Isnin, November 03, 2008

SALLEH KEMBALI SEMULA


Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak kembali meneraju UMNO Bahagian Kota Belud selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Musbah Jamli, pada pemilihan yang berakhir tengah malam tadi.


Pada pemilihan itu, Salleh yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud mendapat 341 undi, manakala Musbah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, 294 undi.
Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) tidak dipilih bertanding pada pilihan raya lalu.


Sementara itu, Awadnir Matanggal menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian.


ADUN Usukan, Datuk Japlin Akim yang melepaskan jawatan Ketua Pemuda Kota Belud kerana faktor usia pula menang bagi jawatan Naib Ketua UMNO bahagian.


Pada tahun 2004, Salleh tidak mempertahankan jawatan ketua bahagian. Bila sudah tiada jawatan dalam bahagian, beliau yang ketika itu adalah ahli parlimen Kota Belud kehilangan jawatannya pada pilihan raya umum baru-baru ini apabila beliau digugurkan sebagai calon BN. Bekas Ketua Pemuda Tuaran, Rahman Dahlan dipilih sebagai calon BN Kota Belud menggantikan Salleh.


Dengan kemenangan ini Salleh dapat bergerak semula dalam politik secara aktif dan beliau juga akan bertanding kerusi majlis tertinggi pada bulan Mac depan.