh pemimpin kerana kita kenal tidak boleh diterima. Kalau tak kenal tapi ada kebolehan, macam mana mahu pilih mereka sebagai pemimpin. Sudah tentu kita pilih mereka yang kita kenal dahulu dan yang ada wang sekurang-kurangnya yang pernah bantu kita dalam bentuk kewangan sewaktu kita susah.

Menyentuh tentang kebolehan, kredibiliti dan pengalaman, adakah Ali atau Muhammad tiada kebolehan? Adakah Ali atau Muhammad tiada kredibiliti?Adakah Ali atau Muhammad tiada pengalaman? Kenapa lebih banyak perwakilan bahagian memilih Muhyiddin daripada Ali atau Muhammad? Adakah kerana Muhyiddin lebih berkebolehan dari mereka berdua? Adakah Muhyiddin lebih berkredibiliti daripada mereka? Atau adakah Muhyiddin lebih berpengalaman daripada mereka? Benarkah Muhyiddin tak main politik wang? Takkan gurkha-gurkha beliau berkempen tanpa menggunakan wang menemui ketua bahagian? Mustahil mereka berkempen dengan air liur kerana pengalaman Dr. Rais Yatim menunjukkan ketua bahagian minta wang untuk dapatkan pencalonan.

Pada tahun 1993, sewaktu pasukan wawasan yang diketuai Anwar Ibrahim mencabar Ghafar Baba, tiga orang calon Naib Presiden dari pasukan wawasan iaitu Najib, Muhyiddin dan Muhammad dikatakan mempunyai wang yang banyak sehingga Pak Lah dan Sanusi tersungkur dari kerusi tersebut.Oleh itu Muhyiddin ada rekod main politik wang. Mungkin beliau sudah bertaubat sekarang.

Sewaktu menggulung perbahasan, Sanusi memberi maksud wang RM1, RM5, RM10, RM50, RM100, RM500 dan RM1,000 di mana gambar parlimen ada di belakang wang kertas RM1,000 yang bermakna nilai orang politik ialah RM1,000 sebagai menyindir pasukan wawasan yang mengamalkan politik wang.

Pada tahun 1996, Dr. Mahathir menangis ketika menyampaikan ucapan dasart Presiden kerana politik wang. Muhyiddin kalah kerana kononnya Dr Mahathir menghentam beliau yang mengamalkan politik wang. Maka menanglah Pak Lah semula sebagai Naib Presiden UMNO. Najib dan Muhammad kekal sebagai naib presiden.

Kalau bercakap tentang meritokrasi, Ku Li lebih baik dari Najib tetapi perwakilan pilih Najib kerana beliau adalah Timbalab Perdana Menteri sedangkan Ku Li tiada jawatan dalam kerajaan. Bahagian kini mencalonkan Muhyiddin kerana beliau adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana tidak perlu ada pilihan raya kecil kalau Ali atau Muhammad menang. Jika Ali menang beliau kena bertanding kerusi parlimen. Jika Muhammad menang, beliau juga kena tanding kerusi parlimen untuk dilantik Timbalan Perdana Menteri. Oleh itu bahagian merasakan lebih baik calonkan Muhyiddin kerana BN tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil. Bayangkan kalau Muhyiddin ahli parlimen Pagoh sahaja, mampukah beliau dapat pencalonan sebanyak ini? (45 pencalonan sehingga semalam).