Selasa, Jun 28, 2016

IMAGINASI MUKHRIZ SPEKULASI JAHAT

KUALA TERENGGANU, 27 Jun (Bernama) -- UMNO Terengganu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kononnya ada perjanjian Terengganu akan diserahkan kepada PAS pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata semua itu hanyalah andaian dan imaginasi Mukhriz yang merupakan spekulasi jahat yang tidak bersandarkan kebenaran sebaliknya bertujuan menimbulkan keresahan dalam parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, kini anggota UMNO sudah cukup matang dan spekulasi liar itu tidak mampu menggugat perpaduan dalam parti sebagaimana telah dibuktikan apabila Majlis Tertinggi membuat keputusan sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz.

"UMNO Terengganu yakin parti ini bukan sahaja akan kekal sebagai kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 nanti tetapi bakal memperoleh undi majoriti lebih besar hasil gerak kerja yang telahpun digerakkan.

"Sehubungan itu saya meminta Mukhriz dan semua pihak agar tidak sesekali menjadikan Terengganu sebagai modal politik untuk kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Semalam dalam satu majlis di ibu negara, Muhkriz mendakwa beliau mengesyaki terdapat perjanjian UMNO-PAS membabitkan 'pertukaran' yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak mempunyai 'locus standi' atau kedudukan untuk mengulas mengenai hubungan antara UMNO dan PAS, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Mukhriz tidak berhak memberi komen atas perkara itu kerana beliau tidak
menganggotai mana-mana parti ketika ini.

"Mukhriz tak ada 'locus standi' untuk beri apa-apa komen mengenai hubungan UMNO dan PAS dan pandangan beliau tidak memberi apa-apa impak.

"Yang pastinya antara UMNO dan PAS, kedua-duanya mempunyai pucuk pimpinan yang sudah tentu ada kebertanggungjawaban kepada parti masing-masing, dan itu terpulanglah kepada parti masing-masing untuk menentukan hala tuju (mereka)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota tentera dan anggota Badan Amal Kebajikan Angkatan Tentera di Kem Desa Pahlawan Kok Lanas di sini hari ini.