Khamis, Oktober 16, 2008

MISI MAHATHIR JATUHKAN PAK LAH SUDAH BERJAYA


Bukan salah Tun Dr Mahathir Mohamad kalau di saat ini beliau menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Presiden UMNO. Musuh utama beliau ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Misinya untuk menjatuhkan Pak Lah sudah berjaya.

Jadi bila Pak Lah tak bertanding, perlu apa lagi beliau sokong Tengku Razaleigh Hamzah. Ada blogger yang meramalkan Dr Mahathir tidak ikhlas menyokong Ku Li bila mereka bertemu pada bulan Ramadhan lalu. Turut hadir dalam majlis buka puasa itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memanglah di saat itu Dr Mahathir masih menyangka Pak Lah akan mempertahankan jawatan. Jika Pak Lah bersetuju untuk mempertahankan kerusi Presiden UMNO, sudah tentu Dr Mahathir menyokong Ku Li kerana beliau kata Najib penakut. Menurut Dr Mahathir, Najib takut menentang Pak Lah.

Saya sudah beritahu Ku Li dalam sidang akhbar di rumahnya bahawa jika Pak Lah berundur dan Najib bertanding, Ku Li sukar mendapat pencalonan. Nampaknya ramalan saya itu sudah jadi kenyataan.

Jadi bukan salah Dr. Mahathir, kalau dia sokong Najib di saat ini walaupun dari segi peribadi Najib, UMNO mudah diserang. Dah lama Dr Mahathir mahukan Najib. Pada tahun 1999, dia hampir melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya tetapi ketika itu Dr Mahathir merasakan Najib masih muda. Jadi beliau pilih Pak Lah kerana beliau dapati Pak Lah seorang yang bersih.

Sebaliknya bila Pak Lah naik jadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, Dr Mahathir sebanyak dua kali mencadangkan supaya Pak Lah melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu Pak Lah membisu dan ada orang meramalkan bahawa Pak Lah lebih suka Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Akhirnya Pak Lah tunduk kepada permintaan Dr Mahathir supaya melantik Najib sebagai orang nombor dua.

Dr Mahathir memang sudah lama tidak berkenan kepada Ku Li. Sejak 21 tahun dulu lagi. Ku Li hampir-hampir menewaskan Dr Mahathir dalam pertandingan Presiden UMNO pada 24 April 1987.

Bila UMNO baru ditubuhkan pada tahun 1988, Dr Mahathir menyekat Ku Li dan Tun Musa Hitam dari menyertai UMNO baru. Ku Li memilih parti baru, Semangat 46 dan Musa kekal dalam UMNO. Setelah kalah dua kali pilihan raya (1990 dan 1995), Ku Li membubarkan Semangat 46 dan menyertai semula UMNO.

Dr Mahathir melantiknya sebagai ahli majlis tertinggi UMNO. Apabila Anwar dipecat dari UMNO, walaupun Ku Li bukan Naib Presiden UMNO, Ku Li disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sedangkan tiga orang Naib Presiden UMNO ketika itu ialah Pak Lah, Najib dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Jika Dr Mahathir ikhlas, Dr Mahathir boleh melantik Ku Li sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak semestinya Naib Presiden UMNO yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kalau tidak silap saya, Tun Razak melantik Tun Dr Ismail yang sudah bersara dari politik sebagai timbalannya sedangkan beliau bukan Naib Presiden UMNO. Masa itu Tun Ghafar Baba dan Tun Sardon Jubir adalah Naib Presiden UMNO. Tetapi Tun Razak gunakan kuasa prerogatifnya sebagai Perdana Menteri untuk melantik Tun Dr Ismail sebagai timbalannya.

Oleh itu pada tahun 1999, Dr Mahathir boleh mengenepikan Pak Lah, Najib dan Muhammad dengan melantik Ku Li sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tetapi beliau tidak berkenan kepada Ku Li.

Jika beliau berkenan kepada Ku Li, beliau sudah sokong Ku Li tanding Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981. Sedangkan ketika itu Tun Hussein Onn sudah memanggil Dr. Mahathir dan Ku Li supaya mereka bekerjasama. Sebaliknya Dr Mahathir menyokong Musa untuk pertandingan Timbalan Presiden UMNO itu.

Oleh itu tindakan Dr Mahathir menyokong Najib tidak perlu dipersoal. Kerana dari tahun 1981 lagi, Dr Mahathir tidak berkenan kepada Ku Li. Biarlah Ku Li membina kekuatan sendiri untuk mendapatkan pencalonan Presiden UMNO tanpa sokongan Dr. Mahathir. Yang menjadi masalah sekarang, ramai Ketua UMNO Bahagian yang menyokong Ku Li sudah bersara dari politik. Apatah lagi Ku Li bukan menteri yang dapat beri habuan kepada para perwakilan. Jadi sudah tentu mereka menyokong Najib daripada menyokong Ku Li untuk jawatan Presiden UMNO.