Memaparkan catatan dengan label sultan mizan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sultan mizan. Papar semua catatan

Isnin, Februari 12, 2018

JADIKAN TANAH BENCAH SETIU TARIKAN PELANCONG

SETIU, 12 Feb (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kawasan Tanah Bencah Setiu menjadi satu lagi tarikan pelancong di negeri itu selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini.

Baginda bertitah, selain keindahan pantai dan pulau, seni, budaya dan warisan, keunikan Tanah Bencah Setiu ini juga berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada global.

"Bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia yang disambut pada setiap 2 Feb di seluruh dunia, beta berharap negeri Terengganu khususnya tidak ketinggalan meraikannya bersama-sama dengan masyarakat dunia dalam mencari kaedah bukan sahaja melestarikan khazanah alam pemberian Ilahi ini, malah memikirkan kaedah yang efektif dan proaktif dalam memberi manfaat semaksima mungkin kepada komuniti setempat.

"Di sini, beta percaya, komuniti setempat boleh mengambil peluang menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu di samping aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna lain kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana alam semula jadi tanah bencah.

"Beta percaya kawasan tanah bencah ini mempunyai kekayaan sumber alam semula jadi yang dapat menjana pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat. Pelbagai aktiviti boleh dikomersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri kecil pembuatan makanan, penternakan tiram dan ketam, selain sebagai tapak pembenihan akuakultur," titah baginda.

Selasa, Ogos 22, 2017

KEHEBATAN SULTAN MIZAN DEMI NEGARA

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos (Bernama) -- Senyuman Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi tindakan spontan tuanku mengucap terima kasih sambil menggosok bahu penjaga kuda, antara petanda awal baginda gembira dengan keupayaannya semalam.

Tindakan baginda sejurus tamat perlumbaan itu bukan sahaja menceriakan penjaga kuda tersebut malah ia turut memberi harapan kepada penulis memohon perkenan menemu bual baginda sempena penyertaan Sultan Mizan dalam acara kuda lasak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Hasrat penulis disampaikan kepada pengurus pasukan Malaysia Che Mat Din Ismail sejurus selepas menerima rekod kesihatan kuda dan dari jauh penulis dapat mendengar Che Mat Din menyebut Zalina daripada Bernama'.

Apabila mata baginda memerhati tepat ke arah penulis, ketika itu jugalah baginda menyebut :mahu mandi dan tukar pakaian sekejap."




Dalam tempoh beberapa minit, pelbagai persoalan bermain di fikiran penulis dan debaran semakin memuncak, memikirkan protokol istana yang perlu dipatuhi namun Che Mat Din menyatakan, "Bertenang, nanti awak akan tahu bagaimana Sultan apabila berdepan dengan rakyat."

Kira-kira 9 pagi, penulis dipanggil pegawai istana ke ruang santai di bahagian luar chalet yang dikhaskan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu, tempat berlangsungnya acara kuda lasak KL2017.

Perkataan pertama penulis tentunya "Ampun Tuanku, patik Zalina daripada Bernama memohon Tuanku berkenan untuk ditemu ramah sempena kejohanan ini", lantas Sultan Mizan tersenyum dan menjawap "InsyaAllah, boleh, duduklah" sambil baginda menunjukkan arah kerusi untuk penulis.




Beberapa soalan telah ditanya dan baginda kerap mengucapkan rasa syukur, mungkin ramai tidak tahu bahawa pada ketika temu bual dilakukan baginda tidak menganggap baginda adalah pemegang pingat emas kerana ketika itu tiada catatan masa secara rasmi memandangkan masih banyak yang boleh dipertikaikan termasuk kesihatan kuda.

Titah baginda lebih terarah kepada minat baginda terhadap sukan berkuda, rasa syukur kerana pasukan Malaysia selamat serta rasa bangga kerana mewakili negara dan TIEP dipilih sebagai lokasi acara kuda lasak Sukan SEA.

Sebenarnya, kebanyakan soalan yang penulis ajukan selepas melihat kemesraan baginda yang membahasakan diri sebagai "saya" menepati ketinggian peribadi dan kerendahan diri baginda.

Ketika itulah penulis mula faham maksud pengurus pasukan sebelum menghadap Tuanku dan lebih menggembirakan penulis ialah sokongan daripada Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang memerhati dari jauh sambil tersenyum ke arah kami.

Sebenarnya penulis tidak memperoleh peluang menghadap Sultan Mizan, tetapi berusaha mengikuti perkembangan baginda sejak beberapa hari sebelum bermula temasya dwitahunan itu dengan mengunjungi TIEP malah pernah memohon kepada pihak istana, namun tidak berjaya.

Tekad penulis memuncak semalam dan berharap jika gagal menemu bual, dapat melihat Tuanku berlumba pun cukuplah dan disebabkan itu penulis tiba seawal 2 pagi di lokasi permulaan pertandingan untuk melihat secara dekat Sultan Mizan bersama-sama lima atlet Malaysia melakukan latihan pemanas badan sebelum memulakan perlumbaan sejauh 80 kilometer pada 3 pagi.

Terima kasih atas kerjasama TIEP yang menyediakan pengangkutan untuk ke beberapa lokasi iaitu di 'water point' yang membenarkan penunggang berhenti bagi memberi rehat kepada kuda serta menyejukkan badan.

Penulis sempat melihat secara dekat Sultan Mizan bersama kudanya, RTES Annaversary dan melihat kesungguhan baginda serta semangat baginda memastikan semua rakan sepasukan selamat sambil memujuk kuda baginda agar bertenang.

Penulis juga melihat ketangkasan baginda menunggang kuda kerana kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama empat individu yang lain, melalui laluan pintas ke 'water point' seterusnya dengan kelajuan 120 kilometer sejam.

Namun kami terkejut apabila Sultan Mizan bersama pasukannya telah menghampiri lokasi tersebut dengan hanya mengambil masa 20 minit sahaja, yang kebiasaannya memakan masa lebih sejam.

Penulis juga tidak melepaskan peluang memberi semangat kepada Tuanku yang memakai jersi bernombor 111 dengan beberapa kali menjerit, 'Go Tuanku, Go Tuanku,' sambil melihat baginda tersenyum.

Sebelum mengakhiri bicara, penulis sempat menyatakan 'Daulat Tuanku, patik adalah rakyat Terengganu', sekali lagi diiringi senyuman baginda yang sudah pastinya meninggalkan kenangan indah bagi penulis dapat menemu bual baginda dalam tempoh setengah jam.

Semalam, Sultan Mizan meraih emas dalam acara sukan kuda lasak kategori individu apabila tiba di garisan penamat pada 8.18 pagi dengan catatan masa tiga jam 48 minit 38 saat , meleburkan rekod atlet Malaysia iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Mohd Sulaiman Muda yang mencatatkan enam jam 26 minit.

-- BERNAMA