Memaparkan catatan dengan label hisham. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hisham. Papar semua catatan

Selasa, September 13, 2011

HISHAM LAYAK TANDING DI DUN CHUKAI


Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki, menganggap keperluan calon muda untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang wajar diberi perhatian.

Menurutnya, calon muda dapat membentuk kepimpinan baru yang mampu memberi perubahan lebih positif kepada parti tanpa meninggalkan yang lama.

Beliau berkata, ia juga selaras dengan hasrat pucuk pimpinan yang mahukan transformasi dibuat dari sudut kepimpinan parti dan percaya calon muda mampu menggarap transformasi tersebut.

“Hari ini, pucuk pimpinan mengatakan perlunya transformasi dibuat dari sudut kepimpinan parti dan di sinilah perlunya calon atau kepimpinan baru yang akan menggarap transformasi dan lebih ramai calon baru diketengahkan supaya ada kesinambungan dari sudut kepimpinan,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.

Beliau bagaimanapun tidak mencadangkan supaya kesemua calon bertanding di negeri ini dari kalangan orang muda tetapi berharap ‘acuan’ muda dan baru boleh memberi kekuatan kepada parti.

Sementara itu, ditanya jika namanya tidak dicadangkan sebagai calon oleh peringkat pimpinan Pemuda Umno negeri, beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menganggap semua pihak perlu berfikir secara terbuka.

Menurutnya, sekalipun ‘anak buah’ yang terpilih sebagai calon kelak, namun pimpinan di peringkat bahagian tidak patut menafikan kelayakannya jika individu tersebut mampu memberi kemenangan kepada parti.

“Sekarang kita dalam keadaan memerlukan kemenangan, bak kata Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, (Umno) dalam keadaan hidup dan mati,” katanya.

Saya bersetuju sangat denmgan pandangan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu ini bahawa golongan muda perlu diberi peluang untuk bertanding.

Di Kemaman, Ketua Pemuda Bahagian, Hisham Zubir wajar diberi peluang bertanding di DUN Chukai menggantikan Datuk Mohamed Awang Tera yang disebut-sebut akan bersara dari politik.

Nama Hisham disebut-sebut sebagai calon BN selain dari ADUN Air Putih, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Setiausaha UMNO bahagian, Rosli Ahmad dan AJK Bahagian, Shahul Hamid atau Mat Bawal, seorang peguam terkenal di daerah ini.

Hisham sudah dua penggal berada dalam pemuda. Pada tahun 2001, beliau memenangi kerusi AJK pemuda dan pada tahun 2004, beliau dilantik ketua pemuda, Wan Ahmad Nizam yang juga ADUN Air Putih ketika itu sebagai setiausaha bahagian.

Pada tahun 2008, beliau mengalahkan Kamaruddin Ali bagi jawatan ketua pemuda. Sebagai graduan lulusan kajian perniagaan dan kewangan dari Amerika Syarikat, beliau layak ditonjolkan bertanding di DUN Chukai.

Jumaat, Oktober 17, 2008

BERITA TERKINI

Calon favourite Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Hisham Zubir telah menang dalam pertandingan dua penjuru mengalahkan Kamaruddin Ali dengan majoriti 40 undi. Beliau memungut 145 undi manakala Kamaruddin Ali mendapat 105 undi.

Sementara itu Tarmizi Johar menang naib ketua pemuda mengalahkan Halizi Datuk Abu Bakar dengan majoriti 46 undi. Tarmizi mendapat 145 undi manakala Halizi memungut 99 undi.
Ini bermakna kedua-dua calon pemuda yang disokong oleh bekas ketua pemuda, Wan Ahmad Nizam telah menang dalam pertandingan hari ini.

Khamis, Oktober 16, 2008

SIAPA PILIHAN PEMUDA KEMAMAN ESOK?


Malam ini malam terakhir dua orang calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman berkempen. Mereka ialah penolong setiausaha pemuda, Hisham Zubir dengan bekas naib ketua pemuda bahagian, Kamaruddin Ali.

Di atas kertas, Hisham yang dapat banyak pencalonan telah menang kerana dia mengatasi Kamaruddin tetapi pada hari esok, belum tentu Hisham yang menang kerana para perwakilan akan melihat siapa yang hulur lebih pada malam terakhir ini.

Malam tadi, kawan saya, Haji Khalid Karim sms dari Kedai Kopi Hai Peng bahawa ramainya para perwakilan pemuda di situ. Katanya, calon ketua pemuda, Kamaruddin ada di situ. Dia baru pulang dari Kuala Lumpur menemui seorang calon ketua pemuda umno malaysia. Pulang bukan dengan tangan kosong. Jadi malam ini siapa yang hulur lebih, dialah yang akan menang pada hari esok.

Kamaruddin seperti juga Hisham adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman. Pada tahun 2000, Kamaruddin adalah naib ketua pemuda. Pada tahun 2004, beliau tidak dapat bertanding naib ketua pemuda apabila dia tidak cukup kuota pencalonan. Ini menyebabkan penolong setiausaha pemuda, Rosli Ahmad menang tanpa bertanding sebagai naib ketua pemuda.

Pada tahun ini, Rosli tidak bertanding ketua pemuda walaupun usianya belum mencapai 40 tahun. Khabarnya beliau dijanjikan oleh ketua bahagian, Datuk Ahmad Said dengan jawatan setiausaha bahagian. Sebab itu Rosli pasang Hisham untuk melawan Kamaruddin walaupun Kamaruddin jaja nama Menteri Besar kononnya dia direstui oleh Menteri Besar. Tambahan pula Kamaruddin adalah wakil calon Menteri Besar pada pilihan raya umum pada Mac lalu.

