Selasa, Oktober 21, 2008

ALI LAMBANG KEGIGIHAN ANAK MELAYU


Bertemu dengan Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam di Pan Pacific KLIA minggu lepas sekembalinya dari mesyuarat Majlis Raja-Raja di Kuala Terengganu, mendorong saya menulis rencana ini. Beliau pernah saya tonjolkan sebagai calon Naib Presiden pada pemilihan UMNO pada tahun 2004 dalam buku saya ANTARA NAJIB, MUHAMMAD DAN MUHYIDDIN: PAK LAH PILIH SIAPA?, yang mana saya tulis biasanya ahli majlis tertinggi UMNO nombor 1 menang mudah bila bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Buku itu saya tulis pada tahun 2003 satu tahun sebelum pemilihan UMNO 2004.

Beliau yang menang majlis tertinggi nombor 1 pada tahun 2000 menang pada tahun 2004 sebagai Naib Presiden UMNO. Maknanya ramalan saya tepat. Ali adalah seorang menteri yang suka jawab sms tetapi kelemahannya, dia jarang ingat nama orang.

Sudah banyak kali saya bertemu dengannya dengan kawan saya, Haji Khalid Karim dari Kijal, Kemaman tetapi dia tak pernah ingat nama saya. Haji Khalid pernah sama-sama dihantar oleh kerajaan Malaysia ke Canada dalam majlis pertukaran belia pada tahun 70an di mana Haji Khalid pergi bersama Ali, Muhyiddin Yassin (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Tan Aminuddin (Exco Pahang).
Ali masa itu masih bekerja dengan LLN, Muhyiddin masih bekerja sebagai penolong pegawai daerah dan Tan bekerja sebagai pegawai pertanian. Kebetulan ketiga-tiga pemimpin belia ini berjaya dalam politik negara.

Ali sebagai bekas presiden Belia 4B dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) mudah mendapat pencalonan Naib Presiden tetapi bagi jawatan Timbalan Presiden nampaknya dia baru dapat 13 pencalonan. Dapatkah Ali mendapat kuota (39 pencalonan) dalam tempoh dua minggu ini?

“Saya yakin saya dapat,” kata beliau. Beliau akan menjadi pencabar Muhyiddin jika dapat kuota yang cukup. Berbanding dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Ali lebih bersih kerana tidak ada skandal peribadi. Oleh itu Ali mampu menjadi saingan kepada Muhyiddin.

Najib sudah tentu lebih suka timbalan yang tidak ada karenah seperti Ali kerana Muhyiddin suka mengkritik pucuk pimpinan. Kalau Muhyiddin boleh menegur Pak Lah, masakan Muhyiddin tidak berani menegur Najib. Dalam jangka masa panjang, sudah tentu sikap Muhyiddin ini tidak disukai Najib. Orang seperti Najib lebih sukakan Ali yang lebih suka bekerja dan kurang bercakap.

Kebetulan pula Ali pernah jadi setiausaha kepada Najib ketika beliau jadi pengerusi biro ekonomi pemuda UMNO Malaysia. Oleh itu Najib pernah berganding dengan Ali. Jadi apa salahnya Najib berganding dengan Ali memimpin negara.

Track record Ali tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau pernah jadi Exco Melaka selama dua penggal di zaman Rahim Thamby Chik dan arwah Zain Ghani. Selepas itu ditarik ke pusat sebagai timbalan menteri pengangkutan sebelum dipindahkan ke kementerian kesihatan. Kembali semula ke Melaka pada tahun 1999 dan kini beliau sudah menerajui Melaka bagi penggal ketiga.

Ali sudah berjaya membawa pelaburan yang besar ke Melaka RM1 bilion lebih. Maknanya kehebatan Ali mengatasi kehebatan Rahim menerajui Melaka. Kelebihan Ali daripada Rahim, Ali sudah menang jadi Naib Presiden UMNO sedangkan Rahim tak pernah menang bertanding Naib Presiden walaupun Rahim pernah menang Ketua Pemuda UMNO sekejap sebelum dijatuhkan oleh Anwar Ibrahim melalui skandal seksnya.

Obama telah berjaya menjadi Gabenor di sebuah negeri di Amerika Syarikat sebelum bertanding jawatan Presiden Amerika Syarikat. Jadi apa salahnya Ali yang sudah berjaya membangunkan Melaka menjadi Timbalan Presiden UMNO pula dan Timbalan Perdana Menteri.

Ada yang menuduh kononnya Ali tidak pandai berbahasa Inggeris. Jika beliau tidak pandai masakan beliau dilantik Presiden World Associations of Youth (Persatuan Belia Sedunia) dan sebagai ketua menteri beliau banyak kali mengetuai delegasi Melaka ke luar negara.

Mampukah Ali mendapat kuota pencalonan yang cukup? Insya-Allah kerana masa masih panjang untuk dapatkan pencalonan dari 125 bahagian. Takdirnya Ali dapat pencalonan yang cukup, Muhyiddin sudah tentu tidak duduk diam kerana ahli-ahli UMNO pasti mahukan timbalan presiden yang tidak menyusahkan Presiden UMNO.

Sebagai anak yatim, Ali terpaksa membatalkan hasratnya untuk belajar di ITM dalam bidang kejuruteraan elektronik kerana dia terpaksa memilih sama ada sambung belajar atau kekal bekerja dengan LLN kerana LLN tidak memberi cuti bergaji.

Namun demikian berkat kegigihannya beliau ambil STP dan sambung belajar secara luar kampus di USM Pulau Pinang dan akhirnya berjaya mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang sains sosial. Di antara rakan sekampusnya ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Perlis, Datuk Isa Sabu.

Ali adalah lambang kegigihan anak Melayu yang bekerja sambil belajar. Ada yang setengahnya sudah bekerja tetapi sudah malas belajar. Tetapi Ali tidak jemu-jemu menimba ilmu walaupun sudah bekerja. Ali meniti kejayaan demi kejayaan dari satu anak tangga ke satu anak tangga dalam politik yang bermula sebagai Setiausaha Khas Ketua Menteri Melaka, Exco Kerajaan Melaka, Timbalan Menteri Pengangkutan, Timbalan Menteri Kesihatan dan akhirnya Ketua Menteri Melaka.

Dapatkah anak Bukit Katil ini mengikut jejak langkah anak Melaka terdahulu, Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO? Jawapannya terletak di tangan 125 UMNO Bahagian yang belum bersidang lagi.