Selasa, Oktober 21, 2008

PELIKNYA DR. RAIS


Pelik juga bila Menteri Luar, Dr. Rais Yatim tidak pertahan Pak Lah yang mengkritik bekas Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad. Sebagai menteri yang dilantik Pak Lah dan sebagai ahli majlis tertinggi UMNO yang dilantik Pak Lah, sepatutnya beliau menyokong Pak Lah dalam soal ini.

Pak Lah ada juga benarnya kerana Dr. Mahathir bukan lagi ahli UMNO, kenapa dia perlu atur siapa yang jadi presiden, timbalan dan naib presiden UMNO. Dr. Mahathir pun sebut nama Dr. Rais tetapi perwakilan nampaknya tidak minat dengan bekas timbalan Ku Li ketika mereka dalam Semangat 46 dahulu.

Dr. Rais kata Dr. Mahathir ada locus standi untuk buat kenyataan tentang UMNO kerana 22 tahun beliau menerajui UMNO. Kita tidak persoal hak Dr. Mahathir, tetapi yang dipersoal kenapa beliau beriya benar menentukan siapa yang layak duduk di kerusi ini dan di kerusi itu.

Sekarang ini semua berkiblatkan Najib. Itulah budaya politik UMNO. Pokok belum tumbang, kera sudah melompat ke pokok lain. Pak Lah ada masa lima bulan lagi. Kuasa melantik menteri adalah kuasa penuh Pak Lah. Pak Lah berhak pecat dua menteri yang tidak menyokongnya seperti Muhyiddin dan Dr. Rais.

Kalau Muhyiddin dipecat dari jawatannya, mampukah beliau dapat pencalonan yang tinggi kerana sudah jadi budaya UMNO memilih pemimpin kerana ada jawatan dalam kerajaan. Pak Lah boleh buat begitu tetapi Pak Lah bukannya manusia yang kejam.

Dr. Rais sejak kembali ke dalam UMNO amat terhutang budi kepada Dr. Mahathir yang melantiknya semula sebagai menteri. Isterinya, Masnah Rais dikatakan main peranan supaya Dr. Rais kembali dalam UMNO kerana Masnah mempunyai hubungan yang baik dengan Dr. Siti Hasmah, isteri Dr. Mahathir. Walaupun Dr. Rais sudah membakar jambatan, tetapi Dr. Mahathir yang pemaaf menerimanya kembali dalam kabinet.

Pak Lah melanjutkan perkhidmatan Dr. Rais dalam kabinetnya setelah menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Pak Lah pernah cadangkan nama Dr. Rais sebagai Setiausaha Agung Komanwel tetapi Dr. Rais menolaknya. Sebaliknya Dr. Rais dikekalkan dalam kabinet Pak Lah selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu walaupun beliau tidak patuh kepada arahan Pak Lah supaya menjadi Setiausaha Agung Komanwel.

Ke mana Dr. Rais selepas ini? Apakah beliau akan kekal dalam kabinet Najib? Beliau paling lama jadi ahli parlimen sejak tahun 1974. Dilantik oleh Tun Razak dalam kabinetnya sebagai setiausaha parlimen sebelum dibawa balik ke Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar pada tahun 1978 oleh Hussein Onn. Jika Najib mengekalkan Dr. Rais, beliaulah satu-satunya anak yatim yang dapat berkhidmat dengan ayah dan anak (Tun Razak dan Najib).