Kelebihan Hisham, dia adalah anak Kemaman manakala Kamaruddin dilahirkan di Jerung, Marang. Tetapi kemenangan Hisham dibimbangi ADUN Chukai sekarang, Datuk Mohamed Awang Tera. Sebagai ketua pemuda, sudah tentu Hisham mahu tanding pada pilihan raya umum 2012 walaupun tidak semestinya ketua pemuda yang jadi calon. Bukan semua ketua pemuda bahagian jadi calon. Nazri Salleh menang ketua pemuda bahagian tetapi tidak pernah jadi calon. Jadi kemenangan Hisham sedikit sebanyak boleh menggugat kedudukan Datuk Mohamed Awang Tera.

Hisham disokong penuh oleh Ketua Pemuda yang sudah cukup umur, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar. Datuk Ahmad Said hanya membisu apabila ditanya siapa yang disokong di antara Hisham dengan Kamaruddin. Sebagai ketua bahagian, beliau mengambil sikap yang bijak tidak berpihak kepada sesiapa. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat penentuan.

Siapa yang menang ketua pemuda esok akan mempengaruhi keputusan pertandingan naib ketua bahagian pada hari Sabtu ini di antara Wan Ahmad Nizam dengan Rahim Hussein. Wan Ahmad Nizam menyokong Hisham manakala naib ketua bahagian sekarang, Rahim menyokong Kamaruddin. Oleh itu pertandingan di antara Kamaruddin dengan Hisham adalah pertandingan proksi Rahim dengan proksi Wan Ahmad Nizam.

Rabu, Oktober 08, 2008

HISHAM YAKIN MENANG


Calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Hisham Zubir yakin beliau akan menang pada pemilihan 17 Oktober ini.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian berkata keyakinan itu berdasarkan pencalonan yang diperolehinya setakat ini.
Beliau mendapat 60 pencalonan manakala pencabarnya, Kamaruddin Ali yang juga ahli jawatankuasa UMNO bahagian mendapat 19 pencalonan. Hisham bertanding atas desakan ahli- ahli jawatankuasa pemuda bahagian yang mahu ketuanya dari kalangan ahli jawatankuasa yang ada manakala Kamaruddin adalah calon dari luar walaupun pernah menjadi naib ketua pemuda bahagian sepenggal (2000-2004).
Pertandingan itu diadakan kerana ketua pemuda sekarang, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu telah habis usia pemudanya.
Hisham yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman berkata jika beliau menang beliau akan menggembeling tenaga pemuda kerana 60 peratus ketua pemuda cawangan sekarang adalah muka baru..

Selasa, Oktober 07, 2008

SIAPA PILIHAN PEMUDA ANTARA KAMARUDDIN DAN HISHAM

Gambar atas : Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Kamaruddin Ali dan (bawah) Calon Naib Ketua, Halizi Datuk Abu Bakar)
Sepatutnya mesyuarat pergerakan pemuda UMNO Bahagian Kemaman diadakan pada hari Sabtu ini, 11 Oktober tetapi ditangguh semula ke tarikh asal, 17 Oktober depan. Para perwakilan akan memilih di antara dua orang calon sama ada Penolong Setiausaha Pemudanya. Mohd. Hisham Zubir atau bekas Naib Ketua Pemudanya, Kamaruddin Ali.

Di atas kertas Hisham mendahului Kamaruddin kerana berjaya mendapat pencalonan yang banyak. Hisham mendapat 60 pencalonan sementara Kamaruddin mendapat 19 pencalonan. Tetapi di kertas undi boleh pasti siapa yang menang kerana biasanya perwakilan bebas mengundi tetapi merujuk kepada cawangannya yang mencalonkan orang tertentu.

Sehubungan dengan itu kedua-dua calon ini masih mempunyai masa 10 hari untuk mengejar para perwakilan. Yang menariknya, kedua-dua calon yang bertanding adalah AJK UMNO Bahagian Kemaman. Pada tahun 2004, Kamaruddin Ali yang merupakan bekas wakil calon BN Kijal (Datuk Ahmad Said) menang sebanyak 223 undi manakala Hisham mendapat 216 undi. Kamaruddin tempat ke 12 manakala Hisham di tangga ke 15. Itu dalam bahagian. Pemuda pada 17 Oktober ini mungkin memberi pertimbangan yang lain sama ada mahu mengundi Hisham atau Kamaruddin.

Hisham dikatakan mendapat restu dari AJK Pemuda UMNO Bahagian Kemaman yang kini diketuai oleh Setiausaha Politik MB, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. Beliau tidak mempertahankan jawatan kerana usianya sudah melebihi 40 tahun. Majoriti AJK Pemuda menyokong Hisham kerana Kamaruddin dianggap sebagai calon luar kerana tidak berada dalam barisan AJK Pemuda.

Pada tahun 2000, Kamaruddin adalah Naib Ketua Pemuda tetapi tidak cukup kuota untuk mempertahankan kerusinya pada tahun 2004 apabila kerusi itu dimenangi tanpa bertanding oleh Rosli Ahmad, penyelia KEMAS Daerah Kemaman. Yang anehnya Rosli yang masih belum habis usia pemudanya tidak bertanding kerusi Ketua Pemuda sebaliknya meletakkan proksinya, Hisham untuk berdepan dengan Kamaruddin.

Mampukah Kamaruddin yang juga Pengerusi anak syarikat KSB menewaskan Hisham? Sama-samalah kita tunggu 17 Oktober ini. Kamaruddin beregu dengan anak bekas ADUN Kemasek, Halizi Datuk Abu Bakar untuk berdepan dengan regu Hisham dengan Tarmizi Haji Johar. Biarlah perwakilan pemuda menentukan masa depan mereka.