Isnin, Julai 22, 2013

PRK KUALA BESUT 6

KUALA BESUT: Menjelang dua hari lagi pembuangan undi PRK Kuala Besut, semakin ramai pemimpin pusat dari kedua parti yang bertanding membanjiri Kuala Besut. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang serta timbalannya, Mohamad Sabu adalah di antara pemimpin PAS yang datang berkempen di situ manakala dari Umno pula ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal tidak ketinggalan berkempen. Masjid Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak menghalang Nik Abdul Aziz untuk menunaikan solat Maghrib dan memenuhi undangan semalam walaupun persetujuan sudah dicapai bagi membenarkan bekas Menteri Besar Kelantan itu bertandang ke masjid berkenaan. Menurut Mejar (B) Yusoff Ali dari Kebajikan Rangkaian Bekas Tentera (Kerabat) Cawangan Kelantan, pada mulanya, pihak pengurusan masjid membenarkan Nik Aziz menunaikan solat di masjid berkenaan akan tetapi pada saat-saat akhir kebenaran ditarik balik kemungkinan atas arahan pihak atasan. “Kita faham kerana pegawai di kem berkenaan semuanya kawan saya yang pernah khidmat bersama di TUDM sebelum ini, namun kerana tekanan atasan mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya. Tindakan kurang cerdik pengurusan kem tersebut sedikit sebanyak meraih undi simpati para pengundi di atas pagar. PRK yang diadakan berikutan kematian Dr Rahman Mokhtar menyaksikan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman ditentang oleh calon PAS, Azlan Yusof. Azlan atau Che Long dikatakan terlalu popular di kalangan penduduk Kuala Besut manakala Tengku Zaihan yang duduk di Putrajaya bergantung kepada kempen yang dijalankan oleh para pemimpin BN pusat termasuk pengarah pilihanraya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi iaitu 93.33 peratus pengundi biasa, 6.67 peratus melibatkan pengundi tentera, polis dan pasangan masing-masing dan seorang pengundi luar negara. PAS mempertikai perbuatan Barisan Nasional (BN) memberi bantuan ad hoc dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut yang kini dianggar hampir setengah bilion ringgit. Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli mempersoal sumber dana yang tidak melalui peruntukan belanjawan yang dibuat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. “Persoalannya, sumber manakah yang digunakan BN dalam peruntukan yang diumumkan sepanjang tempoh PRK Kuala Besut,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu. “Apakah ia sumber persekutuan melalui perbelanjaan infrastruktur atau Umno dan BN terus merompak dana khas persekutuan atau royalti petroleum hak rakyat Terengganu,” katanya. BN setakat ini mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggar bernilai RM387,490,750. Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. PAS mendakwa semua projek yang diumumkan kerajaan BN itu hasil perjuangan dan kempen yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan. Bagi Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi Kuala Besut tidak terjebak dalam taktik dan permainan psikologi yang dimainkan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. “Saya merayu dan menyeru Kuala Besut jangan terjebak dengan kempen reverse psikologi pembangkang,” kata Menteri Dalam Negeri itu pada sidang media di Pusat Taktikal PDRM di Kuala Besut. Beliau berkata, pembangkang memutar belit kenyataan dengan menyatakan mereka sebagai penyebab utama bantuan dihulurkan BN setiap kali kerajaan memberi sumbangan kepada rakyat. Pada masa sama, beliau berkata, pembangkang terus-terusan menyalahkan BN kerana menggunakan sejumlah dana besar untuk membawa pembangunan kepada rakyat. “Memang semua projek di seluruh negara BN laksanakan kerana mereka minta, atas permintaan pembangkang, semua projek BN lakukan. Macam BN tiada perancangan agaknya. “Mudah sungguh kempen mereka, tidak perlukan modal langsung,” katanya, sinis. Siapa yang menjadi pilihan rakyat Kuala Besut akan terjawab pada 24 Julai ini. (dipetik dari www.freemalayiatoday.com)