Selasa, Julai 23, 2013

DR MARZUKI IBRAHIM DALAM KENANGAN

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan kematian Bendaharinya, Dr Marzuki Ibrahim, 48, (gambar) sebagai satu kehilangan seorang rakan yang baik. Katanya, beliau tidak menonjol kerana beliau membantu Perkasa secara senyap. “Sebagai Presiden Perkasa dan bagi pihak Ahli Dewan Tertinggi (ADT) dan ahli-ahli Perkasa saya mengucapkan takziah kepada balu dan anaknya dengan iringan doa semoga roh beliau ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini. Dr Marzuki adalah seorang ahli perniagaan dan pernah menerbitkan akhbar Warta Parlimen Kepala Batas ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia (2003-2008). Beliau juga bekas Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas dan meninggal dunia petang semalam disebabkan kanser paru-paru. “Dr Marzuki masih Bendahari Perkasa. Sudah hampir dua tahun beliau kelihatan tidak sihat tapi dikatakan sakit belakang,” kata Ibrahim lagi. Katanya, sebab itu beliau jarang kelihatan di majlis anjuran Perkasa kecuali menghadiri mesyuarat bulanan ADT Perkasa. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com). Membaca berita ini, saya agak terkejut apabila menerima panggilan telefon dari kawan saya, Kamri Mohamed pada jam 6.30 petang semalam. Saya dengan Kamri pernah bekerja dengan Dr Marzuki pada tahun 2006-2007 di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Saya dilantik sebagai editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas (WPKB) yang diterbitkan sebulan dua kali. Ketika itu Pak Lah adalah Perdana Menteri Malaysia maka WPKB mudah dapat iklan. Dengan bantuan Kamri selaku pegawai pengiklanan maka iklan banyak mencurah masuk. Dr Marzuki seronok kerana bisnesnya maju. Pada masa yang sama beliau menerbitkan semula akhbar bulanan Editornya yang bercorak bisnes.Ia diketuai oleh Zainora Zakaria sebagai editornya. Saya tidak lama dengan WPKB apabila mendapat tawaran memasuki Watan yang diterbitkan semula oleh Baha Azuwan. Sewaktu di WPKB, kami tidak ada masalah gaji kerana cukup waktu gaji dibayar tepat masanya. Kebetulan Dr Marzuki ada juga bisnes IT dengan syarikat Rodatranya. Beliau adalah seorang yang pemurah, jarang marah kakitangannya. Apabila saya keluar dari WPKB, saya dengar banyak cerita yang tak elok tentang syarikatnya. Lebih-lebih lagi ketika itu beliau sudah bergaduh dengan rakan kongsinya, Nasir yang tak suka Dr Marzuki terlibat dalam politik. Selaku Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas, beliau memang bercita-cita mahu jadi ADUN Penaga menggantikan Datuk Azhar Ibrahim. Dalam mesyuarat persidangan perwakilan Kepala Batas, Azhar marahi Dr Marzuki yang mahu merampas kerusinya dengan mengatakan ada orang yang tidak pandai cakap Bahasa Inggeris masa sekolah rendah dahulu tiba-tiba dapat PhD dari Amerika Syarikat.Beliau menyerang Dr Marzuki sedangkan beliau tidak ada peluang untuk menjawab dalam persidangan tersebut. Pada pilihanraya umum 2008, nama Dr Marzuki tidak naik maka Azhar kekal sebagai calon BN bagi DUN Penaga.Selepas meninggalkan WPKB pada tahun 2008, saya tak pernah temui beliau. Tiba-tiba namanya naik sebagai Bendahari Perkasa. Oleh itu bila beliau pergi dalam usia yang muda, saya agak terkejut. Saya sebenarnya ada deal bisnes dengannya masa dalam WPKB. Seorang kawan dari Kuala Terengganu, Haji Mohamad Ali mahu projek memasang wayar elektrik rumah lama di seluruh Terengganu. Kami gunakan Dr Marzuki melobi projek itu dengan Pak Lah. Projek RM56 juta itu disokong Pak Lah tetapi bila jumpa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh kata di atas mejanya penuh surat sokongan Pak Lah. Maka peluang kami nak jadi jutawan hancur berkecai kerana Haji Mohamad Ali boss Elektriko Plasma itu berjanji akan beri kami RM2 juta seorang. Memang tak ada rezeki kami. Dr Marzuki mengeluh bila tak dapat projek itu. Bila saya desaknya jumpa Pak Lah suruh Pak Lah call Idris, Dr Marzuki diam sahaja kerana beliau sendiri tidak berani menemui Pak Lah. Beliau jarang marah, seorang yang rajin, komited, pemurah dan saya rasa kematiannya satu kehilangan yang amat besar kepada kami semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.Alfatihah.